Gaji yang Allah tawarkan kepada orang yang melakukan amal soleh.
Ustaz Abdul Muein memetik kata-kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah,
“Manusia akan menjadi (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – sebaik-baiknya apabila fizikal dan hatinya mengikut cara Nabi daripada mula hingga akhir hayatnya. Dan manusia boleh menjadi (أَسْفَلَ سَٰفِلِينَ) – menjadi orang yang hina atau pun paling hina apabila amalannya bercanggah dengan Nabi.”
Kalau orang kafir, memang sah mereka masuk ke dalam neraka sebab mereka memang tidak beriman kepada Allah daripada awal lagi.
Tetapi yang paling kita risau ialah orang yang solat, puasa dan zikir pun ada potensi menjadi (أَسْفَلَ سَٰفِلِينَ) – menjadi orang yang hina atau pun paling hina.
Puncanya sebab tidak ikut Nabi.
Maka sebab itulah kata ulama, syarat melakukan amal soleh ialah amalannya mesti sama dengan Nabi sebagaimana Allah sebut di dalam Surah ali-‘Imran ayat 31.
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah ali-‘Imran 3: 31]
Kemudian, siapa yang melakukan amal soleh seperti Nabi, Allah akan berikan kepadanya ganjaran.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ
Maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
[Surah at-Tiin 95: 6]
Allah dorong kita, jika kita rajin melakukan amal soleh, Allah akan berikan kita (أَجْرٌ) – pahala.
Menurut ustaz, perkataan (أَجْرٌ) dalam bahasa Arab bermaksud upah.
Kenapa Allah sebut upah?
Kerana kita manusia memang suka mendapat upah.
Upah ke, hadiah ke, atau apa sahaja yang seumpama dengannya.
Kalau kita diberikan pilihan, antara kerja dapat gaji dengan kerja percuma, mana yang kita pilih?
Mestilah kerja yang mendapat gaji.
Antara gaji sikit dengan gaji banyak, mana yang kita pilih?
Mestilah gaji banyak.
Antara gaji sampai umur pencen dengan gaji sepanjang hayat, mana yang kita pilih?
Mestilah gaji sepanjang hayat.
Kita tidak perlu mempunyai akal yang bijak untuk menjawab soalan-soalan ini.
Cukup kita hanya menjadi orang yang waras.
Kalau kita waras, mestilah kita akan membuat pilihan yang akan memberikan banyak keuntungan kepada diri kita.
Kalau kita nak mohon kerja, apakah faktor pertama yang akan kita lihat dahulu?
Pertama, sudah pasti kedudukan syarikatnya.
Kalau syarikat itu kaya dan hebat, sudah pasti kita akan terima.
Kedua, mesti kita lihat gaji yang bakal kita perolehi.
Kemudian barulah melihat kelebihan-kelebihan lain yang ditawarkan kepada kita.
Tetapi malangnya, kewarasan kita hanya bekerja dengan manusia.
Bila bekerja dengan Allah kita menjadi tidak waras.
Sedangkan bila kita bekerja dengan Allah, Allah yang akan berikan gaji kepada kita.
Bukan bos dalam syarikat, bukan Perdana Menteri, tapi pencipta langit dan bumi.
Maksudnya, yang nak bagi gaji bila kita beriman dan melakukan amal soleh ialah Allah subhanahu wa ta’ala.
Cuba tengok, berapa gaji atau upah yang Allah nak bagi pada kita, (غَيْرُ مَمْنُونٍ).
Kata ustaz, perkataan (مَمْنُونٍ) maksudnya tidak terputus.
Maksudnya gaji yang Allah nak bagi bila kita bekerja (beriman dan beramal soleh) dengan Allah, bukan sampai setakat umur 60, bukan setakat mati, bukan setakat di dalam kubur, bukan setakat di padang mahsyar tetapi sampai ke syurga.
Ya Allah … betapa ruginya bila kita tidak kenal Allah.
Jemput baca:
Ruginya bila kita malas bekerja dengan pencipta langit dan bumi.
Betapa peliknya kita berpenat lelah bekerja dengan manusia yang lemah, sanggup keluar pagi balik petang, daripada umur muda sehingga ke tua.
Bekerja sehingga membuat kita sakit sedangkan gaji yang kita dapat suatu hari nanti akan terputus.
(Tetapi bukan pula bermaksud kita tidak perlu bekerja bersungguh-sungguh. Fahami konteks yang saya maksudkan).
Tetapi, apabila solat atau beribadah kepada Allah yang upahnya tidak akan putus, kita tidak buat dengan bersungguh-sungguh.
Inilah tanda kita tidak kenal dengan kehebatan dan kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala.
Jadi, kalau kita tahu setiap ibadah yang dilakukan itu akan mendapat pulangan yang berterusan, kita akan solat awal waktu dan solat dengan lebih lama.
Kita akan sedekah dengan lebih banyak.
Kita akan sentiasa berzikir kepada Allah.
Sebab, semakin lama kita beribadah kepada Allah, pulangannya semakin besar.
Inilah orang yang kenal Allah dan orang yang yakin dan percaya dengan janji Allah subhanahu wa ta’ala.
Bangun, berilah peringatan!