Bagaimana mahu minat membaca?
Ketika ini saya sedang mencari bahan-bahan yang boleh dimasukkan dalam modul baru saya iaitu Cinta Buku.
Insha-Allah modul ini saya akan bentangkan pada anak-anak murid yang berumur 7-17 tahun pada 20 Disember 2022 ini di Kem Jati Diri Remaja 2.0 anjuran masjid kampung saya.
Saya tertanya-tanya, berapa lama negara kita telah menjalankan kempen membaca ya?
Alhamdulillah saya jumpa jawapannya di Portal Rasmi Perpustakaan Negara Malaysia.
Menurut portal tersebut, kempen membaca telah dilaksanakan secara rasminya pada tahun 1995 melalui sambutan Bulan Membaca Kebangsaan dengan slogan “Mari Membaca Bersama”.
Perpustakaan Negara Malaysia selaku Urus Setia Gerakan Membaca Kebangsaan telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program berkaitan pembacaan dan keilmuan di seluruh negara sepanjang bulan Ogos yang berlangsung sehingga tahun 2000.
Kemudian, kempen membaca ini telah diubah pada bulan Julai dari tahun 2001 hingga 2005 bagi mengelakkan pertindihan dengan sambutan bulan kemerdekaan.
Mulai tahun 2006 di bawah teraju Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) Kempen Membaca telah dijadikan sebagai agenda tahunan bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu dan bermaklumat dengan menjadikan amalan membaca sebagai budaya.
Slogan Kempen Membaca “Bangsa Membaca Bangsa Berjaya” mula digunakan secara meluas di seluruh negara sehingga ke hari ini.
Bermula pada tahun 2018 sehingga 2020 Kempen Membaca Kebangsaan dimantapkan lagi melalui pemerkasaan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif sebagai asas kukuh bagi merealisasikan pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021-2030.
Dengan slogan #MalaysiaMembaca, DMK bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030 dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia dan akhirnya dapat meningkatkan peratusan rakyat yang membaca.
Saya lihat banyak program yang telah dijalankan, tetapi sejauh mana program ini berjaya dilaksanakan daripada peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat atasan.
Untuk menjawab persoalan ini, sudah pasti kita memerlukan data yang sahih dan tepat.
Saya tidak mahu kita menuding jari menyalahkan sesiapa.
Maka atas kesedaran itulah saya mula membina modul Cinta Buku bagi menambahkan lagi kesedaran membaca pada anak-anak remaja di kampung saya.
Antara buku rujukan saya ialah buku Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang bertajuk ‘Kuasa Iqra, Menguasai Dunia Menikmati Akhirat’.
- Jemput baca: 6 Mitos Membaca
11 Tip Minat Membaca
Jom kita nikmati tip-tip yang dikongsikan beliau:
1. Memahami yang membaca adalah satu daripada tuntutan Islam.
Benar kata Ibnu Mubarak, “Seseorang itu sentiasa alim selama mana dia menuntut ilmu. Apabila datang persepsi yang beliau sudah menjadi alim, maka jahillah dia.”
2. Membina perpustakaan mini di rumah.
Imam al-Syahid Hassan al-Banna pernah menerangkan cara yang plaing efektif dalam mendidik remaja dengan pendidikan Islam adalah mewujudkan perpustakaan di dalam rumah sekalipun sederhana.
Muatkan dengan koleksi buku-buku berkaitan akhlak, hikmah, motivasi, sejarah Islam, biografi salafussoleh, kisah hidup ulama terdahulu, kisah-kisah penaklukan negara dan sebagainya.
Jadikan buku-buku itu sebagai ‘makanan’ akal dan bagi memperkayakan minda anak-anak.
3. Mengunjungi perpustakaan atau gedung ilmu.
Tabiat seperti ini dapat mendekatkan individu, keluarga dan rakan taulannya supaya minat membaca.
Hal ini apabila dipupuk sejak kecil lagi, ia akan menjadi sebati dan menambah minatnya kepada bahan bacaan.
4. Pembinaan biah ataupun suasana pembacaan sama ada di rumah, dalam majlis, di tempat terbuka dan lain-lain.
Sekiranya ibu bapa menunjukkan sifat mencintai ilmu melalui pembacaan, sama ada melalui buku, majalah, akhbar dan lainnya, sudah pasti ia berbekas dalam pembentukan jiwa ahli keluarga, terutamanya anak-anak.
Ini kerana guru mereka yang utama adalah ibu bapa.
5. Menjadikan bahan bacaan sebagai hadiah, walaupun untuk majlis perkahwinan sekalipun.
Contohnya buku yang berkaitan dengan pembentukan keluarga bahagia.
Begitu juga apabila anak-anak menempa kejayaan, dihadiahkan senaskah buku yang dapat memberi motivasi dan meningkatkan lagi minat rajin membaca.
6. Memilih rakan taulan yang mempunyai minat membaca.
Ini kerana, rakan taulan mempunyai pengaruh yang begitu besar dalam membentuk keperibadian seseorang.
7. Pemimpin masyarakat perlu menunjukkan minat membaca, sama ada pada peringkat tertinggi hingga ke peringkat bawahan.
Hal ini selaras dengan hadis Rasulullah, “Manusia menuruti agama raja-raja mereka.”
8. Tawaran dan hadiah kepada mereka yang banyak membaca.
Mungkin boleh difikirkan anugerah khas kepada mereka yang banyak membaca, di samping dikerapkan lagi pertandingan pembacaan paling banyak.
9. Mendedahkan kepada masyarakat khususnya anak-anak perihal tokoh-tokoh Islam ataupun cendekiawan yang begitu rajin membaca bagi menambahkan ilmu.
Ceritakan juga kejayaan yang ditempa dalam hidup mereka hasil daripada banyak membaca.
10. Media massa sama ada televisyen, radio, akhbar dan majalah mempromosikan kempen membaca serta mendedahkan kelebihan dan faedah daripada bahan bacaan yang baik.
Ini sudah pasti merangsang kepada masyarakat sukakan buku.
Tambahan daripada itu, ditampilkan tokoh-tokoh yang banyak membaca pada arus perdana.
11. Para cendekiawan, ulama dan pemimpin perlu duduk semeja bagi membincangkan bagaimana mahu meningkatkan lagi minat membaca dalam kalangan remaja dan masyarakat.
Akhirnya membaca menjadi keperluan dan kemestian dalam jiwa setiap masyarakat.
Orang yang membaca diibaratkan seperti memberi cahaya kepada rohnya. Itu juga seperti menghirup oksigen ke dalam dada bagi meneruskan bahtera kehidupan.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Bangun, berilah peringatan!