Tular beberapa bulan lepas laporan yang menunjukkan masalah besar yang sedang berlaku kepada remaja kita.
Jika masalah ini tidak dapat ditangani dan terus berlaku, dikhuatiri nasib masa depan negara Malaysia akan menjadi semakin buruk sekiranya remaja-remaja seperti ini menjadi pemimpin negara kita kelak.
Laporan itu tidak lain ialah berkaitan dengan bilangan pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi.
Sebanyak 40 peratus daripada purata 500,000 lepasan SPM akan melanjutkan ke peringkat lebih tinggi atau menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun manakala lagi 300,000 daripada jumlah itu tidak menyambungkan pengajian mereka dan berkemungkinan mereka akan mula bekerja atau hanya menjadi pempengaruh di media sosial jika tidak menganggur.
Maka adakah ini suatu masalah?
Apakah faktor terjadinya keadaan ini?
Kepentingan melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah untuk
melahirkan graduan yang cerdik pandai, mempunyai ilmu yang kuat bagi membawa diri di alam pekerjaan dan menempuhi kehidupan dunia nyata.
Remaja yang tidak mengambil peluang atau tidak melanjutkan pelajaran ke IPT akan membawa kesan yang kurang baik untuk dirinya dan negara.
Segelintir dari mereka ini tidak berjaya membina kekuatan dan kelebihan diri masing-masing di peringkat pengajian tinggi menyebabkan mereka tidak bersedia sepenuhnya menghadapi realiti sukarnya kehidupan. Perlu diingatkan bahawa para remaja adalah mereka yang akan memimpin negara pada masa akan datang maka IPT adalah tempat latihan atau ujikaji yang paling sempurna dalam memupuk remaja dan individu yang
cekal.
Masalah yang besar akan berlaku seperti negara kita akan kekurangan pemimpin muda yang bukan sahaja hebat, malah lengkap dari semua aspek termasuk cerdik pandai dan juga kritis andainya kita kekurangan bilangan ramaja yang melanjutkan pelajaran di peringkat IPT.
Antara faktor utama yang menyebabkan perkara ini terjadi adalah remaja lebih suka
untuk mencari duit dan tidak berminat untuk belajar.
Inilah realiti kehidupan para remaja sekarang.
Dengan wujudnya media sosial dengan pesat yang menawarkan wang kepada sesiapa sahaja yang boleh membuat kandungan atau bahasa lazimnya “content” seperti di Tiktok, Instagram, Twitter dan sebagainya telah melenyapkan semua impian dan hasrat para remaja yang di mana ketika kecilnya dahulu telah bercita-cita untuk menjadi seorang yang bekerjaya hebat pada usia dewasa kelak dek kerana duit yang telah membutakan mata hati mereka.
Mana tidaknya, seseorang hanya perlu untuk membuat kandungan yang menarik dan
memuat naik di akaun sosial media mereka seterusnya mendapat bilangan penonton yang tinggi akan membolehkan mereka menerima wang yang agak besar dan lumayan dengan kerja yang mereka buat.
Hal ini telah membuatkan para remaja tidak lagi memandang tinggi kedudukan ilmu dan kepentingan menyambung pelajaran ke IPT.
Terdapat juga remaja yang terus bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak lagi mahu meneruskan pelajaran kerana menganggap sudah selesa dengan pekerjaan dan gaji yang diperolehi.
Seperti contoh mereka yang bekerja sebagai penuggang e-hailing mendapat wang yang lumayan andai usaha yang mereka lakukan itu tinggi.
Kebanyakan mereka bersangka bahawa mengapa perlu lagi belajar sedangkan dengan terus bekerja dan memiliki wang sudah dikira berjaya namun begitu hakikat yang sebenar jauh daripada itu kerana cabaran dalam kehidupan 10-20 tahun akan datang itulah yang mungkin mereka tidak menilai dengan betul.
Kesimpulannya, wajiblah bagi remaja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
institut pengajian tertinggi kerana ia merupakan suatu fasa yang sangat bernilai dari segi ilmu, jati diri, dan kekuatan fizkal dan emosi yang dapat diperolehi pada diri remaja tersebut.
Namun tidak dinafikan bukan semua rakyat dan remaja di Malaysia ini mempunyai nasib yang sama seperti mereka yang memang memerlukan wang untuk terus hidup dan tiada bantuan dari keluarga atau saudara-mara tidak mempunyai masalah untuk terus bekerja usai sahaja SPM kerana keadaan yang memaksa.
Bagi mereka yang mempunyai peluang dan kelebihan ini haruslah menyambung pengajian ke IPT untuk membina masa depan yang cerah dan cemerlang.
Maka semua pihak terutama ibu bapa dan guru haruslah memainkan peranan yang besar dalam memberi nasihat dan tunduk ajar kepada anak-anak dan remaja
tentang kepentingan melanjutkan pengajian ke IPT.
Akhir sekali, untuk remaja dan pelajar di luar sana yang masih dalam perjalanan jihad menuntut ilmu yang mulia ini, peganglah dengan kata-kata mutiara oleh ulama’ ilmuan islam Imam Syafi’i dan tokoh politik dunia Mahatma Gandhi ini iaitu ‘‘Jika kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan perihnya kebodohan’’ dan ‘‘Hiduplah seperti kamu akan mati besok.
Belajarlah seperti kamu akan hidup selamanya’’.
Teruskanlah belajar kerana menuntut ilmu dengan ikhlas akan dipermudahkan jalan oleh Allah S.W.T.
Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan iaitu Muhammad Aiman Hakim (Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia).