fbpx

Manakah Yang Lebih Adil – Hukuman Allah Atau Hukuman Manusia?

Allah tanya kepada manusia, arahan yang selalu manusia ingkar selama ini, bukankah itu arahan daripada Allah subhanahu wa ta’ala.

Maksudnya kalau tahu arahan itu daripada Allah, kenapa kita ingkar juga?

Bukankah Allah itu sebaik-baik Hakim ataupun Pemutus?

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِأَحْكَمِ ٱلْحَٰكِمِينَ

Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

[Surah at-Tiin 95: 8]

Allah tanya ini bukan nak jawapan sebagaimana yang kita banyak belajar pada ayat-ayat yang lepas.

Kalau kita ingat balik, banyak soalan yang Allah tanya pada kita, Allah bukan nak jawapan sebab Allah Maha Mengetahui.

Tapi sebenarnya Allah nak tempelak kita.

Ataupun kadang-kadang Allah nak mencela dan membuka minda kita supaya sedar.

Adilkah Kita?

hakimdarno - hukuman manakah yang lebih adil hukuman Allah atau hukuman manusia 1

Kalau kita tanya kepada orang Islam, hukum siapakah yang paling baik dan paling adil, hukum manusia ataupun hukum Allah?

Sudah pasti ramai yang akan menjawab hukum Allah.

Tapi hakikatnya, hukum siapa yang kita ikut – hukum Allah ataupun hukum manusia?

Contoh, kalau kita pergi kerja, peraturannya manusia kena datang tepat pukul lapan pagi dan balik pun pukul lapan malam.

Tidak boleh balik awal, kalau tidak akan keluar surat amaran.

Contoh lain, kalau orang itu bekerja di kilang, dia wajib memakai pakaian seperti yang diarahkan walaupun baju itu tidak cantik dan menepati cita rasa dirinya.

Kalau tidak pakai, dia akan dibuang kerja.

Manusia tetap melakukannya tanpa mempersoalkan apa-apa.

Tetapi bila Allah yang bagi syarat, contohnya kalau kita nak jadi hamba Allah kena tutup aurat, kena solat awal waktu, kena puasa dan sebagainya, kita selamba sahaja melanggar syarat tersebut.

Kita melanggar tanpa ada rasa takut.

Kita mula mempersoalkan kenapa Allah tetapkan macam ini, kenapa tidak macam itu dan sebagainya.

Sedangkan di mulut kita tadi cakap hukum Allah paling baik, tapi tindakan kita menunjukkan yang hukum Allah tidak baik.

Jadi, ayat ini nak buka minda kita.

Kalau kita kata Allah  adalah (أَحْكَمِ ٱلْحَٰكِمِينَ), kenapa kita lebih patuh pada peraturan manusia berbanding dengan peraturan Allah subhanahu wa ta’ala?

(Saya tidak bermaksud bahawa kita boleh melanggar hukum manusia, maksudnya ialah kalau peraturan manusia kita boleh ikut, kenapa tak ikut perintah Allah?)

Bukalah minda dan hati kita.

Lapangkanlah dada kita dan berfikir dengan tenang.

Kalau kita nak upah yang tidak putus-putus, kalau kita nak keamanan dan ketenangan yang berpanjangan, maka taatlah pada (أَحْكَمِ ٱلْحَٰكِمِينَ).

Jadi, kalau kita tadabbur awal Surah at-Tiin, Allah nak beritahu bahawa fitrah manusia ini asalnya suci bersih dan sesuai dengan agama.

Bila fitrah kita suci, senang sahaja kita nak tunaikan solat dan bangun malam.

Kita pun mudah sahaja nak berzikir kepada Allah secara semula jadi tanpa perlu disuruh ataupun dipaksa.

Tetapi, semua itu terjadi bila fitrah kita masih suci.

Namun sebaliknya, jika kita banyak mendengar kata-kata manusia dan mengikut hawa nafsu, fitrah kita akan menjadi kotor.

Bila fitrah kita kotor, kita akan jadi seperti buah tiin.

Bila dah kotor akan dibuang dan tidak dipakai lagi sebab sudah tidak ada nilai.

Di dalam surah ini juga Allah sebut, bila kita ikut nafsu maka kita akan dicampak ke (أَسْفَلَ سَٰفِلِينَ).

Tempat yang lebih hina daripada binatang dan lebih hina daripada batu yang disembah.

Jadi marilah kita sama-sama kembali kepada Allah kalau betul matlamat kita hidup nak menang, nak aman, nak bahagia yang kekal abadi.

Kita tidak ada pilihan, baliklah kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Sebenarnya yang kita perlukan dalam hidup ini bukan duit, rumah atau tempat tinggal, tetapi bergantung kepada hubungan kita dengan Allah.

Jemput baca:

hakimdarno - hukuman manakah yang lebih adil hukuman Allah atau hukuman manusia 2

Percayalah …. Yakinlah ….

Kalau kita taat pada perintah Allah, tidak ada duit pun hati kita boleh tenang.

Tapi kalau duit banyak, dan tidak ikut perintah Allah, jiwa kita akan bercelaru.

Macam-macam masalah yang akan Allah beri pada kita.

Kata Ustaz Abd Muein, Nabi sebut dalam satu hadis, siapa yang menjadikan dunia sebagai matlamatnya, maka Allah jadikan kefakiran di depan mata, sentiasa rasa tidak cukup.

Bila dunia dijadikan sebagai matlamat, Allah jadikan urusannya huru hara.

Dan Allah tidak bagi padanya dunia melainkan setakat yang dia usaha sahaja.

Tidak lebih daripada itu.

Tapi sebaliknya Nabi kata, siapa yang jadikan akhirat dan Allah sebagai matlamat hidupnya, Allah jadikan kekayaan di hadapan matanya.

Sentiasa akan rasa cukup.

Dan Allah akan bantu untuk selesaikan segala masalah dalam kehidupan.

Allah akan bantu kita mengatasi masalah diri, keluarga dan juga masalah ekonomi.

Dan Allah akan bagi kita rezeki yang tidak disangka-sangka.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment