fbpx

Mati Bila-Bila Masa

Sebelum ini, memang kita tahu bahawa mati bila-bila masa.

Namun, sekarang kita lebih merasainya kerana setiap hari kita mendengar berita kematian.

Mula-mula dengar berita kematian daripada berita, tidak lama selepas itu saudara-mara, jiran tetangga dan sehinggalah ahli keluarga kita sendiri yang meninggal disebabkan wabak covid-19 terutamanya.

Boleh dikatakan sekarang, semua orang berada di dalam ketakutan.

Takut kehilangan orang tersayang.

Takut kehilangan kerja.

Takut melihat ramai orang yang bunuh diri dan juga bercerai.

Persoalannya boleh ke kita rasa takut?

Allah kan ada?

Ya betul, Allah memang ada.

Cuma itulah kita manusia yang lemah.

Jadi, perasaan takut ini adalah satu fitrah.

Maksudnya kalau kita ada perasaan takut seperti mana yang saya senaraikan tadi – bukannya satu penghinaan ataupun keaiban.

Menurut Ustaz Abdul Muein, malah ketakutan akan menjadi satu perkara yang terpuji jika takut menyebabkan kita mencari Allah dan semakin dekat dengan Allah subhanahu wa ta’ala.

Bila kita semakin dekat dengan Allah, kita akan menjadi semakin taat pada perintah Allah.

Bila kita semakin taat pada perintah Allah, kita akan menjadi semakin tenang.

Kematian adalah satu kemestian.

Kita takut macam mana pun, kematian tetap akan datang kepada kita bila tiba masanya.

Jemput baca:

hakimdarno - mati bila-bila masa 1

Allah sebut di dalam al-Quran dalam surah an-Nisaa’ ayat 78,

أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

Mana sahaja kamu berada, maut kematian akan datang kepada kamu walaupun kamu berada dalam tembok, menara, yang kukuh, yang pintunya mungkin daripada besi dan berlapis lapis, maut akan datang kepada kamu.

[Surah an-Nisaa’ 4: 78]

Maksudnya walaupun kita berada di dalam atau di luar rumah, hatta di atas tanah atau di dalam tanah sekalipun, kematian tetap akan datang.

Oleh sebab itu, kita mungkin boleh lari daripada musibah ataupun takdir Allah, tetapi tidak mungkin kita boleh lari daripada kematian.

Kerana kematian tidak akan dilewatkan atau dicepatkan walaupun satu saat.

Walaupun kita dah mengambil semua langkah-langkah penjagaan daripada wabak covid-19 seperit cucuk vaksin dan juga mengikut SOP.

Inilah hakikat kematian.

hakimdarno - mati bila-bila masa 2

Kerana adakah semua orang yang mati disebabkan wabak covid-19?

Tidak.

Tetapi sebab utamanya adalah sudah sampai ajalnya.

Sebenarnya, sebelum wabak covid-19 pun kematian berlaku setiap hari, cuma kita sahaja yang tidak menyedari.

Bukan dua tiga orang yang mati, malah mungkin beratus-ratus ataupun beribu-ribu orang yang mati di seluruh dunia.

Ada kematian yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya, dibunuh, lemas, dan ada juga kematian yang tidak ada sebab.

Contohnya tengah seronok bercakap, mengajar, menyanyi atau bermain bola, tiba-tiba jatuh rebah dan mati.

Adakah sebab covid-19?

Tidak, tapi sebab sudah sampai ajalnya.

Cuma yang istimewanya ketika wabak covid-19 melanda, kita ternanti-nanti pula berita kematian.

Bukti Mati Bila-Bila Masa

Setakat ini, angka kematian di seluruh dunia telah mencecah 4.44 juta orang mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Amerika Syarikat mencatatkan angka tertinggi iaitu 630 ribu kematian.

Diikuti Brazil dan India 575 ribu dan 435 ribu kematian.

Negara kita pula sudah mencecah 14, 168 kematian.

Cuma tidak berapa tepat kalau kita takut pada kematian, yang tepat adalah takutlah kepada apa yang berlaku selepas kematian.

Sebenanya perkara yang paling menakutkan bagi orang beriman bukan kematian, sebab kematian adalah satu kepastian.

Pasti berlaku,

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ

Tiap tiap yang bernyawa akan merasai mati.

[Surah ali-‘Imraan 3: 185]

Tetapi yang lebih kita takutkan ialah ialah apa yang akan berlaku selepas kematian.

Berapa banyak amalan yang telah kita sediakan?

Adakah amalan-amalan kita diterima oleh Tuhan?

Mudah-mudahan persoalan ini mampu menjadikan kita rasa takut dan gerun seterusnya menggerakkan kita menyiapkan bekalan menuju kematian.

Kerana satu hari nanti, kita juga akan mati menghadap ilahi.

Leave a Comment