Alhamdulillah di atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
Allah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
[Surah at-Tiin 95:4]
Apa maksud (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya’?
Menurut Ustaz Abd Muein, maksud (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) ialah terbaik dari segi fizikalnya.
Dalam banyak-banyak makhluk, manusialah makhluk yang paling terbaik ciptaannya.
Contohnya kedudukan kepala atau wajah manusia yang mulia ini tempatnya di atas.
Manakala tempat yang kotor seperti qubul dan dubur – buang najis, Allah jadikan kedudukannya di bawah.
Inilah maksud bentuk fizikal manusia adalah yang terbaik.
Ini ditambah lagi dengan kebolehan manusia mendengar, melihat, mencari ilmu dan berfikir.
Berbeza dengan binatang.
Contoh lembu atau kerbau, kepala dengan punggung – tempat keluar najis sama taraf kedudukannya.
Itu menyebabkan binatang bukan (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya.
Namun menariknya kata ustaz, (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya yang paling utama bukan fizikal seperti yang disebutkan tadi.
(أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya yang paling utama ialah (قَلْبٍ سَلِيمٍ) – hati yang bersih.
Contohnya Nabi Yunus alaihissalam.
Walaupun berada di dalam 3 kegelapan – kegelapan dalam perut ikan, kegelapan dalam laut dan kegelapan malam, baginda tetap menjadi (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya.
Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam api, baginda tetap menjadi (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya.
Sebab baginda yakin dan berserah 100% kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Dan banyak lagi kisah-kisah lain yang menunjukkan contoh (أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ) – bentuk yang sebaik-baiknya.
Jemput baca:
- Mendapat Gaji Selama-Lamanya Menanti Orang Yang Melakukan Amal Soleh
- Manakah Yang Lebih Adil – Hukuman Allah Atau Hukuman Manusia?
Ditimpa Musibah Yang Sangat Teruk Tetapi Masih Mampu Mengucapkan Alhamdulillah
Ustaz ada berkongsi satu cerita, beliau ada mendengar daripada ceramah syeikh arab, beliau cerita ada seorang lelaki telah masuk ke hospital di Riyadh, kemudian dia tengok ada seorang hamba Allah ini, badannya lumpuh.
Dua kaki dan dua tangannya tidak boleh bergerak.
Mata pula tidak berapa nampak.
Ditambah pula dengan memakai pampers.
Sudah bertahun sakit tetapi mulutnya sentiasa menyebut alhamdulillah.
Jadi, lelaki yang datang ziarah ini menguji dia.
“Kenapa kamu puji Allah? Dahlah dua tangan dan kaki kamu tidak boleh bergerak. Terbaring atas katil. Mata tidak berapa nampak. Telinga pula tidak berapa dengar. Apa yang menyebabkan kamu masih memuji Allah sedangkan kamu hampir tidak ada apa apa?”
Beliau menjawab,
“Nikmat yang paling besar Allah beri pada aku bukan fizikal, tetapi hati aku. Lidah aku masih lagi boleh bersyukur kepada Allah.”
Subhanallah!
Jadi, inilah yang dimaksudkan nikmat paling besar bukan fizikal tetapi hati yang bersih – (قَلْبٍ سَلِيمٍ).
Kerana berapa ramai orang yang kakinya sihat, tangannya sihat, matanya terang, telinganya pun jelas, tapi tidak keluar pun kalimah subhanallah atau alhamdulillah di bibirnya.
Kalau keluar pun bila ditimpa ujian ataupun musibah.
Astaghfirullah.
Ini bertepatan dengan hadis nabi mafhumnya,
“Allah tidak pandang langsung pada fizikal kamu, pada bentuk luaran kamu, tetapi Allah pandang pada hati dan amalan kamu.”
Ya Allah, banyaknya masa yang kita ada untuk jaga fizikal yang Allah tidak pandang.
Tetapi kita tidak ada atau sedikit sahaja masa yang kita peruntukkan untuk menjaga hati yang Allah sentiasa melihatnya.
Ramai yang pergi masjid bukan kerana Allah.
Tetapi sebab jumpa kawan dan nak menunjuk kereta dan telekung yang dipakainya.
Ramai yang pergi Mekah buat haji atau umrah, bukan sebab kerana Allah, tetapi sebab duit banyak.
Ramai yang pergi kelas agama, pergi kelas tadabbur tapi tak berubah.
Sebab apa tidak berubah?
Sebab niatnya bukan kerana Allah.
Maka pada Hari Akhirat nanti, Allah akan bongkarkan kesemuanya.
Allah kata di dalam Surah at-Taariq,
يَوْمَ تُبْلَى ٱلسَّرَآئِرُ
Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat dan lain-lainnya).
[Surah at-Taariq 86: 9]
Fitrah kita memang nak melakukan kebaikan.
Tetapi fitrah itu dirosakkan oleh nafsu, syaitan dan juga cinta dunia.
Bangun, berilah peringatan!