fbpx

Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah al-Fatihah?

Dalam banyak-banyak surah di dalam al-Quran, mengapa Allah memilih surah al-Fatihah supaya diulang banyak kali?

Paling minimum kita akan ulang Surah al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari.

Kalau maksimum pula, campur solat fardu lima waktu, sunat qabliah dan ba’diah, sunat tahajud, sunat duha dan sunat witir, kita akan ulang Surah al-Fatihah lebih kurang 36 kali sehari.

Isi Kandungan

    Berapa Kali Kita Baca Surah al-Fatihah?

    Kita ambiklah contoh paling minimum, kita ulang Surah al-Fatihah sebanyak 17 kali.

    Kalau seminggu berapa kali?

    17×7= 119 kali.

    Kalau sebulan?

    17×30= 510 kali.

    Kalau setahun?

    17×365= 6205 kali.

    Kalau 10 tahun?

    6205x 10= 62,050 kali.

    Tanpa kita sedar dan rasa terbeban, kita telah membaca Surah al-Fatihah sebanyak 62,050 kali.

    Ini kalau sepuluh tahun, sekarang kita dah berapa tahun mendirikan solat?

    Kita boleh buat kiraan sendiri.

    Jadi banyak kan?

    Ya, banyak sangat.

    Dua Sebab Allah Memilih Surah al-Fatihah

    Jadi persoalannya ialah mengapa Allah memilih Surah al-Fatihah?

    Dalam solat, kalau kita tidak membaca Surah al-Baqarah, okey.

    Kalau kita tidak membaca Surah al-Ikhlas, pun okey.

    Tapi kalau kita tidak membaca Surah al-Fatihah, solat kita batal dan Allah perintahkan pada kita wajib ulang solat.

    hakimdarno - mengapa kita perlu tadabbur surah al-fatihah 1

    Jadi, mesti ada rahsia ataupun mesej yang sangat penting Allah ingin sampaikan.

    Kata Ustaz Abd Muein, secara umumnya kenapa Allah suruh kita ulang surah al-Fatihah banyak kali yang pertama ialah kalau kita faham, kalau kita hayati maksud surah ini, dia merangkumi keseluruhan isi kandungan al-Quran sebanyak 30 juzuk.

    Maksudnya 30 juzuk al-Quran, 114 surah dan 6236 ayat diringkaskan atau disimpulkan di dalam Surah al-Fatihah.

    114 surah disimpulkan menjadi al-Fatihah.

    Al-Fatihah disimpulkan menjadi bismillahirrahmanirrahim.

    Bismillahirrahmanirrahim disimpulkan menjadi huruf ba.

    Huruf ba disimpulkan menjadi titik.

    ~Hamka.

    Dalam buku Kompas 114 tulisan Ustaz Syaari Ab Rahman menyatakan bahawa surah ini menggambarkan pembukaan al-Quran – tanpa melalui surah ini, kefahaman tentang isi kandungan al-Quran tidak akan dibuka kepada pembaca kitab ini, maka surah ini adalah “kunci” bagi keseluruhan 113 surah.

    Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam menyebut juga al-Fatihah sebagai al-Masani, al-Asas, Ummul Kitab (hadis sahih Bukhari), Ummul Quran (hadis sahih Bukhari) bahkan lebih daripada 10 nama menurut al-Biqaie.

    Surah ini membuktikan bahawa Allah subhanahu wa ta’ala Maha Berkuasa untuk mempermudahkan al-Quran sehingga 113 surah dirumuskan oleh Surah al-Fatihah.

    (113 surah selepas itu ialah jawapan Allah subhanahu wa ta’ala untuk doa dalam al-Fatihah).

    hakimdarno - mengapa kita perlu tadabbur surah al-fatihah 2

    Surah al-Fatihah juga merupakan surah tahmid yang pertama iaitu lima surah yang bermula dengan lafaz alhamdulillah.

    Lima Surah Yang Dimulakan Dengan Lafaz Alhamdulillah

    1. Surah al-Fatihah:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

    Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

    [Surah al-Fatihah 1: 2]

    2. Surah al-An’aam:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَٰتِ وَٱلنُّورَ ۖ ثُمَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

    Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

    [Surah al-An’aam 6: 1]

    3. Surah al-Kahfi:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا ۜ

    Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).

    [Surah al-Kahf 18: 1]

    4. Surah Saba’:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلْءَاخِرَةِ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْخَبِيرُ

    Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

    [Surah Saba’ 34: 1]

    5. Surah Faatir:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ جَاعِلِ ٱلْمَلَٰٓئِكَةِ رُسُلًا أُو۟لِىٓ أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ ۚ يَزِيدُ فِى ٱلْخَلْقِ مَا يَشَآءُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

    Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

    [Surah Faatir 35: 1]

    Selain itu, surah al-Fatihah merupakan surah pertama yang sempurna diturunkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala kepada Baginda salla Allah ‘alaih wa sallam dan surah kelima turun berdasarkan kronologi penurunan surah di Makkah.

    Menariknya di dalam buku Kompas 114 ini, dinyatakan juga tentang hubungan awalan dan akhiran surah iaitu:

    • Segala puji bagi Allah subhanahu wa ta’ala yang memberikan nikmat jalan yang lurus iaitu al-Quran sebagai nikmat terbesar berbanding segala nikmat lain kepada manusia.
    • Bermula  dengan Allah subhanahu wa ta’ala memperkenalkan diri-Nya sebagai Rab kepada manusia (al-‘Alamin) dan berakhir dengan Allah sebagai Rab kepada tiga golongan manusia iaitu golongan yang diberikan nikmat, golongan yang ditimpa kemurkaan dan golongan yang sesat.

    Yang kedua kata Ustaz Abd Muein, agama kita ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu akidah, ibadah dan akhlak.

    Jadi, dalam surah al-Fatihah ini dia merangkumi 3 pembahagian tadi – akidah ada, ibadat ada dan akhlak pun ada.

    Pembahagian Surah al-Fatihah

    Ayat 1-3: Memperkenal Allah, sifat-Nya kepada makhluk-Nya di dunia dan akhirat.

    Ayat 4: Memperkenalkan akhirat sebagai arah tuju perjalanan hidup kamu.

    Ayat 5: Menjelaskan tujuan hidup iaitu beribadah. Ibadah bermaksud apa yang perlu kamu buat setelah kamu mengenal Allah subhanahu wa ta’ala dan setelah kamu mengenali bahawa akhirat itu wujud.

    Ayat 6: Motivasi diri agar sentiasa melakukan yang terbaik di dunia dan di akhirat sebagaimana para Anbiya dan mereka yang diberikan nikmat oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

    Ayat 7: Sentiasa berhati-hati atas jalan ini kerana ada ramai musuh yang mahu menggelincirkan para hamba-Nya.

    Surah ini mengandungi separuh pujian dan separuh doa (jumlah huruf juga sama antara pujian dan permintaan).

    Bangun, berilah peringatan!

    2 thoughts on “Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah al-Fatihah?”

    1. Bismillahirrahmanirrahim disimpulkan menjadi huruf ba.

      Huruf ba disimpulkan menjadi titik.

      Mohon dibetulkan kerana Hamka tidak mengatakan demikian…boleh rujuk dalam tafsir al azhar buya Hamka sendiri .

      Reply

    Leave a Comment