Secara umumnya Surah al-Lail menceritakan tentang amalan manusia dan tujuan manusia diciptakan – apakah kewajipan yang sepatutnya manusia lakukan sepanjang hidup mereka di dunia.
Dan Allah juga beritahu dalam surah ini bahawa manusia ini sama ada dipaksa atau diberi pilihan.
Maksudnya ada keadaan dan ketika, manusia dipaksa.
Dan pada keadaan dan ketika yang lain pula, manusia diberi pilihan.
Allah Bersumpah Dengan Empat Perkara Dalam Surah al-Lail
Sebab itulah kalau kita membaca surah ini, Allah bersumpah dengan empat perkara iaitu malam, siang, lelaki dan wanita.
Kenapa Allah bersumpah dengan empat perkara ini?
Kerana empat perkara ini kita tidak diberikan pilihan.
Mana boleh kita nak tukar malam hari kepada siang hari ataupun sebaliknya kita nak tukar malam hari kepada siang hari?
Begitu juga di saat kita dilahirkan, mana boleh kita pilih kita mahu jadi lelaki ataupun perempuan?
Kita tidak ada pilihan.
Tapi bila kita membaca ayat seterusnya, Allah memberikan pilihan kepada kita.
Apa dia?
- Jemput baca: Al-Quran Yang Belum Kita Baca
Apa Pilihan Yang Kita Ada?
Memang waktu malam dan siang atau jantina lelaki dan wanita tidak ada pilihan, tetapi yang ada pilihan ialah apa yang kita lakukan pada waktu siang dan waktu malam atau apa yang kita lakukan sebagai seorang lelaki mahupun wanita.
Itulah yang akan dinilai dan dipersoalkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Saya membaca buku Lail – Selimut Malam dan Ketakwaan Harta karangan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar ini menggunakan dua mata.
Pertama, mata sebagai orang yang telah membaca, mendengar atau belajar sedikit tentang Surah al-Lail.
Pada mode ini, saya nak lihat bagaimana penulis menghurai, mengolah, meringkaskan, memudahkan atau menyimpulkan ayat al-Quran yang berfakta ke dalam bentuk cerita yang begitu kreatif.
Kedua, mata sebagai orang yang belum pernah langsung membaca, mendengar atau belajar tentang Surah al-Lail.
Pada mode ini pula, saya tercari-cari setiap bab yang dihidangkan oleh penulis, penulis sedang menceritakan ayat yang mana.
Ini menyebabkan saya terpaksa membuka dan membuat bacaan silang untuk mencari jawapannya.
Alhamdulillah satu pengalaman yang menyeronokkan dan pendekatan yang begitu kreatif bagi merapatkan lagi jurang kefahaman saya dengan al-Quran.
Saya rasa, semakin lama semakin terasa gelombang al-Quran yang kuat dan hebat sedang masuk ke dalam diri saya.
Novel Ini Cerita Tentang Apa?
Merujuk kepada novel ini, penulis membentangkan kepada kita cerita tentang sebuah pesawat yang telah terhempas di Lautan Hindi.
Tragedi ini bukan pilihan kita.
Allah yang telah menetapkan siapa dan bagaimana tragedi ini akan berlaku.
Dan apa yang menjadi pilihan ialah respon keluarga yang terlibat, pekerja yang terlibat dalam menjalankan operasi menyelamat dan bagaimana negara menguruskan tragedi ini bersama negara-negara yang lain.
Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang cerita ini, boleh dapatkan novel ini di amanie media.
Dan kalau saya baca novel penulis, sudah pasti saya akan cari ayat-ayat yang boleh memberikan inspirasi kepada diri saya dalam kehidupan.
Kemudian saya akan keluarkan dan baca bila diperlukan.
Ayat-ayat Yang Menginspirasikan
Ini contoh-contoh ayat yang menarik bagi saya:
Kalau ketakutan sudah tiada, keberanian dengan mudah akan mengambil tempat di hati yang dikosongkan rasa ketakutan – muka surat 42.
Walaupun lelaki dan wanita berbeza dari segi biologi dan beberapa aspek lain, komitmen dan kesungguhan tidak ada kaitan dengan jantina – muka surat 43.
Dengan adanya media sosial, kerajaan perlu leibh cepat bertindak untuk mengelak sebarang berita palsu dan spekulasi yang tidak berasas tersebar dalam masyarakat. Kalau kerajaan lambat memberi jawapan dan ulasan, ia membuka ruang kepada pelbagai spekulasi dan juga berita palsu. Kecepatan bertindak adalah satu keperluan utama di zaman moden. Ia bukan lagi pilihan – muka surat 52.
Tangisan dan jeritan adalah sifat manusia yang unik. Ia adalah satu kelemahan dan ia juga satu kekuatan bergantung kepada perwatakan seseorang itu – muka surat 54.
Di atas dunia ini, setiap orang akan melakukan pelbagai kerja yang berbeza. Habuan mereka di akhirat akan ditentukan oleh bentuk dan cara kerja mereka di atas dunia. Memang ada korelasi yang jelas antara kerja di dunia dan habuan di akhirat. Tidak salah mempunyai pelbagai cara dalam satu tujuan yang sama selama mana ia patuh dan selari dengan ajaran agama yang mulia dan juga berimpak kepada manusia – muka surat 55.
Kalau ada gabungan dana kewangan dan kreativiti kemanusiaan, tiada apa yang tidak boleh dilaksanakan, dengan izin Allah – muka surat 68.
Persaingan merupakan wajah dunia baharu. Kalaulah mereka boleh bekerjasama, banyak perkara yang tidak dapat dihasilkan di masa lepas atau tidak boleh dilaksanakan secara berseorangan akan dapat dilaksanakan sekarang atau dilaksanakan secara bersama – muka surat 70.
Tebu ditanam takkan peria yang tumbuh – muka surat 72.
Manusia ini hanyalah elok dan indah waktu hidup. Apabila sudah mati, mayat akan reput dan mungkin berulat. Inilah hakikat manusia sebenarnya. Manusia adalah satu kejadian daripada tanah. Bila tiba masanya, manusia akan kembali menjadi tanah yang reput – muka surat 89.
Kadang-kadang di dalam kehidupan di dunia ini, persepsi manusia banyak dipengaruhi oleh faktor luaran atau faktor ketanahan kejadian asal manusia dan bukan faktor dalaman atau rasa hubungan rohani dengan Pencipta yang Maha Berkuasa – muka surat 106.
Tapi, dalam soal hati dan perasaan, setiap manusia mempunyai tahap dan kualiti perasaan masing-masing. Ini yang membezakan seorang insan dengan insan yang lain di dalam neraca pertimbangan Allah subhanahu wa ta’ala. Ilmu. Perasaan. Amalan. Kualiti amalan. Ini semua adalah relatif kepada seseorang insan. Apabila rasa bersyukur dengan hidayah anugerah Allah itu kuat, ia juga akan menjadikan seluruh anggota badan kuat dan gagah. Hidayah seperti dinamo yang memberikan cahaya kekuatan kepada keseluruhan badan – muka surat 107.
Semua orang perlukan oksigen hidayah bagi hidup sebagai seorang Muslim di dalam air atau di atas daratan – muka surat 110.
Terima kasih kepada Tan Sri Mohd Daud Bakar yang telah menulis buku ini bagi membuka jalan, mencetuskan niat, memercikkan idea dan mengoyak minda bagi memahami Surah al-Lail.
Bangun, berilah peringatan!