fbpx

Benarkah Kisah Khadijah Hantar Makanan Kepada Nabi?

Benarkah Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. di Gua Hira’?

Ada dua kisah penghantar makanan yang masyhur dalam lembaran sirah s.a.w.

a- Kisah Asma’ r.a. yang sedang mengandung telah menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. dan bapanya Abu Bakar r.a. di Gua Thur.

b- Kisah Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. di Gua Hira’.

Jujurnya, saya sendiri tidak pernah mendengar kisah yang kedua. Apabila saya membuat carian google, Subhanallah, banyak orang yang berkongsi kisah ini. Boleh saja taip ‘Khadijah hantar makanan ke Gua Hira’.

Kisah Khadijah Yang Tidak Tepat

hakimdarno - benarkah kisah khadijah hantar makanan kepada Nabi 2

Rumusannya begini,

🌿 Bagi mendokong suaminya yang sedang mencari inspirasi di Gua Hira’, Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan kepada suaminya s.a.w.

🌿 Ada kisah menyebutkan beliau r.a. menghantar makanan dua kali sekali.

🌿 Ada juga kisah bahawa ketika itu beliau sedang mengandung, persis kisah Asma’ r.a.

🌿 Kisah ini memberikan inspirasi kepada kaum wanita untuk meneladani Ummuna Khadijah r.a., juga membekalkan semangat untuk mereka terus mendaki Bukit Nur hingga ke puncak.

Baca Kisah Khadijah Di Dalam Sahih Bukhari Sudah Memadai

Berikut ialah penjelasan saya, wallah a‘lam. Kepada Allah Taala saya berharap kebenaran tertegak, dan semoga Allah menjauhkan kita daripada perdebatan yang boleh mengoyakkan persaudaraan sesama kita.

1- Terlalu banyak kisah tidak sahih menyentuh Ummuna Khadijah r.a. Antaranya, wasiat beliau sebelum meninggal dunia dan juga zikir اللهم أنت السلام.

2- Untuk lebih selamat, kita boleh saja membaca kisah beliau yang telah dimuatkan dalam Sahih al-Bukhari, dan syarahan oleh al-Hafiz Ibn Hajr di dalam Fath al-Bari. Rasanya kisah beliau sudah lengkap dan sangat memberikan inspirasi kepada kita semua.

3- Makanan terbahagi kepada dua. Makanan tidak tahan lama seperti nasi dan lauk-pauk, dan makanan tahan lama seperti buah-buahan, biskut dan roti bergantung kepada jenis.

4- Nabi s.a.w. merupakan suami terbaik. Baginda pasti tidak akan menyusahkan isterinya untuk menghantar makanan, apa lagi kedudukan Bukit Nur yang agak tinggi. Apatah lagi jika benar isterinya mengandung.

5- Sekarang, saya akan kongsikan sedikit maklumat penting tentang kisah uzlah Nabi s.a.w. sebagaimana disampaikan oleh Ummuna ‘A’ishah r.a. Berikut ialah petikan daripada kisah atau hadith yang panjang.

ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الْخَلَاءُ فَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ يَتَحَنَّثُ فِيهِ وَهُوَ التَّعَبُّدُ اللَّيَالِيَ أُوْلَاتِ الْعَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا حَتَّى فَجِئَهُ الْحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ

“Kemudian Nabi s.a.w. suka menyendiri. Baginda biasanya menyendiri di Gua Hira’. Di sana baginda menghabiskan beberapa malam untuk beribadah kepada Allah Taala sebelum kembali ke rumah. Untuk tujuan tersebut, baginda membawa sedikit bekalan. (Setelah beberapa hari berada di sana) baginda pulang menemui Ummuna Khadijah r.a., mengambil bekalan untuk beberapa malam. Keadaan ini terus berlarutan, sehingga baginda dibawakan wahyu ketika berada di gua Hira’.”

(Sahih Muslim, 231)

Isi Penting Di Dalam Kisah Ini

hakimdarno - benarkah kisah khadijah hantar makanan kepada Nabi 3

Kisah sebegini turut disampaikan oleh Imam Bukhari di dalam Sahih beliau. Ada beberapa isi penting dikongsikan oleh Ummuna ‘A’ishah r.a.

💐 Nabi s.a.w. bukanlah berterusan mengasingkan diri di Gua Hira’ dalam tempoh yang sangat lama. Ada masa, baginda akan pulang ke rumah. Perlu diingatkan, Nabi s.a.w. bukanlah orang yang pentingkan diri sendiri sehingga tergamak membiarkan isterinya menguruskan segala-galanya.

💐 Keadaan Nabi s.a.w. ini sama lah dengan orang zaman sekarang yang berjauhan dengan anak isteri dengan tujuan bekerja di negara asing atau menyambung pengajian. Jadi, usah dikata Nabi s.a.w. orang yang tidak bertanggungjawab.

Atau, sama dengan sebahagian ahli seni atau penulis yang menyendiri jauh di tempat lain dengan tujuan mencari idea. Bukanlah bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab.

💐 Nabi s.a.w. akan membawa bekalan yang mencukupi keperluan baginda untuk beberapa hari. Perlu dimaklumi, Nabi s.a.w. ialah orang yang pandai mengurus makanan dan mengamalkan diet yang terbaik.

💐 Apabila bekalan makanan Nabi s.a.w. habis, baginda akan pulang ke rumah. Ummuna Khadijah r.a. yang bertanggungjawab untuk menyediakan bekalan tersebut.

💐 Tidak disebutkan pula Ummuna Khadijah r.a. terpaksa mendaki Bukit Nur untuk menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. di Gua Thur.

6- Sehubungan itu, kita memahami bahawa kisah Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. hanyalah kisah popular yang tidak datang daripada sumber yang dipercayai. Bahkan, bersalahan pula dengan maklumat yang disampaikan oleh Ummuna ‘A’ishah r.a. dan dimuatkan pula oleh Imam Bukhari di dalam al-Sahih beliau.

Begitulah kisah Asma’ r.a. menghantar makanan ke Gua Thur, ia bukan sahaja tidak logik, malah juga bercanggah dengan hadith sahih s.a.w. Saya sudah syarahkan panjang kisah ini lama dahulu.

Rumusan

Rumusan:

1- Kebaikan dan perjuangan Ummuna Khadijah r.a. sudah tidak disanggah lagi. Tinggal lagi, biarlah kita memetik daripada sumber yang betul dan dipercayai.

2- Ummuna Khadijah r.a. tidak menghantar makanan ke Gua Hira’. Nabi s.a.w. tidak akan menyusahkan isteri baginda.

3- Sebetulnya, baginda s.a.w. memang menyediakan makanan secukupnya sebagai bekalan beberapa hari ke Gua Hira’. Apabila habis, baginda akan pulang untuk mengambil bekalan baru yang disediakan oleh isterinya Unmuna Khadijah r.a.

4- Kita tidak boleh mencari jalan untuk mensahihkan kisah ini dengan menyatakan misalnya, “tidak mustahil Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan.”

Sejarah mesti berpaksikan kebenaran fakta.

Sekiranya saya tersilap dan rupanya ada maklumat sahih mengatakan Ummuna Khadijah r.a. menghantar makanan, saya insha Allah akan menarik semula pendapat ini dan akan membuat pembetulan.

Sebaliknya jika tulisan saya memaparkan maklumat yang benar, maka saya dengan rendah diri berharap agar kita semua tidak lagi mempercayai dan menyebarkan kisah ini.

Kebenaran jualah yang kita dambakan, bukannya kemenangan.

Wallah a‘lam.

Yang mengasihi anda,

Khairi, Masjidil Haram.

Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan iaitu Ustaz Dzul Khairi.

4 thoughts on “Benarkah Kisah Khadijah Hantar Makanan Kepada Nabi?”

  1. Betul tu ustaz secara logiknya nabi tidak akan menyuruh isterinya menghantar makanan kerana jauh gua hira’ tu. Macam org bertapa kat gunung jerai tu dia tak akan suruh isterinya hantar makanan sebab jauh, bahaya

    Reply

Leave a Comment