fbpx

Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati

Mengapa Kita Perlu Menulis?

Sejujurnya saya banyak belajar daripada tiga orang guru penulisan yang saya kagumi ini iaitu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Tuan Zamri Mohamad.

Bukanlah bermaksud saya belajar secara langsung dan dalam tempoh yang lama melainkan saya belajar daripada buku-buku yang dihasilkan dan juga progam yang dianjurkan seperti Sekolah Penulisan Ramadan.

Buku Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati merupakan buku kedua yang saya habiskan pada tahun 2022 ini.

Saya sangat suka pada kulit buku dan susun atur dalam buku ini yang cantik dan menyebabkan saya rasa sangat seronok ketika menghabiskan bacaan.

Dari segi isi kandungan pula sudah pasti sangat-sangat bermanfaat kerana diberikan oleh orang-orang yang bukan sekadar menulis tentang teori, tetapi yang telah mengamalkannya dalam penulisan mereka.

Teori + Praktikal = Subhanallah hebat!

Jadi saya sebagai seorang penulis, sudah pasti buku ini wajib untuk dimiliki kerana buku ini memberikan panduan kepada saya dalam membina penulisan saya sendiri.

Maksudnya penulis kalau tidak baca buku ini rugilah.

Tapi dari satu sudut kalau kita bukan penulis, kita juga boleh membaca buku ini.

Sebab saya melihat aktiviti menulis ini bukan sekadar untuk diterbitkan menjadi buku ataupun artikel di mana-mana media sosial.

Saya bagi contoh, sekarang kita memiliki banyak group Whatsapp dan juga Telegram untuk berkomunikasi ataupun memberikan komen di dalam mana-mana media sosial (Facebook ataupun Twitter).

Secara tidak langsung, kita banyak menulis (menaip) sebenarnya.

Jadi, bagaimana nak pastikan penulisan kita itu dibaca, didengari dan difahami oleh orang-orang di luar sana?

Sudah pasti dengan penulisan yang baik, maka buku ini juga dapat membantu sama ada penulisan kita itu digunakan untuk memberikan cadangan, nasihat ataupun teguran.

Menulis Ada Masa Depan Ke?

hakimdarno - Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati 1
Tekan sini untuk dapatkan buku: Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati.

Menurut Ustaz Pahrol, sekiranya ditanya mengenai masa depan penulisan, maka beliau akan menjawab selagi ada perkataan iqra, selagi itulah wujud bahan-bahan bacaan dan selagi itulah penulis ada masa hadapan.

Penulisan yang kekal adalah penulisan yang membawa mesej al-Quran.

Selagi ada iman, selagi ada Islam, selagi itulah al-Quran akan terus dibaca.

Dan penulisan yang membawa mesej al-Quran terus dibaca.

Alhamdulillah lega hati saya apabila membaca bahagian ini.

Kadang-kadang timbul dalam hati saya, boleh ke nak teruskan kerja dalam bidang penulisan?

Lagi-lagi tentang tadabbur al-Quran, ada ke orang yang nak baca?

Sebab kalau penulisan itu diukur dengan butang LIKE, COMMENT & SHARE sudah pasti saya sudah meninggalkan dunia penulisan.

Sebab itulah Ustaz Pahrol menasihatkan lagi bahawa usah terlalu memikirkan tentang nilai komersial.

Bukan tidak fikir langsung tentang nilai komersial, tetapi USAH TERLALU MEMIKIRKANNYA.

Kita mesti mencari sesuatu yang bernilai dakwah dan tarbiah.

Apabila kita melihat buku-buku yang melibatkan golongan terkenal yang menulis buku berasaskan popularitinya walaupun dirinya bukan penulis, buku-buku itu kadang-kadang tidak dijaga tatabahasanya.

Hanya peminat-peminatnya yang setia membeli buku itu.

Tetapi lihatlah nanti, buku itu akan hilang dek zaman dan hanya terkenal pada waktu itu sahaja.

Oleh itu, biarlah tidak terkenal atau disanjung sebagai selebriti, tetapi buku yang benar-benar ditulis dengan hati yakni dengan menggunakan laras bahasa betul, dijaga kualitinya dan kaya dengan prinsip serta nilainya … itulah buku yang sejati.

Bagaimana Nak Konsisten Menulis?

hakimdarno - Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati 2
Tekan sini untuk dapatkan buku: Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati.

