Surah as-Sajdah adalah surah makkiyyah, mengandungi 30 ayat, 380 kalimah dan 1518 huruf.
Dalam al-Quran, Surah as-Sajdah ini duduk berjiran dengan Surah Luqman (sebelum) dan juga Surah al-Ahzaab (selepas).
Dari segi penurunan pula, Surah as-Sajdah adalah surah yang ke-75 turun kepada Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam.
Turun selepas Surah al-Mu’minuun.
Kalau buka mushaf al-Quran, kita akan jumpa surah ini pada muka surat yang ke-415.
Panjang surah ini melangkaui tiga muka surat dan surah yang berada dalam juzuk ke-21.
Surah ke-18 bermula dengan huruf-huruf muqata’ah (terpotong).
Ulama berkata bahawa surah-surah yang bermula dengan huruf-huruf ini ialah surah-surah yang menekankan keagungan al-Quran.
Kata Ustaz Syaari Ab Rahman di dalam bukunya Kompas 114, surah ini adalah surah terbaik bagi menjawab persoalan apakah di sebalik sujud sajdah dalam erti kata yang sebenar (ada 15 ayat sajdah dalam al-Quran dan ayat sajdah dalam Surah as-Sajdah adalah ayat 15).
Lihatlah, apakah yang Allah subhanahu wa ta’ala didik kepada baginda salla Allah ‘alaih wa sallam pada 15 ayat sebelum baginda sujud.
Sesiapa yang membaca surah ini, pasti akan meyakini wujudnya akhirat.
Itulah serba sedikit biodata tentang Surah as-Sajdah.
Kenapa Surah Ini Dinamakan As-Sajdah?
Kerana pada ayat 15, ada diterangkan tentang orang-orang yang beriman dan sifat-sifat mereka yang terpuji (simbolik kehambaan dan penyingkiran segala jenis kesombongan atas ayat-ayat Allah subhanahu wa ta’ala).
Apabila mereka mendengar sahaja perintah atau larangan daripada al-Quran, mereka segera menerimanya dan mengamalkannya lalu “sujud” sebagai tanda syukur kepada Allah ta’ala yang telah mengurniakan mereka dengan nikmat Islam yang tidak ada tandingannya.
Dalam buku Ensiklopedia Solat karangan tiga orang penulis iaitu Ustaz Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Ustaz Wahid menyatakan bahawa sujud sajdah ini merupakan pendidikan rohani yang dapat menyedarkan seorang Mukmin di mana dan bila-bila masa setiap kali membaca atau mendengar al-Quran.
Kerana itu, ia menjadi ujian untuk mengukur persiapan dirinya untuk menerima dakwah, tunduk kepada Allah dan berserah diri kepada-Nya.
Sehingga seorang Mukmin di hadapan Allah diibaratkan seperti seorang askar yang dikejutkan dengan kedatangan komandernya, walaupun hanya melihat secara spontan askar tersebut langsung sahaja memberikan salam secara suka rela, untuk menunjukkan sikap rasa patuh dan ketaatan kepada pimpinan.
Maka dengan demikian tercapailah keseimbangan roh ubudiah secara umum, sebagaimana alam semesta ini telah tercipta sedemikian rupa.
Sehingga diharapkan segera menyatakan diri untuk bersujud hanya kepada Allah tanpa menyukutukan-Nya.
Bila baca ayat sajdah ini, kita disunatkan sujud.
Sama ada di dalam solat ataupun tidak.
Sunat ke atas orang yang membacanya dan juga sesiapa sahaja yang mendengarnya.
- Jemput baca: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah an-Naas?
Sinopsis Surah as-Sajdah
Pada mulanya Allah ta’ala menerangkan tentang kebenaran Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam dan kebenaran al-Quran yang diwahyukan kepadanya.
Lalu ditegaskan dasar tauhid dengan mengemukakan sebesar-besar dalil yang membuktikan keesaan Allah ta’ala dan kekuasaanNya iaitu dengan terciptanya seluruh alam yang terbentang luas ini dalam “enam masa”.
Kemudian Allah ta’ala menegaskan bahawa Allah hanya memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang yang berusaha untuk beriman dan beramal salih.
Sebaliknya orang-orang yang kufur dan ingkar setelah diterangkan kepada mereka mana yang benar dan mana yang salah, mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Satu, ditegaskan bahawa turunnya wahyu kepada para Nabi itu bukanlah suatu perkara yang belum pernah berlaku.
Kedua, kitab yang diturunkan oleh Allah ta’ala adalah untuk menjadi hidayah pertunjuk.
Ketiga, sesiapa yang menerima kitab itu dengan sempurna, dia berhak menjadi pemimpin.
Itupun jika dia berusaha dan bersabar.
Setelah itu, Allah ta’ala menegur kaum kafir musyrik:
Mengapa mereka masih berdegil mendustakan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam kepada mereka?
Padahal mereka kerapkali berulang alik melalui negeri-negeri yang telah dibinasakan oleh Allah ta’ala kerana kederhakaan penduduknya, dan mereka dapat melihat bekas-bekas peninggalan kaum penderhaka yang telah dibinasakan itu?
Semasa orang-orang kafir musyrik bertanya secara mengejek-ejek – bilakah datangnya hari kemenangan kamu wahai orang-orang Islam?
Maka Allah ta’ala perintahkan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam menjawab – hari kemenangan itu akan tiba dengan tidak syak lagi.
Pada hari itu hari kiamat – tidak berguna lagi bagi orang-orang kafir hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh untuk bertaubat.
Menurut Ustaz Syaari pula, surah ini bermula dengan penegasan bahawa kitabullah tiada keraguan padanya, kemudian surah ini berakhir dengan Allah subhanahu wa ta’ala membawa perumpamaan mengeni tanah yang mati kemudian disuburkan untuk memahami hakikat akhirat (kehidupan semula) dan menghilangkan keraguan itu, namun hujung surah merakamkan sikap Quraisy yang terus-menerus meragui hari tersebut.
Ayat 10 dihubungkan dengan ayat 27 dalam bentuk metafora hujan, maka sebab itu surah ini bermula dengan kitab yang “tiada keraguan” pada ayat pertama dan penegasan “jangan ragu” akan bertemu Nabi Musa alaihissalam (ayat 23) di hujungnya.
Surah yang memugar keyakinan Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam selepas serangan bertali arus mengenai benarkah manusia akan dibangkitkan semula selepas menjadi debu-debu tanah.
Surah sebelum (ayat terakhir) berakhir dengan 5 perkara ghaib dalam pengetahuan Allah subhanahu wa ta’ala, maka Surah as-Sajdah membuat respon satu persatu mengukuhkan makna daripada ayat terkahir surah sebelumnya.
Jabir meriwayatkan,
“Sesungguhnya Nabi salla Allah alaih wa sallam tidak akan tidur sehinggalah baginda membaca alif lam mim tanzil (Surah as-Sajdah) dan tabarakallazi biyadihil mulk (Surah al-Mulk)”.
[Riwayat al-Tirmizi, hadis sahih]
Kesimpulan
Menjawab persoalan – mengapa kita perlu tadabbur Surah as-Sajdah?”
1. Bila habis baca Surah as-Sajdah, kita akan mendapat sebanyak 15,180 pahala (berdasarkan hadis Nabi tentang kelebihan membaca al-Quran iaitu 1 huruf 10 pahala).
2. Mengikut sunnah Nabi yang membaca surah ini pada setiap malam.
3. Menambah iman kita mempercayai akhirat.
4. Dapat mengetahui ciri-ciri orang beriman yang sebenar.
Kita perlu jadi orang beriman seperti yang disebutkan di dalam surah ini antaranya:
- Terus sujud ataupun patuh bila dengar dan baca perintah Allah.
- Bangun malam (qiamullail).
- Berdoa kepada Allah dalam keadaan takut dan tamak.
- Menginfakkan harta yang dia ada di jalan Allah.
Bangun, berilah peringatan!