Sebelum kita tahu ‘mengapa’, jom kita berkenalan dulu dengan Surah an-Naas.
Surah an-Naas adalah surah Makkiyyah iaitu surah yang turun sebelum Nabi berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.
Ada enam ayat.
Kalau ikut susunan di dalam al-Quran, surah ini adalah surah yang terakhir (surah yang ke-114).
Tetapi dari segi susunan penurunan pula, surah ini surah yang ke-21 turun kepada Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam.
Merupakan surah kelima daripada lima surah yang bermula dengan “Qul” iaitu Surah al-Jinn, Surah al-Kaafiruun, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas.
Bagi menjawab persoalan mengapa kita perlu tadabbur Surah an-Naas, saya membawa dua poin:
- Dua intipati Surah an-Naas.
- Tiga kelebihan Surah an-Naas.
Intipati surah ini yang pertama adalah wajib saya dan anda semua berlindung hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala sahaja.
Nak berlindung daripada apa?
Itulah intipati yang kedua iaitu berlindung daripada kejahatan iblis dan syaitan yang boleh merosakkan akhlak kita semua sama ada daripada kalangan jin mahupun manusia.
- Jemput baca: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah al-Fatihah?
Surah an-Naas ini yang mana satu ya?
Okey, jom kita baca sama-sama.
Surah an-Naas Ayat 1
Surah an-Naas Ayat 2
Surah an-Naas Ayat 3
Surah an-Naas Ayat 4
Surah an-Naas Ayat 5
Surah an-Naas Ayat 6
3 Kelebihan Surah an-Naas
1. Kelebihan yang pertama, daripada Uqbah Bin Amir katanya sabda Nabi salla Allah alaih wa sallam,
Tidakkah kamu memerhati ayat-ayat yang turun semalam, yang tidak ada yang sama sepertinya (iaitu kelebihannya tidak dapat ditandingi) iaitu (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ) dan (قُلْ أَعُوذُ بِرَبّ ٱلنَّاسِ).
[Hadis Sahih Riwayat Muslim]
2. Kelebihan yang kedua,
“Setiap kali Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam pergi tidur untuk tidur pada waktu malam, baginda salla Allah ‘alaih wa sallam akan menadah kedua belah tangan dan menghembus ke tapak tangan baginda setelah membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, kemudian menyapu kedua tapak tangan baginda ke seluruh anggota bermula dari kepala, muka dan hadapan badan. Hal ini dilakukan baginda 3 kali berturut-turut.”
[Hadis Riwayat Bukhari]
Bagaimana cara nak mengamalkannya?
Saya cuba kongsikan berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Ustaz Abd Muien di dalam kuliahnya.
Kita angat tangan dahulu (seperti nak berdoa), kemudian tiup kedua tapak tangan kita, kemudian barulah kita baca tiga Qul.
Lepas itu, kita sapu anggota badan kita bermula daripada muka, kepala dan terus ke bawah setakat mana yang boleh kita capai.
Begitulah yang saya boleh gambarkan.
Ada pendapat mengatakan baca (tiga Qul) tiga kali, sapu tiga kali.
Ada pendapat lain pula mengatakan, sapu tiga kali, baca (tiga Qul) sekali.
Tapi kata ustaz, kalau kita dapat baca sekali pun dah okey.
Kira selamatlah itu.
Bila kita nak buat ini?
Sebelum tidur.
3. Kelebihan yang ketiga dan terakhir ialah Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam membaca dua surah ini iaitu Surah an-Nas dan Surah al-Falaq semasa Baginda disihir oleh orang Yahudi dan dengan izin Allah akhirnya kesan sihir itu hilang.
Jom kita baca hadis kelebihan yang ketiga ini.
Sebab Turun Surah an-Naas
Imam Baihaqi ada sebut di dalam kitabnya Dalailul Nubuwwah, antara sebab turun Surah an-Naas ialah pada suatu hari Nabi sakit sangat.
Bila Nabi sakit, sahabat pun berjumpa dengan Nabi.
Sahabat tanya, “Adakah engkau sakit ya Rasulullah?”
“Ya, bahkan kalau aku sakit, aku dikenakan dua kali ganda dengan sakit kamu.”
Contoh kalau kita demam, menggeletar kan?
Rasa macam nak mati.
Nabi rasa dua kali ganda daripada itu.
Dalam hadis ini Nabi sangat-sangat sakit.
Maka datang dua malaikat untuk merawat Nabi.
Salah seorang malaikat duduk di kepala Nabi, kemudian malaikat yang satu lagi duduk di kaki Nabi.
Maka malaikat yang duduk di kaki Nabi itu bertanya pada malaikat yang berada di kepala Nabi.