Menurut Ustaz Hasrizal, secara jujurnya beliau sendiri tidak mempunyai jawapan untuk persoalan ini.

Tetapi seperti yang kita ketahui, keinginan untuk melakukan sesuatu disebabkan oleh motivasi.

Motivasi atau keinginan yang membara ataupun disebut dalam bahasa Inggeris (burning desire) boleh datang daripada dalam diri kita sendiri ataupun dari luar.

Tetapi sekiranya kita melakukan sesuatu dengan cara terpaksa, barangkali kita akan terseksa.

Ini kerana prinsip asas – terpaksa akan terseksa.

Sebagai contoh, apabila kita dipaksa untuk menulis hanya bagi membayangkan kemasyhuran yang mana berfungsi pada peringkat awal akan menyebabkan kita terseksa.

Sebenarnya, apabila menulis datang dengan dorongan yang kita percaya, ia akan memberikan nafas panjang kepada sang penulis itu.

Menurut Ustaz Hasrizal lagi bagaimana beliau boleh konsisten menulis blog sepanjang 24 tahun ini adalah kerana mahu menyampaikan sesuatu kepada masyarakat dan bukannya bagi mendapatkan manfaat luaran.

Saya lihat di sinilah cabaran besar bagi seorang penulis – ramai yang boleh memulakan perjalanan sebagai penulis, tetapi berapa ramai penulis yang boleh bertahan?

Sebab itulah kita perlu mempunyai sebab yang kuat untuk berada di dalam bidang ini.

Kita perlu mencari dan menggali perkara yang boleh mendorong kita menulis.

Contohnya menulis untuk mencari jawapan kepada pertanyaan yang wujud dalam diri kita dan perkara itu tidak boleh direka-reka bergantung pada integriti masing-masing.

Sekiranya diri kita senang berpuas hati dengan sesuatu jawapan yang diberikan, mungkin singkatlah jarak perjalanan itu.

Sekiranya kita sukar untuk berpuas hati, mungkin menyebabkan kita perlu banyak mengembara untuk mendapatkan jawapan.

Jemput baca:

Rugi Kalau Kita Ada Ilmu Tetapi Tidak Menulis

hakimdarno - Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati 3
Tekan sini untuk dapatkan buku: Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati.

Mengambil roh Surah al-‘Asr, kita semua adalah orang yang sangat-sangat rugi KECUALI  orang yang menulis.

Kenapa saya cakap macam itu?

Pertama sebab setiap orang mempunyai ilmu yang tidak ada pada orang lain.

Kedua sebab setiap orang mempunyai pengalaman kerja yang unik.

Ketiga sebab setiap orang mempunyai aktiviti ataupun hobi masing-masing.

Keempat sebab setiap orang akan bertemu dengan pelbagai orang sepanjang hidupnya, jadi ada sesuatu yang boleh digali sepanjang pertemuan itu.

Jadi kata Tuan Zamri, kita ada empat kuadran dalam diri yang kita boleh gunakan sebagai asas bagi membentuk penulisan yang persuasif ( memujuk).

Saya sangat suka baca bab ini kisah tentang Mak Cik Kiah seorang penjual pisang goreng, Cik Haryati seorang pembantu rumah daripada Indonesia, Adam seorang kerani dan Kamal seorang pelajar universiti.

Kalau kita tidak mahu menggunakan 4 kuadran di atas, ada lagi satu ruang dan peluang yang boleh kita lakukan iaitu dengan menjadi kurator.

Apa itu kurator?

Untuk lebih memahaminya, kena baca buku ini!

Penulis bukan sahaja mencipta ataupun menghasilkan karya, penulis adalah seorang kurator.

Kita tahu banyak maklumat berada dalam diri dan di sekeliling kita.

Kita juga sedar, ada lambakan maklumat di hujung jari para pembaca.

Seorang penulis akan menggunakan kemahiran sebagai kurator dan memilih maklumat-maklumat yang relevan untuk dituliskan pada waktu itu.

Maklumat yang memberi penyelesaian masalah pada ketika itu akan diberikan lebih tumpuan berbanding bahan-bahan lain.

Itulah yang telah dilakukan oleh pengasas Reader’s Digest DeWitt Wallace.

Boleh baca kisah beliau di dalam buku ini sungguh menginspirasikan!

Okey itu sahaja daripada saya untuk buku kali ini, kita jumpa lagi pada ulasan buku saya yang seterusnya.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment