fbpx

Luqman Manusia Biasa Yang Diceritakan Dalam Al-Quran

Menurut Ustaz Abd Muein, Surah Luqman bukanlah satu surah yang popular dibaca oleh masyarakat kita.

Apatah lagi mahu mentadabbur dan juga mengambil pengajaran daripadanya.

Jadi, satu keadaan yang sangat merugikan kita.

Kita sentiasa berusaha menjadi manusia yang hebat di sisi manusia, tetapi kita sering alpa menjadi manusia yang hebat di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.

Surah ini menceritakan tentang manusia biasa yang hebat sehingga ceritanya terpahat di dalam al-Quran.

Kalau cerita yang kita tulis diterima penerbit buku pun kita sudah gembira tidak terkata, inikan pula cerita kita diterima oleh Allah dan dimasukkan di dalam kitab yang agung iaitu al-Quran.

Menurut ustaz, mengikut pendapat yang paling kuat, manusia tersebut bukanlah seorang Nabi, beliau hanya orang biasa.

Tetapi Allah memuliakannya dengan menamakan satu surah di dalam al-Quran dengan nama Luqman.

Maknanya lelaki ini sangat hebat.

Tetapi sejauh mana, kita menjadikan Surah Luqman ini sebagai panduan dalam kehidupan?

Sejauh mana kita memuliakan Luqman dan kisah-kisah beliau mendidik anak sebagaimana Allah mengangkat Luqman di dalam al-Quran?

Kata ustaz lagi, jawapan terhadap dua persoalan di atas sedikit sebanyak menunjukkan bahawa setakat mana kita cinta kepada Allah.

Maksudnya kalau kita betul-betul cinta kepada Allah, kita kena mencintai orang  yang Allah cinta.

Luqman adalah antara orang yang Allah cinta.

Kalau Allah tidak cinta kepada Luqman, Allah tidak akan rakam kisahnya di dalam al-Quran.

Malah, Allah tidak menamakan salah satu surah di dalam al-Quran dengan nama Luqman.

Jadi Allah sangat memuliakan dan sangat mencintai Luqman.

Maka, antara bukti iman seseorang ialah mesti mencintai siapa yang Allah cinta.

Jika kita mencintai tokoh yang kita suka, tetapi tokoh yang Allah suka kita tidak cinta, maka sebenarnya kita jauh daripada cinta Allah.

Begitulah pentingnya kita memahami Surah Luqman ini.

Jemput baca:

hakimdarno - Luqman manusia biasa yang diceritakan dalam al-Quran 1

Surah ini memberikan satu pengajaran yang sangat besar iaitu bagaimana nak menjadi orang yang mulia.

Tidak semestinya perlu menjadi Nabi baru mulia dan itu juga tidak mungkin berlaku.

Tidak sekali-kali akan ada Nabi selepas Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

Tetapi, kita masih ada peluang untuk menjadi orang yang mulia atau orang  yang terbaik di sisi Allah subhanahu wa ta’ala sebagaimana yang kita sentiasa minta di dalam solat setiap hari.

Kita minta kepada Allah (ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ) – tunjukkanlah kami jalan yang lurus setiap hari, bahkan 17 kali sehari dan juga mungkin lebih daripada itu.

Kita minta pada Allah jalan lurus, jalan yang mana ini?

Allah beritahu, (صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ) – iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka.

Siapa ‘mereka’ yang Allah bagi nikmat ini?

Sedar tak kita, siapakah ‘mereka’ itu?

Menurut ustaz, kalau kita pun tidak tahu siapa yang Allah beri nikmat, maka permintaan kita sia-sia sebab kita tidak tahu apa yang kita minta.

Sebenarnya Allah menghuraikan maksud ‘mereka’ yang Allah beri nikmat itu di dalam Surah an-Nisaa’.

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّۦنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُو۟لَٰٓئِكَ رَفِيقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

[Surah an-Nisaa’ 4: 69]

Ada 4 golongan.

Pertama, (مِّنَ ٱلنَّبِيِّۦنَ) – daripada kalangan para Nabi.

Golongan yang pertama ini memang tidaklah kita nak jadi sebab tidak mungkin kita boleh jadi Nabi.

Kedua, (ٱلصِّدِّيقِينَ) – orang yang sentiasa membenarkan apa yang Allah dan Nabi kata walaupun macam tidak masuk akal, walaupun terpaksa mengorbankan segala harta dan roh sekalipun.

Mereka ini umpama seperti Abu Bakar.

Golongan yang kedua ini pun susah kita nak capai.

Golongan yang ketiga adalah golongan (ٱلشُّهَدَآءِ) – orang yang mati syahid.

hakimdarno - Luqman manusia biasa yang diceritakan dalam al-Quran 2

Kata ustaz, ada pendapat yang mengatakan bahawa golongan ini adalah orang yang mati syahid di dalam peperangan antara tentera Islam dan juga tentera kafir.

Maka, buat masa ini pun, kita tidak ada peluang untuk menjadi golongan ini.

Ada juga pendapat mengatakan (ٱلشُّهَدَآءِ) ialah orang yang berilmu – ulama.

Jadi, kalau kita tidak berilmu, kita tidak mungkin akan masuk ke dalam golongan (ٱلشُّهَدَآءِ).

Kita nak masuk golongan ini pun tidak boleh sebab kita pun ada ilmu seciput saja.

Tinggal lagi golongan yang keempat iaitu (ٱلصَّٰلِحِينَ) – orang-orang yang soleh.

Kata ustaz, kita masih ada peluang untuk mendapat kedudukan orang yang soleh dan Luqman adalah contoh rajulun soleh – lelaki yang soleh.

Maka, nak jadi golongan yang soleh, kena belajar apa ciri-ciri orang soleh yang ada pada Luqman sehingga Allah mengangkatnya, muliakannya dan dirakam ceritanya di dalam al-Quran.

Mengutip pelajaran daripada Surah Luqman.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment