fbpx

Ma Oon Rizal – Cikgu Malaysia Di Finland

Masa mula-mula beli buku yang bertajuk Ma Oon Rizal – Cikgu Malaysia Di Finland dahulu, saya dah pernah baca tapi tak habis.

Seingat saya, dah baca sehingga muka surat 150.

Tetapi memandangkan ingatan saya tentang isi kandungan buku ini dah pudar, saya memilih untuk membaca daripada muka surat pertama semula.

Kenapa tiba-tiba saya nak baca balik buku ini?

Sebab baru-baru ini sibuk dengan mesyuarat agung sekolah anak, maklumlah anak dah masuk darjah satu.

Baru nak ambil kesedaran tentang pendidikan.

Jadi bagi saya, mungkin ada ‘harta karun’ yang boleh saya temui untuk diri saya memahami serba sedikit tentang dunia pendidikan.

Tidaklah kita nanti menjadi ibu bapa yang syok sendiri.

Isi Kandungan

    Mengapa Buku Ma Oon Rizal – Cikgu Malaysia Di Finland Ini Ditulis?

    Bagi saya penting untuk kita mengetahui kenapa buku ini ditulis supaya kita dapat menyelami dengan mendalam apakah mesej yang ingin disampaikan oleh penulis iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan ini akan membantu kita supaya kita membaca dengan fokus, bukannya sambil lewa.

    Kita nak pastikan buku yang kita baca itu, benar-benar memberi manfaat kepada kita.

    Benar-benar dapat mengubah diri kita daripada tidak baik kepada yang lebih baik.

    Benar-benar dapat mengubah, mencetuskan, mengilhamkan dan menginspirasikan pandangan kita dalam menjalani kehidupan.

    Anda semua boleh jumpa jawapan ini pada muka surat 5 yang bertajuk – Kehidupan Seseorang Yang Mempersoalkan Segalanya.

    Kemudian anda lihat muka surat 6, zoom in kamera mata anda pada perenggan yang ke-3;

    Persoalan-persoalan yang timbul bukan saya sengajakan.

    Bukannya tidak ada kerja lalu mereka-reka persoalan.

    Sebaliknya persoalan itu hadir kesan desakan dalam diri saya untuk tidak berupaya hidup go with the flow, terutamanya apabila benda-benda yang sudah diterima dan stabil itu tidak berfungsi.

    Tidak seperti yang sepatutnya.

    Saya tidak ingat semenjak bila saya menyoal.

    Apa yang saya ingat ialah, apabila nama dan makna tidak seiringan, saya akan mempersoalkannya.

    Setiap kali saya mempersoalkannya, saya akan ditimpa kesusahan.

    Pengalaman Pertama – Sekolah Menengah

    hakimdarno - ma oon rizal cikgu malaysia di finland 2

    Kenapa semasa bersekolah agama, saya dapati budak sekolah agama perangai tak senonoh?

    Kawan-kawan semasa sekolah rendah yang Cina, India, bukan Muslim, lebih berbudi bahasa daripada bangsa sendiri dan budak sekolah agama?

    Saya tidak selesa soalan ini tersimpan membusuk dalam jiwa.

    Saya tanya semasa menyampaikan tazkirah selepas isyak, Ogos 1988.

    Saya analogikan, sekolah kita sudah jadi macam durian.

    Luarnya elok dan menyelerakan, tetapi apabila dibelah, dalamnya berulat dan busuk.

    Bukankah sepatutnya di sekolah agama ini, lagi naik Tingkatan, lagi duduk saf depan?

    Bukankah abang Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang duduk saf depan di musala, manakala budak macam saya yang Tingkatan 1 ini duduk paling belakang?

    Soalan saya menimbulkan kemarahan.

    Malam itu ramai pelajar Tingkatan 2 sampai Tingkatan 5 berkumpul keliling Blok C, mendesak budak gemuk celopar itu keluar.

    Saya jenguk di jaring asrama, nampak ada yang pegang kayu, dan menjerit-jerit macam nak bunuh saya.

    Apa lagi, menangislah saya di atas katil di dalam kelambu.

    Budak kecil.

    Baru 13 tahun.

    Abang Tingkatan 5 kepala gengster masa itu masuk asrama nak “culik” saya bawa ke tempat mereka.

    Mujurlah Abang Tingkatan 5 lain yang menjadi pengawas dan Ketua Blok menghalang.

    Saya memang budak yang celopar.

    Saya tidak boleh terima salah laku guru menyulap duit murid.

    Saya tidak boleh terima salah laku cikgu yang ponteng mengajar tak masuk kelas.

