Surah al-Bayyinah adalah surah Madaniyyah iaitu surah yang turun selepas Nabi berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.
Surah ini mengandungi lapan ayat dan turun selepas Surah at-Talaaq.
Kenapa surah ini dinamakan al-Bayyinah?
Kerana ada perkataan al-Bayyinah yang disebut dua kali dalam surah ini iaitu di hujung ayat yang pertama:
لَمْ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ وَٱلْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ ٱلْبَيِّنَةُ
Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
Dan juga dihujung ayat yang keempat:
وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَةُ
Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
Menurut Ustaz Syaari Ab Rahman di dalam bukunya Kompas 114 pula, nama surah ini disebut dalam ayat 1 (kecelakaan buat ahli kitab dan juga musyrikin yang semakin terserlah kebenaran, semakin jelas kesombongan mereka).
Apa makna al-Bayyinah?
Kata Ustaz Abd Muein, bayyinah ialah bukti atau keterangan yang sangat jelas sehingga manusia tidak boleh menafikannya.
Sebab itulah kalau Hakim ataupun Qadi nak jatuhkan hukuman, dia memerlukan satu bayyinah ataupun bukti.
Bukti yang jelas inilah yang akan menentukan dia bersalah ataupun tidak.
Dan bila Hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan bukti yang nyata, maka tidak ada ruang lagi bagi pihak yang bersalah untuk menafikannya.
Itulah maksud al-Bayyinah.
Sebab itu Nabi kata dalam satu hadis yang sahih,
البينة على المدَّعِي
Siapa yang mendakwa ataupun menuduh, maka hendaklah wajib ke atasnya membawa bayyinah (bukti).
Jadi bayyinah dalam surah al-Bayyinah merujuk kepada Rasulullah dan juga al-Quran.
Kenapa?
Sebab al-Quran dan Rasulullah adalah bukti yang cukup jelas dan tidak boleh dinafikan sama sekali bahawa Islam adalah agama yang benar kerana datang daripada Allah subhanahu wa ta’ala.
- Jemput baca: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah as-Sajdah?
Intipati Surah al-Bayyinah
Antara intipati surah ini ialah:
1. Allah nak beritahu bahawa manusia ini akan tetap berada di dalam kekufuran ataupun kesesatan sehinggalah datang kepadanya kebenaran.
Siapakah manusia yang bertuah itu?
Manusia yang benar-benar berakal.
Tetapi, selagi mana al-Bayyinah (Rasul ataupun al-Quran) tidak datang kepada mereka, mereka tidak mungkin akan menjadi orang yang beriman kepada Allah dan juga hari akhirat.
2. Allah nak beritahu tentang sifat munafik ataupun sifat kepura-puraan manusia yang mulutnya selalu mengaku beriman kepada Allah, Rasul dan juga al-Quran, tetapi bila Rasul dan juga al-Quran datang kepadanya, mereka menolak.
Mulutnya membaca al-Quran, tetapi akhlaknya ataupun hala tujunya tidak sama dengan al-Quran.
3. Allah nak menghiburkan hati Nabi.
Sebab walaupun Nabi telah menyampaikan kebenaran daripada Allah, sebahagian besar manusia khususnya ahli kitab (yahudi dan nasrani) dan juga orang musyrikin menolaknya.
Maka Allah kata, jangan sedih sebab Nabi telah menyampaikan bukti yang cukup jelas kepada mereka.
Mereka tolak bukan sebab jahil, ataupun bayyinah tidak sampai kepada mereka, tetapi disebabkan sombong.
Maka Nabi jangan sedih, bukan salah Nabi, bukan kekurangan ataupun kelemahan Nabi, Nabi telah menyampaikan yang terbaik.
Cuma mereka sahaja yang berhati keras menolak kebenaran.
Sebab itulah dalam buku Kompas 114 juga mengatakan objektif surah ini adalah untuk mengangkat kedudukan Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam sebagai guru yang menyampaikan wahyu selepas surah sebelumnya mengangkat kedudukan wahyu dan ketinggiannya.
4. Surah ini menerangkan bahawa orang- orang Yahudi dan Nasrani yang diberi Kitab Taurat dan Injil itu, tidak berpecah belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
Ya’ni bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam ialah Rasul yang dijanjikan kedatangannya di dalam Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka.
Berlakunya perpecahan dan perselisihan itu semata-mata kerana ada di antara mereka orang-orang yang sayang meninggalkan kepercayaan dan amalan yang diterimanya turun temurun, dan ada pula yang berperasaan hasad dengki serta sayangkan pangkat dan pengaruh yang mereka nikmati faedahnya.
Kemudian ditegaskan lagi bahawa, mereka berpecah-belah dan berselisihan pada dasar-dasar agama dan cabangnya, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya mereka mengikhlaskan ibadat kepada Allah, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat.
Dan yang demikian itulah agama yang benar.
Nota: Poin 4 ini diambil daripada aplikasi Smart al-Quran.
Sebuah aplikasi hasil usahasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ini merupakan aplikasi mudah alih pertama bagi al-Quran yang mendapat kelulusan pihak berkuasa di Malaysia serta diperakui dari segi kesahihan maklumatnya.
Jemput download aplikasi itu di sini:
https://play.google.com/store/apps/details?id=com.madcatworld.qurantestbed&pcampaignid=web_share
Surah ini diakhiri dengan menerangkan azab seksa yang akan menimpa orang-orang yang kufur ingkar, dan balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beriman dan beramal salih.
Kalau kita perhatikan, Surah al-Bayyinah ini diapit oleh Surah al-‘Alaq dan juga Surah al-Qadr.
Surah al-‘Alaq cerita tentang apakah wahyu yang pertama, Surah al-Qadr pula cerita tentang bilakah wahyu pertama dan Surah al-Bayyinah ini menceritakan tentang orang yang diturunkan wahyu itu iaitu Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam (yang menyampaikan silibus al-Quran selama 23 tahun.
Jadi kalau kita lihat secara umum, buku Kompas 114 membahagikan surah ini kepada dua bahagian.
Bahagian yang pertama, ayat 1-5:
Cerita tentang definisi bayyinah dan respon Yahudi dan musyrikin terhadap kenyataan bahawa Rasul itu Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.
Bahagian yang kedua, ayat 5-8:
Cerita tentang ancaman neraka dan syurga dengan sifatnya yang kekal abadi.
Bangun, berilah peringatan!