fbpx

Membaca Adalah Gim Untuk Akal

Saya sangat tertarik dan teruja dengan perumpamaan yang diberikan oleh Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad ataupun ZRA iaitu “Membaca adalah gim untuk akal”.

Keterujaan saya ini, saya buktikan dengan menulis artikel ini.

Saya jumpa keratan video beliau di Tiktok yang menceritakan tentang tajuk ini.

Kemudian tak puas, saya cari pula di Youtube.

Alhamdulillah saya jumpa video yang lebih panjang, cukup untuk saya menghadam idea yang cuba disampaikan.

Kata beliau, membaca ini umpama gimnasium untuk akal.

Kenapa?

Kerana kalau kita pergi ke gim, kemudian kita berlari menggunakan treadmill, kita sedang membina tenaga yang luar biasa dan memberi lebih ruang kepada kardio kita untuk bekerja.

Kerja apa?

Mengepam darah dan menghantar oksigen pada seluruh otot.

Begitulah perumpamannya kalau kita membaca beribu-ribu perkataan daripada sebuah buku.

Ia menggerakkan kardio di dalam otak kita.

Bayangkan otak kita ini ada kardio, dan kardio ini memerlukan stamina untuk membolehkan kita mempunyai kekuatan berfikir, menelaah maklumat dan kekuatan untuk memahami sesuatu.

Maksudnya jika kita membaca buku yang tebal bererti kita sedang berlari di atas treadmill dalam tempoh yang lama.

Secara tak langsung perbendaharaan kata, perkataan, permaknaan, pengayatan (ayat yang digunakan), pemaksudan, penghujahan dan akhirnya naratif yang kita capai daripada sebuah buku ialah gim yang membangunkan akal kita.

Buku Bukan Untuk Dinikmati

Kita membaca bukan untuk menikmati buku.

Begitu juga bila kita pergi gim, kita pergi gim bukan untuk menikmati treadmill.

Tetapi kita berlari untuk melakukan latihan menguatkan injap jantung (kardio kita).

Supaya kardio kita boleh pam oksigen yang cukup pada otot kita.

Kerana otot dan kardio bekerja serentak ketika kita menggunakan treadmill.

Begitulah tujuan kita membaca buku-buku yang tebal dan panjang, ia adalah kardio kepada akal kita.

Membaca Buku Yang Panjang Adalah Kardio Kepada IQ (Darjah Kecerdasan Otak)

Membaca buku yang panjang menyebabkan kita mempunyai IQ yang bertenaga dan mampu berfikir dengan stamina yang lama kerana proses membaca bererti proses gimnasium pada akal.

Maksudnya semakin banyak kita membaca, neuron dalam akal kita akan bekerja dan terus bekerja.

Bererti sepertimana fizikal mendapat stamina melalui larian di atas treadmill ataupun joging, begitulah stamina akal dibentuk oleh latihan membaca.

Selain itu, membaca juga menyediakan struktur perbendaharaan kata dan pembahasaan di dalam fikiran kita.

Katakanlah kita membaca buku yang bertajuk Muhammad tulisan Martin Lings, ia akan datang kepada kita perbendaharaan kata akademik.

Iaitu dipanggil penalaan atau perataan perkataan berdasarkan kepada hujah-hujah akademik.

Buku-buku macam ini, baik untuk dibaca oleh orang yang lemah dalam menyampaikan hujah.

Contohnya kalau kita bekerja di pejabat, kita ada idea.

Kemudian, kita nak gambarkan idea kita itu tapi berterabur.

Bermaksud kita ada premis, tetapi kita lemah daripada segi hujah.

Ini menyebabkan idea kita tidak dapat disampaikan dengan baik kerana akal kita tidak dilatih untuk mengemas kini cara penyampaian hujah.

Jadi buku-buku akademik, ia ada premis dan juga hujah.

Ia ada penstrukturan dalam menyampaikan hujah.

Pemikiran yang saya (ZRA) miliki sekarang, bukanlah datang daripada bakat, ia datang kerana saya suka membaca semenjak berusia 19 tahun lagi.

Dan saya aktif membaca pada usia 20 hingga 38 tahun (lebih kurang 18 tahun itu).

Paling buruk pun, saya akan cuba kekal membaca dua buah buku setiap tahun walaupun membaca buku yang sama.

