Menyebut tentang bintang, sudah pasti kita akan teringat dengan salah satu surah di dalam al-Quran iaitu Surah al-Buruj.
Nama surah ini disebut pada ayat pertama lagi,
وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ
Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang.
[Surah al-Buruj 85: 1]
Al-Buruj bermaksud gugusan bintang.
Mengapa Allah Bersumpah Dengan Buruj?
Sebab Buruj akan beralih dan bergerak.
Jadi, apabila kita melihat Buruj, mudah-mudahan memberi peringatan kepada kita bahawa pada suatu hari nanti, kita juga akan beralih dan bergerak ke alam Mahsyar.
Surah ini adalah surah Makkiyyah iaitu surah yang turun sebelum Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam berhijrah ke Madinatul Munawwarah.
Mempunyai 22 ayat dan turun selepas Surah asy-Syams (Kompas 114, Ustaz Syaari Ab Rahman).
Tidak ada hadis yang khusus menyebut tentang kelebihan surah ini.
Tapi tidak bermakna surah ini perlu dipandang sepi.
Malah, surah ini sangat-sangat kita perlukan terutamanya ketika ditindas oleh musuh-musuh kita.
“Wahai manusia! Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui di atas semua kekejaman yang kalian lakukan dan kamu semua tidak akan terlepas daripada hukuman Allah subhanahu wa ta’ala.”
- Jemput baca: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah al-Fatihah?
Fakta Menarik Tentang Surah al-Buruj
Menurut buku Kompas 114 karangan Ustaz Syaari Ab Rahman, ada 8 fakta menarik yang membuat saya mahu mendalami (tadabbur) surah ini:
1. Surah ini merupakan surah yang ke-7 daripada 15 surah yang bermula dengan sumpah iaitu as-Saaffaat, adz-Dzaariyaat, at-Tuur, an-Najm, al-Mursalaat, an-Naazi’aat, al-Buruj, at-Taariq, al-Fajr, asy-Syams, adh-Dhuha, at-Tiin, al-‘Aadiyaat dan al-‘Asr.
2. Surah ini mempunyai dua objektif iaitu:
- Mengancam para penjenayah dan pembunuh kaum mukminin zaman-berzaman.
- Memberikan motivasi kepada mukminin yang sedang diseksa dan dibantai (teringat saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Uyghur dan Rohingya).
3. Surah ini turun pada permulaan fasa tiga iaitu ketika umat Islam sudah dibantai dan dipukul bahkan ada yang telah syahid seperti Sumayyah radhiyallahu anha dan beberapa sahabat besar mustadhafeen radhiyallahu anhum yang lain.
4. Surah ini menggambarkan betapa dahsyatnya ujian yang diterima oleh orang yang beriman dan beramal soleh pada zaman dahulu berbanding umat Islam selepasnya.
5. Surah ini memberikan motivasi kepada para sahabat Nabi bahawa Quraisy akan menerima nasib yang sama dengan raja yang zalim.
6. Memberikan motivasi kepada para sahabat supaya kekal dengan tauhid kepada Allah subhanahu wa ta’ala walaupun teruk diseksa.
7. Memberikan motivasi kepada para sahabat supaya yakin pada Allah subhanahu wa ta’ala Yang Maha Menyaksikan setiap kekejaman yang orang kafir lakukan.
8. Orang kafir hebat daripada sudut kekuatan dan ketenteraan, tetapi ditumpaskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dengan mudah sekali.
Begitulah mesej yang dibawa oleh surah Makkiyyah iaitu memberi penekanan kepada kita tentang aspek akidah.
Sunnatullah Orang Yang Beriman
Allah subhanahu wa ta’ala nak mantapkan akidah orang-orang yang beriman khususnya pada waktu surah ini diturunkan iaitu orang Mekah.
Pada peringkat awal dakwah, para sahabat sentiasa ditekan, dihina, dicaci, ditangkap, diseksa dan ada yang sampai dibunuh.
Begitulah cabaran yang perlu dihadapi oleh orang-orang yang beriman.
Ketika mereka mahukan kebenaran dan mahu kembali kepada Allah subhanahu wa ta’ala, apa yang mereka dapat bukan kesenangan, bukan kemewahan, tetapi yang mereka dapat ialah kehinaan, penindasan dan penyeksaan demi penyeksaan.
Maka sunnatullah orang yang beriman, pasti di sana ada ujian.
Dan Allah bila tengok hamba-hamba-Nya betul-betul sabar dan betul-betul bertahan dengan akidahnya walaupun diuji.
Maka ketika itu, Allah nak hiburkan hamba-hambaNya yang tetap beriman.
Dan hiburan bagi orang beriman ialah kisah-kisah umat-umat dahulu dan janji-janji Allah setelah mereka meninggal dunia.
Itulah hiburan mereka.
Tetapi tidak mungkin janji Allah itu menjadi hiburan bagi orang beriman kalau mereka sendiri tidak yakin dan tidak percaya.
Sebab itu asas kepada hiburan ialah yakin pada Allah subhanahu wata’la.
Apa lagi yang mereka mahukan kalau bukan syurga yang kekal abadi.
Jadi Surah al-Buruj lebih kepada nak menghiburkan hati Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dan para sahabat yang tertekan, yang dihina, yang diseksa dalam tempoh dakwah mereka di Mekah al-Mukarramah.
Begitulah lebih kurang intipati surah ini.
Jadi, kalau boleh kita nak kaitkan dengan diri kita, kalau kita dihina, diperli, tidak diendahkan dalam usaha menegakkan kebenaran atau ketika berdakwah, bacalah dan tadabburlah surah ini.
Kerana itulah mood Surah al-Buruj.
Hiburan untuk orang yang ditindas!
Pembahagian Surah al-Buruj
Ayat 1 – 3: Allah bersumpah dengan tiga makhluk.
Ayat 4 – 11: Kisah Ashabul Ukhdud.
Ayat 12 – 16: Kehebatan Allah subhanahu wa ta’ala.
Ayat 17 – 20: Kisah Firaun & Thamud.
Ayat 21 – 22: Keagungan al-Quran.
Bangun, berilah peringatan!