fbpx

Leaving Microsoft To Change The World

Mengapa saya tertarik untuk membaca buku Leaving Microsoft To Change The World?

Sebab saya tertarik dengan testimoni-testimoni yang telah membaca buku ini.

Secara tepatnya tertarik kerana buku ini ada kaitan dengan aktiviti membaca.

Apa sahaja yang berkaitan dengan aktiviti membaca, saya tertarik untuk membaca, menikmati dan menghadamnya.

Dan saya baru tahu bahawa buku ini sudah lama diterjemahkan atau diterbitkan oleh PTS iaitu pada 6 Oktober 2011.

hakimdarno-leaving-microsoft-to-change-the-world

Dan baru-baru ini diterbitkan semula oleh Jejak Tarbiah (2021).

Kisah dalam buku ini membuktikan bahawa kemewahan tidak memberikan kebahagiaan kepada jiwa seseorang.

Tetapi yang membahagiakan ialah apabila kita melakukan apa yang kita suka walaupun dalam keadaan penat sekalipun.

Bagi saya, John Wood telah mengajar kita sebuah perjuangan yang telah kita tinggalkan selaku umat Islam iaitu membudayakan iqra.

Saya kongsikan 5 perkara yang saya belajar daripada buku ini.

Isi Kandungan

    5 Budaya Kerja Yang John Wood Terapkan Daripada Microsoft Ke Dalam Room To Read

    Menurut John Wood, sebahagian besar pengajaran yang beliau kutip adalah daripada orang nombor dua Microsoft iaitu Steve Ballmer.

    Walaupun Bill Gates menerima liputan luas daripada media, Steve sebenarnya adalah salah seorang tunggak penting dalam kejayaan yang dikecapi Microsoft selama ini.

    Bill ialah pakar teknologinya.

    Manakala Steve pula ialah pakar perniagaannya.

    Mana-mana syarikat teknologi yang hebat memerlukan kedua-duanya.

    Jadi, antara yang John Wood dapat belajar daripada Steve ialah:

    Sentiasa Fokus

    Seluruh aspek kehidupan Steve hanya berkisar mengenai hasil pencapaian, hasil pertumbuhan dan hasil pendapatan.

    Dia seperti anak panah yang dilepaskan dari busur, sentiasa fokus kepada apa yang dimahukan dan tidak akan membiarkan apa-apa rintangan menghalangnya daripada mencapai keputusan yang diharapkan.

    Dia menyelesaikan sesuatu isu daripada peringkat akar umbi, tanpa mahu melayan sebarang alasan atau cakap-cakap kosong.

    Lebih cenderung kepada tindakan.

    Akauntabiliti Yang Tinggi

    hakimdarno - leaving microsoft to change the world 2

    Menurut John Wood, antara yang dapat membezakan di antara Room To Read dengan badan amal yang lain ialah mengamalkan sikap akauntabiliti.

    Menurut beliau, ramai yang berkata, “Saya kecewa kerana saya menderma kepada pelbagai badan amal, tapi saya tidak tahu sama ada mereka mencapai apa yang dihajati. Saya sentiasa mendengar cerita mengenai bagaimana dunia ini tempat yang buruk dan banyak masalah, dan saya tertanya-tanya apa yang mereka buat dengan duit yang saya berikan sejak sekian lama. Tidak ramai yang kembali memaklumkan kepada saya perkembangan usaha mereka dengan nyata. Kebanyakan mereka menghubungi saya lagi hanya untuk memohon lebih banyak derma.”

    Jadi, beliau terfikir satu idea iaitu menunjukkan pencapaian usaha yang terkini di hujung emel, bahagian signature, supaya penerima e-mel beliau tahu mengenai pencapaian mereka yang terkini.

    Percayalah, kita akan sentiasa fokus dalam mencapai hasil kejayaan apabila kita memaparkan pencapaian kita kepada orang lain beratus-ratus kali setiap hari!

    Budaya Mengkritik

    hakimdarno - leaving microsoft to change the world 3

    Ada satu pepatah yang diamalkan di Microsoft, “Kamu tidak boleh menyerang orangnya, tetapi kamu boleh menyerang ideanya!”

    Pekerja Microsoft diberi kuasa penuh untuk berdebat apa sahaja dengan sesiapa sahaja yang bekerja di Microsoft, tanpa mengira kedudukan dan pangkat mereka.

    Namun, ia tidak semudah yang disangkakan kerana sebelum ini beliau telah terbiasa membuat segala keputusan.

    Oleh itu, kadang-kadang beliau tersentak juga apabila pekerja baharu mencabar keputusan beliau.

    Tetapi beliau sentiasa mengingatkan dirinya bahawa beliau menggajikan pekerja yang pintar dan segala keputusan yang dibuat selepas dibincang dan dibahaskan beramai-ramai nyata lebih baik berbanding apabila semua keputusan dibuat atas arahan orang atasan semata-mata.

    Budaya Mengutamakan Maklumat Atau Data

    hakimdarno - leaving microsoft to change the world 4

    Budaya yang meresap jauh ke dalam organisasi Microsoft ini menekankan bahawa semua perkara mesti diukur dan setiap pengurus mesti mengkaji dan tahu setiap data dalam segala urusan.

    Oleh itu, para pengurus di Microsoft tidak cukup sekadar mengetahui nilai pencapaian jualan Windows NT berbanding bajet yang diperuntukkan.

    Mereka juga mesti tahu, bagaimana nilainya berbanding dengan tahun lepas, ataupun tahun-tahun yang sebelumnya.

    Mereka juga mesti tahu dan menghafal kadar jangkaan pertumbuhan jualan tahunan.

    Malah mereka juga mesti tahu hasil keuntungan jualan mereka jika dibandingkan dengan para pesaing.

    Mereka juga mestilah dapat mengukur pencapaian mereka dengan subsidiary Microsof yang lain.

    Tujuannya adalah untuk menguji sejauh mana para pengurus di Microsoft memahami bisnes mereka.

    Sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh mengetahui segala aspek operasi perniagaan mereka hingga segala maklumat berada dalam kepala, maka para pengurus ini tidak akan mampu bekerja dengan Steve yang mementingkan hasil pencapaian dan maklumat yang tepat di hujung jari.

    Nilai Kesetiaan

    Walaupun Steve ini cerewet orangnya, namun dia amat setia kepada orang-orang kepercayaannya.

    Dia tidak memilih bulu.

    Dia akan bercakap dengan sesiapa sahaja di dalam syarikat bagi mendapatkan maklumat dan data yang diperlukannya.

    Walaupun dirinya bernilai 10 bilion dolar, namun beliau tidak pernah lupa diri dan kekal prihatin kepada rakan setugasnya.

    Dia mengharapkan kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada anak-anak buahnya, dan dia akan membalasnya dengan nilai yang sama.

    Rumusan

    1. Kisah John Wood ini membuatkan diri saya tercabar, apakah yang boleh saya sumbangkan untuk Umat Islam terutamanya di negara, negeri, daerah, kampung dan juga keluarga saya bagi mengajak budaya membaca.

    2. Sejauh mana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan manfaat kepada orang lain.

    Insaf sebab kadang-kadang kita berkira untuk melakukan pengorbanan kepada anak-anak kita dan juga isteri, apatah lagi kepada orang yang kita tidak kenal.

    Lihat, bagaimana tingginya sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh John Wood.

    3. Sudah pasti, sebelum kita dapat memberikan manfaat kepada orang lain (tertuamanya dalam sesebuah organisasi), kita kena menguasai dulu 5 perkara di atas.

    4. Lihat bagaimana John Wood tidak menunggu semuanya sempurna untuk membangunkan perpustakaan dan sekolah untuk anak-anak miskin di seluruh dunia.

    Buat bersungguh-sungguh dan mulakan apa yang ada di tangan.

    5. Kita tidak akan berjaya jika melakukan sesuatu secara bersendirian.

    Kita kena berganding bahu dan bermula dengan kumpulan kecil, kemudian berkembang kepada ratusan dan beribu-ribu orang yang bersemangat untuk menjayakan sesuatu bersama-sama.

    Janganlah berharap menjadi orang lain selain daripada diri kita sendiri dan teruskan menjadi diri sendiri dengan cara yang paling sempurna.

    Leave a Comment