    Saya tidak boleh terima sekolah biarkan kontrak dewan makan sekolah diselewengkan hingga pelajar makan makanan macam sampah.

    Pengalaman Kedua – Universiti Di Jordan

    Semasa di Jordan, banyak masalah timbul kesan isu yang sama.

    Saya mempersoalkan dan enggan berdiam diri apabila ada benda yang tidak kena.

    Saya berbalah dengan pensyarah subjek Hubungan Antarabangsa, apabila beliau menuduh Daulah Uthmaniyah menawan daerah baru, mengislamkan penduduk dan membiarkan mereka dalam kejahilan.

    Saya tahu tuduhan itu tidak benar.

    Saya tanya balik.

    Menyoal.

    Berbahas dan berdebat, sampai habis kelas petang itu, antara saya dengan beliau.

    Entahlah kawan-kawan lain suka atau menyampah.

    Saya tak sempat nak fikir.

    Ada pensyarah yang masuk sahaja ke kelas, mengejek nama pelajar Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina yang pelik-pelik.

    Bagi saya nama ialah hak pelajar, kurniaan ibu bapa mereka.

    Jika Rani sepatutnya dieja Ghani, sebutlah dengan baik.

    Bukannya buat kelakar dengan nama tersebut.

    Allah haramkan dalam Surah al-Hujurat dan awak sebagai pensyarah Syariah, takkanlah tidak tahu.

    Saya tanya.

    Pengalaman Ketiga – Menyertai Gerakan Islam

    Saya menyertai gerakan Islam sebab saya ingin membuat sesuatu untuk Islam.

    Gerakan Islam membantu saya merealisasikan hasrat saya untuk menjadi hamba dan khalifah Allah.

    Tetapi apabila gerakan Islam merepek, mengetepikan akhlak, terbabit korupsi, sampai ke tahap tidak lagi berkhidmat untuk Islam, saya mempersoalkan kewajaran untuk terus bersama gerakan itu, yang juga saya persoalkan sama ada ia amsih gerakan Islam atau apa.

    Akibatnya maklum.

    Hidup jadi tunggang langgang.

    Ulasan Saya

    hakimdarno - ma oon rizal cikgu malaysia di finland 3

    Jadi itulah antara tiga pengalaman yang dilalui oleh penulis dalam perjalanan hidupnya yang boleh kita ambil pengajaran dan iktibar dalam konteks kehidupan masing-masing.

    Saya tertarik dengan ayat yang digunakan oleh penulis iaitu tidak berupaya hidup go with the flow.

    Kita tidak boleh berdiam diri sahaja apabila berlaku sesuatu kemungkaran ataupun perkara yang kita tidak suka di hadapan kita.

    Dan saya mungkin lewat sedikit untuk mendapat kesedaran tersebut iaitu setelah saya habis belajar sarjana muda.

    Pada masa itu, emak saya mahukan saya bekerja sebagai guru sedangkan saya tidak mahu.

    Emak saya melihat abang dan kakak saya selesa bekerja menjadi guru, jadi beliau pun berharap saya juga mengikuti jejak langkah abang dan kakak saya.

    Tapi saya beritahu pada emak bahawa saya tidak minat menjadi guru terutamanya guru sekolah disebabkan dua perkara:

    Pertama, sebab saya panas baran.

    Jadi saya tidak mahu mengaktifkan gunung berapi yang berada di dalam badan saya yang boleh meletup bila-bila masa sahaja terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar-pelajar.

    Kedua, saya cepat bosan.

    Saya tidak boleh bekerja di persekitaran yang sama sahaja, saya nak bebas keluar ke mana-mana.

    Bagi saya ketika itu, saya tahu emak mahukan yang terbaik untuk hidup saya.

    Tetapi dalam masa yang sama, berilah peluang untuk saya membuat keputusan sendiri.

    Biarlah saya memilih pekerjaan yang saya mahukan kerana saya yang akan menghadapinya setiap hari, waktu dan saat.

    Mula-mula itu memang agak tegang juga hubungan saya dengan emak, tapi akhirnya emak mengalah.

    Nak tunggu saya mengalah memang taklah, huhu.

    Betapa egonya saya.

    Dan alhamdulillah ada hikmahnya juga di atas keputusan yang saya lakukan kerana akhirnya saya dapat bekerja sambil menjaga emak ayah saya dengan hati yang girang gembira.

    Ini cuma salah satu daripada banyak isu yang dibincangkan oleh penulis.

    Sebuah buku yang baik untuk kita baca terutamanya guru dan ibu bapa dalam memahami isu-isu pendidikan.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment