fbpx

Kisah Malaikat Pencabut Nyawa Yang Lemah-Lembut

Alhamdulillah dalam artikel sebelum ini saya dah kongsikan tentang kisah Malaikat Pencabut Nyawa yang kasar.

Khusus untuk orang-orang yang ingkar kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Artike kali ini, saya nak kongsikan pula Malaikat Pencabut Nyawa yang lemah lembut.

Jom kita mulakan.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala:

وَٱلنَّٰشِطَٰتِ نَشْطًا

Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya.

[Surah an-Naazi’aat 79: 2]

Perkataan (وَٱلنَّٰشِطَٰتِ) bermaksud dan para malaikat yang mencabut nyawa.

Perkataan (نَشْطًا) pula bermaksud dengan lembut.

Jadi dalam ayat ini, Allah beritahu bahawa para malaikat mencabut nyawa dengan lemah lembut.

Nyawa siapa yang para malaikat cabut dengan lemah lembut ini?

Nyawa orang yang beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Jadi cara malaikat mencabut nyawa ada dua sahaja iaitu (غَرْقًا) – kasar dan (نَشْطًا) – lembut.

Kita sendiri boleh tentukan sama ada mahu dicabut nyawa dengan kasar ataupun dengan lembut.

Kalau kita nak malaikat cabut dengan lembut, kita kenalah jadi orang yang beriman dan beristiqamah.

Syarat Supaya Malaikat Berdamping Dengan Kita

Sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala,

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”,    tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

[Surah Fussilat 41: 30]

(إِنَّ ٱلَّذِينَ) – sesungguhnya orang-orang yang. (قَالُوا۟) – mereka berkata. (رَبُّنَا ٱللَّهُ) – Tuhan kami Allah.

Apa makna Tuhan kami adalah Allah?

Maknanya Allah adalah Tuan ataupun bos kita.

Kita pula adalah hamba.

Jadi tugas hamba adalah sentiasa taat kepada perintah Tuan nya.

Maksudnya tidak cukup setakat kita kata beriman sahaja, tetapi kita mesti sentiasa taat kepada perintah Allah subhanahu wa ta’ala.

Setelah beriman, (ثُمَّ ٱسْتَقَٰمُوا۟) – kemudian mereka istiqamah.

Kata Ustaz Abd Muein, cuba tengok ayat ini, Allah guna perkataan (ثُمَّ) dan bukannya (ف).

Kenapa?

Apa beza antara huruf (ثُمَّ) dengan huruf (ف)?

Secara ringkasnya, pertama kerana Allah nak beritahu bahawa istiqamah ini memerlukan masa yang panjang.

hakimdarno - malaikat pencabut nyawa yang lemah lembut 2

Bukan hari ini beriman, hari ini terus boleh istiqamah.

Yang kedua, mesti mengikut tertib.

Maksudnya, setelah kita betul-betul beriman, yakin dan taat kepada Allah, barulah datang istiqamah. 

Kemudian, sesiapa yang ada dua sifat tadi (beriman & istiqamah), (تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ) – para malaikat akan turun kepada mereka.

Kata ustaz lagi, tengok Allah guna perkataan (تَتَنَزَّلُ) yang bermaksud turun dari masa ke semasa.

Maksudnya malaikat tidak akan sentiasa bersama kita.

Tetapi malaikat sentiasa ada bila kita memerlukannya.

Dengan syarat kita mesti beriman dan istiqamah.

Bila ada dua syarat ini, malaikat akan teman kita dan kata, (أَلَّا تَخَافُوا۟) – janganlah kamu takut.

Takut apa?

Apa sahaja ketakutan yang datang kepada kita.

Takut tak ada rezeki, takut penyakit, takut mati dan seumpamanya.

Lagi apa yang malaikat kata?

(وَلَا تَحْزَنُوا۟) – jangan kamu sedih.

Lagi?

(وَأَبْشِرُوا۟) – memberi berita gembira.

Apakah berita yang paling menggembirakan orang beriman?

Syurga.

Betul ke syurga?

Okey cuba kita fikir sekejap, mana yang lebih mengggembirakan antara projek kita yang bernilai dua juta itu lulus, dengan malaikat bagi tahu kita adalah ahli syurga?

Kelu lidah kita nak jawab.

Jadi, malaikat tak akan menggembirakan kita dengan beritahu tentang rezeki ataupun projek juta-juta yang kita dapat.

Sebab semua itu adalah dunia.

Bila dunia, ia hanya bersifat sementara.

Bila sementara, tak mungkin dapat menggembirakan orang yang beriman.

Kiranya malaikat tak main projek juta-juta ni.

Malaikat main projek syurga sahaja.

Contoh Kisah Orang Yang Mendapat Berita Gembira

hakimdarno - malaikat pencabut nyawa yang lemah lembut 3

Ustaz ada cerita satu kisah seorang sahabat ini yang bercita-cita supaya badan beliau dipotong dalam peperangan.

Kemudian dalam peperangan yang sebenar, betul sahabat ini telah ditikam oleh tentera musyrik.

Maka sahabat ini pun kata, “Aku telah berjaya.”

Bila dengar itu, tentera musyrik pun jadi bingung.

“Kamu kena tikam. Dah nak mati, kenapa kamu kata kamu dah berjaya?”

“Sebab aku nampak syurga.”

Ha nampak?

Begitulah gambarannya malaikat memberikan berita gembira iaitu syurga.

Bila beliau mendapat berita masuk syurga, maka beliau terus lupa dengan kesakitan yang dialaminya.

Jadi sakit adalah nikmat bagi orang yang beriman.

Satu lagi kisah yang banyak disebut di dalam kitab tafsir.

Kisah wanita-wanita yang suka beribadat.

Ada seorang wanita luka di tangannya.

Bila tengok luka itu, dia tersenyum.

Orang lain pun tanya, “Tangan kamu itu berdarah, kenapa kamu senyum?”

Wanita itu pun jawab, “Aku bukan tengok luka, aku tengok pahala.”

Allah nak bagi pahala pada aku, takkan aku nak marah?

Takkan aku nak menangis?

Subhanallah!

Hebatnya iman mereka.

Yang sakit boleh jadi nikmat, bila kita tengok hikmah di sebaliknya.

Sebab itu orang beriman wajib bersangka baik pada Allah.

Bila kena uji, kita kena yakin bahawa ujian ini datang daripada Allah.

Bila dengan izin Allah, pasti baik untuk kita.

Jadi bergembiralah kamu dengan syurga yang (ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ) – yang kamu dahulu dijanjikan.

Bila buat amalan ni dapat syurga, buat amalan ini dapat istana.

Boleh?

Inilah kemuncak hidup kita (masa dekat kematian).

Di sinilah keputusan yang akan kita dapat setelah beramal selama 20 – 30 tahun.

Sebab itu Nabi kata ‘innamal a’malubil khatimah – sesungguhnya amalan itu yang dikira ialah di hujung kehidupan.’

Kalau kita dapat berita gembira ini di hujung hayat kita, itulah tanda amalan kita diterima.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment