Biasa kita dengar istilah Fiqh Solat ataupun Fiqh Puasa.
Maksudnya ialah bagaimana untuk kita faham tentang amalan solat dan juga amalan puasa.
Ini maksud fiqh daripada sudut disiplin ilmu.
Tetapi maksud fiqh dari segi bahasa ialah faham ataupun memahami.
Menurut Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, lafaz fiqh bermaksud memahami.
Manakala lafaz awlawiyyat bermaksud keutamaan.
Maka, fiqh awlawiyyat bermaksud memahami keutamaan.
Oleh itu, ia digunakan sebagai alat untuk menentukan keutamaan dalam tindakan.
Untuk mudah faham fiqh awlawiyyat mengajar kita cara berfikir – mana satu yang lebih utama di dalam hidup kita.
Antara hak Allah dengan hak suami?
Antara membayar hutang dengan menunaikan haji?
Antara hutang dengan musafir?
Ini adalah contoh persoalan yang timbul di dalam fikiran kita.
Soalan mana yang lebih utama ini sering bermain di fikiran kita setiap hari, setiap jam dan setiap minit.
Bermula daripada bangun pagi sehinggalah kita melelapkan mata.
Ada terlalu banyak urusan, tanggungjawab ataupun komitmen yang perlu kita selesaikan dalam tempoh waktu yang terhad.
Seolah-olah urusan yang kita perlu selesaikan ini jauh lebih banyak daripada masa yang kita ada.
Begitulah gambarannya daripada urusan peribadi, keluarga, kerja, masyarakat dan juga negara.
Lalu, bagaimana untuk kita menyelesaikan masalah ini?
Caranya ialah dengan kita memahami yang mana lebih utama (awlawiyyat).
Awlawiyyat Menurut Al-Quran
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ ٱلْحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَجَٰهَدَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[Surah at-Taubah 9: 19-20]
Dalam ayat ini menceritakan tentang keutamaan iman dan jihad berbanding dengan amalan membangunkan Masjidilharam.
Waktu mula-mula dahulu, orang arab Quraish tidak beriman lagi kepada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Tetapi dia menjaga kebajikan orang yang menunaikan haji – bagi minum, jaga keselamatan dan juga membangunkan bangunan Masjidilharam.
Jadi, Allah tanya kepada mereka – adakah kamu menyangka bagi minum dan membangunkan Masjidilharam sama kedudukannya dengan beriman kepada Allah dan berjuang di jalan Allah?
Jadi Allah ta’ala jawab di hujung ayat tu,
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah ….
Jadi ada awlawiyyat (keutamaan) di situ.
- Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur
Awlawiyyat Menurut Hadis
Dalam hal bersedekah, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda maksudnya:
“Satu dirham dapat mengalahkan seratus dirham.” Mereka bertanya, “Bagaimana?” Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda, “Seorang insan mempunyai dua dirham lalu dia bersedekah dengan satu dirham, manakala seorang insan lagi mempunyai harta yang banyak lalu dia mengambil sebahagian hartanya akan seratus ribu dirham lalu bersedekah dengannya.”
[Riwayat al-Nasa’i, no. 2527]
Menurut Dr. Nidzam, maksud hadis ini ialah pahala itu berdasarkan keadaan pemberi sedekah, bukan berdasarkan jumlah harta yang disedekahkan.
Walaupun kita hanya mempunyai 10 ringgit, tetapi bila kita sedekahkan 5 ringgit, bermaksud kita telah sedekah dengan separuh daripada harta yang kita ada.
Berbanding dengan kita yang mempunyai duit 1 bilion, tetapi kita sedekah hanya 100 ribu ringgit sahaja.
Contoh Awlawiyyat Di Dalam Kehidupan – 1
Kita buat sumbangan atau derma 10 ke 20 ribu untuk membina masjid, tetapi kita sendiri pun tidak berapa patuh dengan perintah Allah ta’ala.
Daripada satu sudut, ya kita mendapat pahala hasil kita membangunkan masjid.
Tetapi bila kita tidak patuh kepada perintah Allah, kita derhaka dan sebagainya, maka kederhakaan menjadi lebih besar.
Berbanding dengan kita yang mungkin tidak ada duit sangat, hanya menyumbang dalam 10, 20, 30 ringgit, tapi kita patuh kepada perintah Allah.
Jadi, kepatuhan kita kepada perintah Allah itu lebih besar pahalanya daripada kita yang derma 10 ke 20 ribu ringgi untuk bina masjid.
