fbpx

Makna ar-Rahman & ar-Rahim

“Apa beza antara ar-Rahman & ar-Rahim?” Tanya saya.

“Yang saya fahamlah ustaz, dulu-dulu masa saya belajar dengan ustazah saya, dia kata ar-Rahman ini Allah bagi nikmat secara umum, kalau ar-Rahim pula Allah bagi nikmat secara khusus.”

“Betulah itu puan.”

Kata Ustaz Abd Muein, sebenarnya perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim ini berasal daripada satu perkataan iaitu rahmat.

Apa maksud rahmat?

Rahmat ialah pemurah, pengasih dan penyayang.

Jadi, betulah kata puan tadi ar-Rahman itu Allah beri nikmat secara umum.

Maksudnya Allah berikan nikmat kepada semua makhluk Allah yang hidup di muka bumi ini.

Hatta syaitan yang menentang Allah dan menyesatkan para hambanya pun mendapat rahmat Allah.

Kalau kita, memang tidak mampulah kan nak maafkan orang yang buat salah dengan kita.

Tetapi Allah tidak, Allah tidak beri rahmat kepada orang yang beriman sahaja, tetapi kepada musuhnya juga.

Contoh rahmat Allah pada syaitan ialah memperkenankan permintaan syaitan untuk memanjangkan umurnya.

Contoh lain, Firaun yang mengaku Tuhan pun Allah masih beri layanan yang baik dengan memberikan kekuasaan dan kerajaan kepadanya.

Bagaimana pula dengan ar-Rahim?

Ar-Rahim pula adalah nikmat yang Allah berikan hanya untuk orang yang beriman.

Contohnya syurga yang kekal abadi.

Ini pendapat yang pertama.

Pendapat yang kedua ialah ar-Rahman adalah sifat Allah.

Contoh, sifat Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Ar-Rahim pula adalah perbuatan Allah yang menunjukkan sifat-Nya.

Contoh, segala nikmat yang Allah berikan kepada kita seperti sihat, kuat, aman, cergas, tenang dan sebagainya menunjukkan Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Saya cuba gambarkan.

Ramai orang tahu bahawa Pemuda A adalah seorang yang pemurah.

Tapi Pemuda A ini tidak bagi apa-apa pun pada orang yang tahu itu.

Ini baru dipanggil (ar-Rahman).

Tetapi kalau Pemuda A itu dah bagi duit, makanan, baju dan segala keperluan yang lain kepada orang ramai, barulah dipanggil (ar-Rahim).

Ini pendapat yang kedua.

Jadi kata Ustaz Abd Muein, boleh sahaja kita mengambil kedua-dua pendapat ini.

Jemput baca:

Matahari Tanda Allah Ar-Rahman & Ar-Rahim

hakimdarno - Makna Ar-Rahman & Ar-Rahim 1

Salah satu tanda Allah ar-Rahman dan ar-Rahim ialah kejadian matahari.

Bayangkan bagaimana hidup kita bila matahari tidak terbit sehari?

Sudah pasti huru hara dunia ini kerana banyak sistem yang akan lumpuh.

Kita manusia kadang-kadang lupa akan rahmat kerana kita tidak pernah dipisahkan dari rahmat. Seumpama orang yang berdiam di kota besar yang telah teratur aliran listrik dan penerangan lampu-lampu, dan telah teratur pula pipa saluran air. Mereka baru ingat akan rahmat adanya penerangan lampu yang teratur dan aliran air yang telah masuk sampai ke dalam rumahnya itu ialah bilamana satu kali ada kerosakan di sentral listrik atau ada kebocaran pada pipa air. Di waktu semua beres, kerap dia lupa. Setelah terganggu, baru dia ingat.

~Hamka.

Kenapa Ar-Rahman dan Ar-Rahim Dahulu?

Kenapa Allah memperkenalkan dirinya dengan dua sifat ini berbanding dengan sifat-sifat Allah yang lain?

Kata Hamka di dalam Tafsir al-Azhar,

Hal ini dapatlah difahami jika kita kaji pengkhayalan orang yang masih sederhana peradabannya (primitif) tentang Allah.

Sebagaimana kita katakan tadi, kepercayaan akan adanya Zat Yang Mahakuasa adalah sama tumbuh dengan akal manusia.

Akan tetapi, sebahagian besar mereka menggambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti atau menakutkan, seram dan kejam yang orang terpaksa memujanya kerana akan murkanya.

Lalu diaadakan kurban-kurban sembelihan sebab tuhan itu haus darah.

Kemudian didirikan orang berhala yang bentuknya sangat seram, matanya mendelik, saingnya terulur keluar dan yang tidak reda murkanya kalau tidak diberikan kurban.

Kisah Malik Bin Dinar

hakimdarno - Makna Ar-Rahman & Ar-Rahim 2

Ada seorang pencuri masuk ke dalam rumah seorang salafussoleh iaitu Malik Bin Dinar.

Tetapi pencuri itu hampa kerana tidak ada harta yang boleh diambil.

Hanya buku sahaja yang ada.

Bila tidak ada harta yang boleh diambil, pencuri pun keluar.

Ketika itu Malik Bin Dinar sedang menunaikan solat malam.

Habis sahaja solat, beliau nampak pencuri nak keluar daripada rumahnya, beliau pun panggil, “Takkanlah keluar macam tu je?”

Pencuri pun terkejut, ingat nak tangkap dia, tapi rupa-rupanya nak bertegur sapa.

“Datang sini sekejap.”

Pencuri pun datang kepada Malik Bin Dinar.

“Kamu tahu solat?”

“Tak tahu.”

“Wuduk tahu tak?”

“Tak tahu.”

“Jom aku ajar.”

Beliau pun ajar pencuri itu wuduk dan solat.

Akhirnya pencuri belajar agama di rumah yang dia nak curi, hasil daripada rahmat tuan rumah kepada pencuri.

Itu baru rahmat seorang manusia.

Bagaimana pula dengan rahmat Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang kepada kita selama ini?

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment