Surah an-Naazi’aat adalah surah Makkiyah iaitu surah yang turun sebelum Nabi berhijrah ke Madinah.
Sebagaimana yang kita semua maklum, bila surah Makkiyyah, biasanya akan menekankan aspek akidah, keesaan Allah, kerasulan, kehidupan semula di alam akhirat dan balasan bagi setiap amalan.
Asas perbincangan surah ini pula ialah hari kiamat dan segala kesengsaraannya, serta kesudahan bagi penderhaka dan penentang-penentang Allah subhanahu wa ta’ala.
Surah ini turun selepas Surah an-Naba’ sama seperti susunan di dalam al-Quran.
Surah ini mengandungi 46 ayat.
Nama surah ini disebut dalam ayat yang pertama.
An-Naazi’aat bermaksud malaikat yang mencabut nyawa.
Surah keenam dari 15 surah yang bermula dengan sumpah iaitulah as-Saaffaat, adz-Dzaariyaat, at-Tuur, an-Najm, al-Mursalaat, an-Naazi’aat, al-Buruj, at-Taariq, al-Fajr, asy-Syams, al-Lail, adh-Dhuha, at-Tiin, al-‘Aadiyaat dan al-‘Asr.
Surah ini menjadi bukti sejarah mereka yang menyampaikan wahyu iaitu Nabi Musa alaihissalam dan orang yang mendustakan kiamat iaitu Firaun serta bagaimana gagahnya tentera Allah subhanahu wa ta’ala iaitu malaikat menghadapi sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran rasul-Nya.
Surah ini bermula dengan babak kiamat melalui perspektif tugasan malaikat dan bukti daripada kejadian alam itu sendiri.
Surah ini membentangkan fakta sejarah mengenai tokoh yang membelakangkan langsung mesej kiamat iaitu Firaun.
Menurut Ibnu Asyur di dalam kitabnya at-Tahrir wat Tanwir:
Surah ini mencakupi pembahasan tentang penetapan hari kebangkitan dan pembalasan serta kedahsyatan peristiwanya dan kesulitan yang dihadapi manusia pada saat itu.
Intisari Kandungan Surah an-Naazi’aat
Surah ini menegaskan tentang kebenaran hari kiamat yang tidak sepatutnya diragukan oleh sesiapa pun.
Kemudian ditegaskan bahawa kedatangan hari itu ialah pada ketika berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekalian makhluk kecuali beberapa makhluk.
Kemudian diikuti oleh “tiupan sangkakala yang kedua” yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing.
Semuanya itu adalah benar dengan tidak syak lagi, lalu diberi amaran bahawa sesiapa yang mengingkarinya dan berdegil dalam kekufurannya, maka mereka akan menerima akibat yang seburuk-buruknya sebagaimana yang telah menimpa Firaun dan kaumnya yang kufur ingkar.
Setelah itu, diterangkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari akhirat, dan balasan yang didapati oleh orang-orang yang taat dan orang-orang yang derhaka.
Kemudian Allah menerangkan kepada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam mengenai golongan kafir yang selalu bertanya secara mengejek-ejek tentang bilakah datangnya hari kiamat yang dijanjikan itu?
Kepada mereka ditegaskan bahawa hal itu tidak termasuk dalam tugas Baginda, sebaliknya kepada Allah jualah terserah kesudahan ilmu mengenainya.
Jemput baca di sini: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah an-Naas?
Intisari Kandungan Surah an-Naazi’aat Berdasarkan Tafsir Mubin
Surah ini dimulai dengan sumpah Allah subhanahu wa ta’ala dengan malaikat-malaikat yang sentiasa taat serta patuh terhadap perintah Allah subhanahu wa ta’ala untuk mencabut roh orang yang beriman dengan cara yang lemah lembut dan perlahan.
Roh orang yang ingkar dan menderhakai Allah subhanahu wa ta’ala pula dicabut dengan kasar dan disentak dengan keras.
Selain itu, ayat-ayat pada permulaan surah ini juga menyentuh tentang malaikat-malaikat yang menjalankan pentadbiran yang berkaitan dengan urusan makhluk Allah subhanahu wa ta’ala, selaras dengan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Kemudian surah ini melanjutkan perbincangannya tentang orang kafir musyrik yang menyangkal tentang kebenaran kehidupan semula dan perhimpunan agung di alam akhirat, dengan menggambarkan keadaan hati mereka pada hari yang penuh dengan suasana yang menakutkan itu.
Selanjutnya surah ini membicarakan pula masalah Firaun, si penderhaka yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan dan terus bermahajarajalela melakukan kekejaman serta kezaliman lalu Allah subhanahu wa ta’ala menimpakan balasan bagi perbuatan kejamnya itu ke atas dirinya dan juga kaum keluarganya.
Allah subhanahu wa ta’ala menenggelamkan mereka di dalam laut bersama-sama dengan kaum mereka iaitu kaum Qibti.
Seterusnya surah ini membincangkan persoalan kederhakaan, keingkaran dan kebiadaban penduduk Makkah terhadap Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dengan memberikan amaran dan peringatan kepada mereka bahawa mereka adalah sangat lemah berbanding dengan makhluk Allah subhanahu wa ta’ala yang lain.
Akhirnya surah ini diakhiri dengan menjelaskan perihal hari kiamat yang tidak dipercayai langsung oleh kaum musyrik dan sebaliknya pula mereka mempersendakannya.
Pembahagian Surah an-Naazi’aat
Ayat 1-5: Sumpah dengan makhluk (malaikat) yang akan diperintahkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala untuk membenarkan kiamat. Ada juga ulama yang berpandangan bahawa makhluk ini ialah angin, sebesar-besar unseen world yang wujud namun boleh memusnahkan.
Ayat 6-14: Benarnya Mahysar.
Ayat 15-26: Lihat sejarah kemusnahan Firaun yang mendustakan akhirat.
Ayat 27-33: Lihat penciptaanmu yang lebih mudah daripada penciptaan alam yang ditundukkan untuk kamu.
Ayat 34-41: Benarnya akhirat.
Ayat 42-46: Situasi Quraisy.
Bangun, berilah peringatan!