Dia ada awlawiyyat di situ.
Contoh Awlawiyyat Di Dalam Kehidupan – 2
Kalau kita diberi pilihan antara sunat dan fardu, utamakan yang fardu, abaikan yang sunat.
Kadang-kadang kita bersungguh-sungguh melakukan Solat Tahjud.
Kita bangun pukul 2 ke 3 pagi baca al-Quran, zikir dan sebagainya.
Tetapi 15 minit sebelum Solat Subuh itu kita mengantuk sangat dan terus tertidur.
Kita terlepas Solat Subuh.
Jadi kita telah mengabaikan atau meninggalkan solat fardu kerana melakukan ibadat-ibadat sunat.
Kata Dr. Nidzam, cara ini salah kerana pahala solat fardu walaupun dua rakaat, lebih besar daripada pahala solat sunat 20 rakaat.
Pahala solat subuh 2 rakaat lebih besar daripada solat sunat 100 rakaat.
Katalah malam tadi kita solat tahjud 100 rakaat, tidak boleh lawan dengan 2 rakaat fardu subuh.
Sebab apa?
Sebab nilai fardu itu lebih besar di sisi Allah subhanahu wa ta’ala daripada amalan-amalan sunat.
Bila kita faham tentang awlawiyyat, kita akan melakukan sesuatu perkara mengikut keadaan.
Utamakan fardu dahulu, bila fardu sudah elok, selesai, barulah kita beri perhatian kepada perkara-perkara sunat.
Baca Buku Fiqh Awlawiyyat – Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Untuk memahami tajuk ini dengan lebih lanjut, saya mencadangkan kita membaca buku Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir – Fiqh Awlawiyyat terbitan Telaga Biru.
Buku ini mendedahkan kepada kita cara berfikir menurut al-Quran dan hadis tentang apa yang perlu kita utamakan di dalam kehidupan.
Sudah pasti perbincangan tentang tajuk ini sentiasa relevan sepanjang zaman kerana sangat berkait rapat dengan hidup kita.
Membaca buku ini akan membuka kotak pemikiran kita.
Kita akan sentiasa bertanya pada diri kita, “Apakah perkara yang kita utamakan sekarang benar-benar utama seperti yang Islam kehendaki.”
Contoh perbincangan yang ada di dalam buku ini ialah keutamaan keperluan hidup berbanding amalan sunat, keutamaan dalam menuntut ilmu, keutamaan bagi seorang pemimpin, keutamaan dalam berpakaian dan banyak lagi.
Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam telah mengajar kepada para sahabat tentang pentingnya seseorang itu menentukan apa perkara yang lebih perlu diutamakan dalam situasi tertentu.
Dalam satu hadis Rasulullah salla Allah alaih wa sallam ada menegur para sahabat yang ingin melakukan ibadat tertentu sehingga tidak mahu tidur dan berkahwin.
Sabda Rasulullah salla Allah ‘alaih wasallam yang bermaksud,
“Kamu yang berkata demikian demikian. Ingatlah demi Allah! Sesungguhnya saya adalah insan yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa, akan tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya bersolat dan saya tidur, dan saya berkahwin dengan wanita. Maka, sesiapa yang benci akan sunnahku maka dia bukan daripada golonganku.”
[Riwayat al-Bukhari, no. 5063]
Kalau dalam buku motivasi dan pembangunan diri, boleh baca buku Eat That Frog Edisi Bahasa Melayu karangan Brian Tracy.
Sekiranya kita mempunyai dua tugas penting, mulakan dengan tugas yang paling besar, paling penting, dan paling susah dahulu.
Disiplinkan diri kita bagi memulakan tugas itu serta merta.
Siapkan tugas itu terlebih dahulu sebelum memulakan tugas yang lain.
Selesaikan tugas yang paling penting pada setiap pagi.
Itulah kunci kepada prestasi terhebat dan produktiviti tertinggi.
Jadikan ‘makan katak’ sebagai rutin harian sebelum melakukan perkara lain.
Jangan berfikir panjang untuk ‘makan katak’ dan jangan bertangguh melakukan tugas yang penting.
Katak adalah simbolik kepada tugas yang terbesar dan paling penting.
Tugas ini memberikan impak positif yang terbesar dalam hidup kita.
Namun, tugas ini selalunya dilengah-lengahkan dan kita tidak teruja mahu menyelesaikannya.
Selamat membaca!