Cara untuk mendapat hidayah dan mensyukuri nikmat Allah adalah dengan menuntut ilmu.
Nak tuntut ilmu apa?
Sudah pasti semua ilmu adalah bermanfaat.
Namun, dalam banyak-banyak ilmu sudah pasti ilmu agama adalah keutamaan.
Dengan menuntut ilmu agama, insha-Allah kita akan dapat membezakan antara yang hak dan yang batil, tauhid dan syirik, sunnah dan bid’ah, ma’ruf dan mungkar, kebaikan dan keburukan.
Sebab itu sebagai seorang muslim, kita kena berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami agama ini dari masa ke semasa.
Kita tidak akan mampu menguasai ilmu agama dalam tempoh sehari, sebulan ataupun setahun.
Malah jangan letakkan pun tempoh kita nak belajar berapa lama kerana agama adalah satu ilmu yang tidak akan pernah habis, tidak ada penamat dan kita akan bergraduasi hanya di syurga nanti.
Jadi belajarlah sedikit demi sedikit, kelas demi kelas atau subjek demi subjek sehingga kita menjadi manusia yang bermanfaat di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.
Walau sibuk macam mana pun kita menguruskan keluarga, kerjaya, ibu bapa, masyarakat dan apa sahaja tanggungjawab, susunlah jadual kita untuk menuntut ilmu.
Nah, saya kongsikan 9 wasiat para ulama untuk menambah motivasi dan inspirasi kita dalam menuntut ilmu.
Menuntut Ilmu Warisan Para Ulama
1. Sahabat Ali bin Abi Talib radiyallahu anh (wafat tahun 40 H) berkata,
“Orang yang berilmu itu lebih besar ganjaran pahalanya daripada orang yang puasa, solat, dan yang berjihad di jalan Allah ta’ala.”
2. Sahabat Abu Hurairah radiyallahu anh (wafat tahun 57 H) berkata,
“Sungguh, aku mengetahui satu bab ilmu mengenai perintah dan larangan, lebih aku sukai daripada 70 kali melakukan jihad di jalan Allah.”
- Jemput baca: Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu
3. Imam Hasan al-Basri (wafat tahun 110 H) berkata,
“Orang yang berilmu lebih baik, daripada orang yang zuhud terhadap dunia ini serta orang yang bersungguh-sungguh dalam beribadah.”
4. Imam Sufyan ats-Tsauri rahimahullah (wafat tahun 161 H) berkata,
“Aku tidak mengetahui satu pun ibadah yang lebih baik daripada mengajarkan ilmu kepada manusia.”
5. Imam Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah (wafat tahun 198 H) berkata,
“Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah di antara para hamba-Nya adalah para Nabi dan ulama.”
6. Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi’i rahimahullah (wafat tahun 204 H) berkata,
“Tidak ada sesuatu pun yang lebih baik setelah berbagai kewajipan syariat, daripada menuntut ilmu syar’i.”
- Jemput baca: Kenapa Saya Perlu Belajar?
7. Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (wafat tahun 241 H) berkata,
“Perlunya manusia kepada ilmu melebihi keperluan mereka kepada makanan dan minuman, kerana makanan dan minuman hanya diperlukan dalam sehari satu atau dua kali, sedangkan ilmu diperlukan setiap saat.”
8. Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf an-Nawawi rahimahullah (wafat tahun 676 H) berkata,
“Ilmu syari’i akan memimpin seorang hamba kepada ketakwaan kepada Allah ta’ala.”
9. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (wafat tahun 656 H) berkata,
“Amal tanpa ilmu kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya.”
Bangun, berilah peringatan!
Sumber: Yazid bin Abdul Qadir Jawas. Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga. 2014. Pustaka at-Taqwa. Jawa Barat, Indonesia.