Apa kena dengan Muhammad ini, sebab nampak sakit teruk sangat?
Maka malaikat yang di kepala Nabi menjawab, Nabi telah disihir.
Bahkan disebut dalam hadis, yang menyihir Nabi adalah Lubaid al-A’sam.
Inilah perangai orang Yahudi, mereka bersungguh-sungguh menghalang kerja dakwah Nabi dengan menyihir baginda dengan tujuan membunuh tapi tidak berjaya.
Bagaimana mereka sihir?
Ada riwayat mengatakan dia ambil rambut Nabi yang gugur, kemudian dipintal dan letak bawah batu dalam telaga kepunyaan seseorang.
Kemudian hari yang berikutnya Nabi mengutuskan Amar Bin Yassir bersama beberapa orang sahabat yang lain untuk membawa bahan ataupun benda yang disihir oleh orang Yahudi itu.
Maka didapati dalam telaga itu masih ada saki-bakinya.
Kemudian diangkat batu sekali lagi, kemudian dibakar bahan itu.
Dan katanya ada 11 ikatan.
Lalu Nabi membaca Surah al-Falaq (5 ayat) dan Surah an-Naas (6 ayat).
Maka terungkailah ikatan tersebut dan hilanglah kesan sihir kepada Nabi kesemuanya.
Hadis sahih, riwayat Bukhari.
Ada Ulama Pertikai Nabi Kena Sihir
Namun kata Ustaz Abd Muein, ada ulama yang mempertikaikan Nabi kena sihir.
Beliau kata, walaupun sahih tapi tidak masuk akal.
Apa hujah beliau?
Pertama, tidak masuk akal seorang Nabi yang maksum boleh disihir.
Kedua, beliau kata, bila kena sihir ini kadang-kadang boleh hilang kewarasan, bila hilang kewarasan bagaimana Nabi nak cakap perkara yang benar sedangkan semua yang Nabi cakap ialah wahyu.
Ini hujah pakai logik akal.
Tapi hadis yang Nabi kena sihir ini, hadis sahih riwayat Bukhari.
Jadi siapa yang menafikan hadis, dia seolah-olah menafikan kebenaran, sebab hadis itu sudah disepakati oleh para ulama.
Semua ulama mengatakan cerita ini betul sebab ada dalil yang sahih.
Habis itu, bagaimana kita nak merungkai persoalan ini?
Pertama, tanya diri kita – kenapa Nabi disihir itu tidak masuk akal?
Masuk akal sahaja, sebab Nabi juga manusia.
Allah boleh buat apa sahaja kepada hambanya walaupun kepada Nabi.
Yang kedua, ketika Nabi disihir, Nabi tidak sampai tahap hilang akal ataupun tidak waras.
Nabi tidak sampai ke tahap itu, hanya kesannya Nabi nampak macam buat sesuatu tapi tidak buat.
Kadang-kadang Nabi nampak isterinya di sana, bila pergi tidak ada.
Setakat itu sahaja.
Apa Hikmah Allah Biarkan Nabi Disihir?
Jadi apa hikmahnya Allah biarkan Nabi disihir oleh orang Yahudi?
Kata ustaz, Allah nak bagi kaedah kepada kita kalaulah ada di kalangan kita yang terkena sihir, inilah rawatan yang paling betul dan yang paling meyakinkan.
Sebab apa?
Sebab Nabi sendiri yang menjadi contoh.
Tapi kalau sihir itu terkena pada orang lain dan orang lain berubat, kita akan tertanya-tanya, “Betul ke cara dia?”
Kadang-kadang kita tidak berapa yakin dengan cara yang dilakukan oleh orang yang kita tidak kenal.
Jadi bila Allah tunjukkan macam ini, kalau ada sesiapa yang kena sihir, jangan rasa ragu-ragu sama ada nak buat atau tidak.
Sebab Nabi sendiri yang buat.
Nabi sendiri yang baca Surah an-Naas dan Surah al-Falaq, itulah rahmat Allah kepada kita.
Itulah dua poin yang saya cuba bawakan kepada anda semua para pembaca, mudah-mudahan kita akan rasa tertarik untuk mendalami lagi Surah an-Naas.
Ini baru sahaja permulaan, insha-Allah saya akan sambung lagi artikel ini untuk membincangkan ayat yang pertama.
Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini.
Jumpa lagi.
Bangun, berilah peringatan!
“Jika kita tidak mampu untuk menjadi ustaz yang memberi ceramah agama, jadilah pembaca yang memberi manfaat kepada orang lain dengan menyebarkannya.”
~Dr. Abd Basit Abd Rahman.