Kalau tak ada buku baru yang boleh menarik minat dan mempunyai daya tarikan yang menarik, memang saya tidak akan beli buku baru.

Membaca Buku Tebal Meningkatkan Fikiran

Tidak ada buku yang sekali kita baca, terus kifa faham.

Dan kalau kita tidak faham, buku itu tidak berkualiti.

Contohnya bila saya membaca buku Sejarah Eropah Moden.

Saya membaca semenjak tahun 1987 sehingglah ke hari ini.

Semuanya dalam lebih kurang 16 kali.

Dalam tempoh ini, saya hanya faham 30 peratus sahaja daripada kandungan buku.

Paling tinggi lah ini.

Tetapi ketidakfahaman tersebut meningkatkan fikiran saya pada setiap kali membacanya.

Begitulah juga dengan berlari.

Kalau kita biasa berlari empat kilometer, kemudian tambah ke lima kilometer, fizikal kita akan menjadi lebih kuat.

Tambah lagi enam kilometer, lagi kuat.

Jadi kalau matlamat kita berlari adalah 10 kilometer, bagaimana kita nak mula?

Mulalah dengan satu kilometer, naik dua kilometer, naik tiga kilometer dan akhirnya kita mencapai sasaran kita iaitu 10 kilometer.

Maka tidak ada istilah orang lembik kalau kita hanya mampu berlari enam kilometer sahaja, sedangkan kemampuan kita sebenar adalah 10 kilometer.

Cuma kena ikutlah formula tadi.

Kita tingkatkan sedikit demi sedikit.

Begitulah juga dengan membaca.

Tidak ada istilah bodoh bagi orang yang membaca buku penuh 100% tetapi kefahamannya hanya 50%.

Balik kepada teori joging tadi, kalau kita hanya faham 50% baca kali pertama, kita ulang baca lagi.

Ini akan meningkatkan peratusan kefahaman kita.

Kita Bukan Masyarakat Yang Membaca

Kegagalan orang Melayu dalam membentangkan idea dan menstrukturkan hujah adalah kerana kita bukanlah masyarakat yang membaca.

Sebab ada beza penuturan yang disampaikan oleh bangsa yang masyarakatnya membaca dengan penuturan dan pembentangan yang disampaikan oleh bangsa yang tidak membaca.

Pelajar-pelajar kita sama ada lulusan diploma, ijazah atau master, malah phd sekalipun kadang-kadang kalau kita dengar mereka bercakap, tidak ada beza dengan orang yang tidak mempunyai pendidikan.

Maksudnya kelemahan mereka dalam menyampaikan hujah itu sangat ketara.

Kenapa situasi ini berlaku?

Pertama, kerana mereka tidak mempunyai penguasaan perbendaharaan kata.

Jadi apabila mereka mendapat satu gambaran idea, mereka tidak dapat menemui perkataan yang tepat kerana di dalam minda mereka mempunyai jumlah perkataan yang sangat terhad.

Bila mereka nak melunaskan sesuatu idea dengan perbendaharaan kata yang terbatas, komunikasi akan gagal kerana komunikasi adalah perbendaharaan kata atau perkataan yang dihantar oleh bunyi yang berbentuk kata-kata dan kata-kata membentuk makna.

Kata-kata yang membentuk makna hanya boleh dicapai dalam perbendaharaan kata sekiranya kita ada dua perkara:

Satu, kalau kita rajin hadir ke majlis di mana pembahas-pembahas ataupun pembentang kertas kerja yang hebat memberikan kuliah.

Dalam bab ini mustahil kita nak buat sebab susah nak jumpa majlis yang sebegitu.

Kalau ada pun, tidak kena dengan waktu lapang yang kita ada.

Berbeza dengan buku.

Buku adalah majlis ilmu yang boleh berada di sebelah kita bila-bila masa.

Jadi proses membaca adalah sebahagian daripada latihan minda untuk kita menguasai perbendaharaan kata.

Perbendaharaan kata menguasai makna perkataan yang kita nak ucapkan.

Maksudnya perkataan menguasai idea yang ingin kita sampaikan.

Bererti kalau kita membaca buku Dunia Sama Rata tulisan Thomas L. Friedman, yang tebalnya lebih kurang 80 ribu perkataan.

Bermaksud buku ini telah menghantar komunikasi kepada kita dalam 80 ribu perkataan.

Dan bila kita membaca buku ini, kita dapat melihat bagaimana penstrukturan mengenai ekonomi di susun.

Maka akhirnya kita mempunyai kosa kata tentang struktur ekonomi.

Jadi kalau kita menyampaikan ucapan tentang ekonomi, kita akan jadi bijak menyusunnya kerana kita terlatih untuk membaca buku yang membahas dan menyampaikan idea tentang ekonomi.

Membaca Slide

Ataupun katalah kita ini adalah seorang peniaga yang nak pergi membentangkan kertas kerja di bank, tak adalah kita asyik tunjuk slide dan baca balik tulisan di slide.

Contoh kita kata, “Perniagaan saya akan menumpukan kepada penjualan barangan-barangan produk OEM yang dibekalkan oleh kampung di sebelah kampung saya”.

Kita baca tulisan yang ada di slide semata-mata.

Sebenarnya slide adalah narrow of the picture.

Maksudnya slide itu satu gambar, tetapi gambar itu mempunyai seribu perkataan.

Dan perkataan itu datang daripada orang yang membentangkannya.

Maka slide hanyalah imaginasi yang mempengaruhi orang yang mendengar pembentangan kita berdasarkan kata-kata yang kita ucapkan.

Buku Bukan Untuk Difahami

Jangan keluarkan hukum membaca buku adalah untuk difahami.

Bukan.

Buku dihukumkan sebagai melatih atau mengayakan minda.

Ia umpama uranium.

Kalau kita panggil pengayaan uranium adalah untuk menghasilkan nuklear, maka membaca buku adalah uranium untuk menghasilkan kebolehan minda untuk menyuarakan pandangan kita.

Berbalik kepada kegagalan para graduan kita dalam mengeluarkan hujah tadi adalah kerana mereka hanya belajar untuk menjawab soalan.

Bukannya belajar untuk menghujahkan idea.

Mereka tidak belajar untuk mengkaji sesuatu premis, menyampaikan hujah premis, mengabsahkan hujah premis, dan akhirnya meyakinkan orang bahawa premis penghujahan mereka adalah premis yang boleh di terima dan boleh berfungsi.

Saya membaca sesebuah buku berkali-kali dengan mengikut manualnya. Baca satu-satu,  ataupun saya pilih bab-bab yang releven untuk saya baca ataupun yang lebih dekat dengan fikiran harian saya. Yang saya memerlukan kefahaman yang lebih banyak dan lebih pantas kerana saya juga sedang menjalankan perniagaan sekarang.

[Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad]

Ada Apa Dengan Buku?

Apabila kita telah menguasai ilmu penghujahan, kita juga perlu ada ilmu mantik iaitu janganlah kita berhujah tak tentu hala sehingga kelihatan seperti palatao.

Contoh kita ambil buku Pena dan Pedang oleh David Barsamian yang menulis mengenai seorang pemikir hebat yang tak dapat dipisahkan daripada Timur Tengah iaitu Edwad Said.

Kalau kita baca buku ini, kekuatan utamanya adalah naratifnya.

Seseorang yang menulis tentang seseorang yang lain.

Orang ingat buku ini ditulis oleh Edward Said sebab buku ini cerita tentang dirinya.

Sedangakan tidak, buku ini ditulis oleh seseorang yang bernama David Barsamian.

Jadi bagi menjawab persoalan tentang apa itu erti sebuah buku, bukanlah tentang membaca dan mengetahui tentang sebuah buku.

Keajaiban buku adalah ilmu yang kita ambil, akan dipulangkan dalam 10 ilmu lain yang berguna kepada diri kita.

Sebab itu, kalau kita baca buku, khasiatnya bukanlah menjadi najis.

Tetapi buku ini menjadi darah daging.

Maka sebab itu, kita kena cari buku yang halal (halalan tayyiban), iaitu  buku yang  baik kandungannya dan manfaat isinya.

Pesan Tuan Haji ZRA

Jangan baca buku lompat-lompat sebab saya membaca buku mengikut disiplin iaitu daripada satu muka surat ke satu muka surat, daripada satu perkataan ke satu perkataan dan tidak ada buku yang saya baca, saya boleh faham lebih daripada 70%.

Kita tak boleh faham semuanya.

Kalau capai 70%  kira tererlah itu.

Contohnya saya baca buku yang bertajuk Bumi Manusia, buku ini saya hanya faham sekitar 70% sahaja.

Sebab bila sampai bab konflik, saya perlu merujuk kepada sejarah.

Kerana waktu penulis menulis novel tersebut, penulis telah memperincikan satu konflik pertembungan di antara kumpulan kiri dan kanan antara politik Indonesia pada awal abad ke-20.  

Kalau orang Indonesia yang baca, insha-Allah mereka akan faham.

Manakala saya pula terpaksa berpatah balik, mencari sumber rujukan yang lain.

Untuk melihat krisis di antara gerakan Nahdatul Ulama, yang bertembung pendapat dengan Lekra (Lembaga Kesenian Rakyat) iaitu gerakan komunis kesenian yang dijadikan sayap komunis.

Perkara ini tidak ada dalam novel itu.

Jadi saya faham tentang jalan cerita novel itu, tapi sejarah Indonesia, saya kena ambil buku lain pulak untuk tambah baca.

Maka di sinilah berlakunya pengayaan uranium – uranium adalah benda yang kecil tetapi padat yang apabila diletakkan dalam bom nuklear, ia boleh mencetuskan dan menghancurkan banyak benda.

Jadi nasihat saya, kita jangan jadi pembaca yang kolot ataupun mencuri ilmu.

Buku ini telah ditulis dalam bentuk yang baik dan ilmunya tak perlu dicuri.

Ia dihasilkan dengan sifat tamadun dunia dan ilmu kalam yang Allah turunkan pada manusia.

Kalau kita baca satu, niat penulis nak tulis satu, kita dapat 100.

Penulisnya menulis untuk menyampaikan idea supaya kita dapat idea dia.

Bila membaca, kita sedang melatih minda kita untuk naik dari satu tingkatan kepada satu tingkatan dan akhirnya IQ dan keintelektualan kita bertambah.

Dan kemudian kita bukan sahaja kelihatan bijak, ia akan bermanfaat pada kehidupan diri kita, kalau kita peniaga, kita boleh bentang perniagaan yang kita jalankan.

Jadi membaca buku, bukanlah sebab kita nak jadi palatao.

Bukan nak beritahu pada orang lain yang kita ini banyak baca buku dan menjadi serba tahu.

Sebab ini bukanlah khasiat buku ataupun ilmu.

Buku ini, dia bagi kita kesejahteraan dan peningkatan mentaliti.

Sebab itu kadang-kadang kalau kita baca buku-buku seperti Edward Said ini, orang nak ajak kita berdebat tentang pluralisme, kita pun malas nak layan.

Sebab kita tahu tingkatan orang itu datang bawak hujah, knowledgenya cut and paste.

Dia tak hadam knowledge itu pun.

Berlaku jujurlah dengan ilmu dari sebuah buku, ilmu daripada sebuah buku akan berlaku jujur 10 kali daripada kita.

Berlaku jujurlah sekali pada al-Quran, al-Quran akan berlaku jujur sejuta kali pada kita.

Itulah khasiat bermain dengan buku.

Jangan jadi pencuri ilmu.

Kalau kita nak dihormati oleh jiran, pergi ke rumah dia, beritahu pada dia yang saya tidak memiliki makanan, bolehkah kamu sedekahkan makanan?

Jiran itu akan jawab, aku sedekahkan makanan dan dapat pahala akan aku.

Jadilah pergilah kepada buku, serah diri.

Aku ini tidaklah mempunyai ilmu untuk mengetahui tentang Muhammad, terutama dari segi tasawur awalnya, maka aku datang kepada kamu wahai Martin Lings untuk membaca buku kamu.

Martin Lings tulis dengan satu niat, kita dapat 10 khasiat daripada ilmunya.

Jadi faham ya, hormatilah sebuah buku, kerana kita beli kerana ilmunya.

Nota: Artikel ini adalah hasil daripada transkrip video Tuan Haji Zainal Rashid yang bertajuk Teknik Membaca Buku dengan sedikit olahan daripada saya.

Leave a Comment