fbpx

Kisah Ghulam al-Dakwah – Episod 1

Ghulam al-Dakwah adalah sumber inspirasi para pendakwah.

Kisahnya bermula begini …

Pada suatu masa dahulu, ada seorang raja sebelum kita yang mempunyai seorang tukang sihir.

Tukang sihir tersebut sudah tua.

Suatu hari, dia mengadu kepada raja.

“Wahai Tuanku! Patik ini sudah tua. Tak lama lagi, mungkin patik akan meninggalkan dunia yang indah ini. Jadi, patik ada hajat yang nak disampaikan pada Tuanku.”

Raja pun jawab,

“Silakan wahai si tukang sihir. Beta sedaya upaya akan menunaikan hajatmu itu.”

“Macam ini Tuanku, memandangkan patik ini sudah tua, patik mahu Tuanku mencari seorang anak muda (ghulam) untuk mewarisi ilmu sihir yang patik miliki ini.”

“Baiklah, beta akan mengerahkan tentera-tentera beta untuk mencari anak muda (ghulam) dengan segera!”

“Terima kasih Tuanku!”

Kisah ini telah diolah daripada hadis Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

Boleh rujuk kisah penuh di sini: Hadis Kisah Ghulam al-Dakwah

Kisah ini panjang, tetapi kita berhenti di sini dahulu untuk mengambil beberapa pengajaran yang telah dikongsikan oleh Ustaz Abd Muein.

Pengajaran Pertama

Kata ustaz, bila Nabi cerita maksudnya Nabi nak kita ambil pengajaran dan panduan daripada kisah ini.

Kerana kisah yang dibawa oleh Nabi bukan sekadar cerita ataupun penglipur lara. 

Sebab Nabi tidak akan bercakap perkara yang sia-sia. 

Dalam kisah ini, Nabi nak beritahu kepada kita bahawa raja-raja pada zaman dahulu yang zalim dan kufur kepada Allah mesti memiliki tukang sihir. 

Contoh, Firaun.

hakimdarno - kisah ghulam aldakwah episod 1 dua

Maka, raja ini pun ada tukang sihir.

Persoalannya, kenapa raja-raja yang zalim dan kufur ini mesti ada tukang sihir?

Sebab kesalahan raja yang pertama ialah zalim.

Kesalahan raja yang kedua ialah kufur kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Jadi, raja akan mencari cara dan helah bagi menutupi kesalahan yang dilakukan supaya raja ini kelihatan hebat dan tidak bersalah di mata rakyat.

Bila rakyat nampak raja itu hebat, rakyat akan terus sokong dan undi. 

Bagaimana raja buat supaya rakyat nampak raja hebat?

Menggunakan sihir. 

(Contoh Tukang Sihir Firaun – campak sahaja tali-tali, nampak seperti ular).

Okey, itu raja-raja pada zaman dahulu.

Raja-raja atau pemerintah-pemerintah pada zaman sekarang ada tak tukang sihir?

Kata ustaz, bila raja atau pemerintah itu zalim dan kufur kepada Allah, mesti ada tukang sihir. 

Cuma bentuk sihirnya berbeza.

Kalau dahulu, raja menipu rakyatnya dengan menggunakan sihir yang dibuat oleh tukang sihir.

Tetapi raja atau pemerintah sekarang, sihir mereka ialah material (duit, jawatan dan juga pembangunan).

Inilah bentuk sihir pada zaman moden.

Pengajaran Kedua

Kemudian, pengajaran yang seterusnya – mengapa tukang sihir ini minta kepada raja supaya cari anak muda (ghulam)?

Kenapa tidak cari orang yang berumur 40-an ataupun orang dewasa?

hakimdarno - kisah ghulam aldakwah episod 1 tiga

Kerana, pendidikan yang paling mudah dan senang diterima ialah ketika seseorang itu masih kanak-kanak (muda).

Dan sebenarnya ini merupakan ajaran daripada Islam.

Sebab Nabi kata, ajarlah anak kamu solat ketika umur 7 tahun. 

Bukannya ketika umur 17 tahun ataupun 70 tahun.

Sebab bila seseorang itu sudah dewasa, dia sudah mempunyai pemikiran sendiri, sudah banyak ilmu dan pengalaman yang diterima menyebabkan dia menjadi degil dan keras kepala untuk tinggalkan apa yang telah dia amalkan.

Jadi kalau nak ajar ilmu yang sesat pun kena pilih budak yang masih muda dan mentah, inikan pula kita mahu ajar ilmu yang benar.

Sebab itulah kalau kita lihat sistem pendidikan yang ada, kalau kita nak pilih pelajar cemerlang, kita akan pilih daripada sekolah rendah lagi.

Bila cemerlang di peringkat sekolah rendah, pelajar-pelajar ini akan dihantar ke sekolah berasrama penuh dan juga sekolah sains.

Di sinilah kita melihat lahir para pemimpin dan juga tokoh yang ada pada hari ini.

Jadi cara memilih pemimpin semenjak dari kecil, diambil daripada siapa?

Tukang sihir ini.

Pengajaran Ketiga

Okey pengajaran yang seterusnya, kenapa tukang sihir ini nak ada pengganti?

Kan dia sudah tua, kalau dapat habuan pun berapa lama dia boleh nikmati?

Setahun, dua tahun, kemudian mati.

Lagi satu, bila dia dah mati, raja akan cari tukang sihir baru.

Jadi, apa kepentingan dia suruh raja mencari budak (ghulam) untuk mewarisi ilmunya?

Pertama kata ustaz, inilah bisikan syaitan. 

Kerja syaitan ialah  ilmu yang sesat ini, dia akan pastikan berterusan daripada zaman ke zaman.

Kalau tukang sihir ini nak mati, dia akan pastikan ilmu itu diajar kepada orang lain.

Supaya dengan ilmu sihir ini akan menyesatkan lebih ramai orang.

Kedua, setiap orang yang sesat ini akan rasa diri mereka betul.

Contoh Orang Yahudi dan Nasrani.

Allah rakamkan kata-kata mereka di dalam al-Quran,

وَقَالُوا۟ لَن يَدْخُلَ ٱلْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَٰرَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.

[Surah al-Baqarah 2: 111)

Dan bila mereka rasa yakin dengan apa yang mereka pegang, mereka nak kongsikan.

Mereka rasa bertanggungjawab untuk sebarkan kepada orang lain.

Jadi, apa pengajaran untuk kita?

Kalau tukang sihir yang sesat pun rasa dia betul dan nak ilmu sihirnya disebarkan, mengapa kita yang mempunyai akidah yang betul, datang daripada Allah, tidak rasa nak sebarkan ilmu kepada orang lain?

Kenapa kita tidak ada rasa nak turunkan ilmu pada anak cucu kita?

Kenapa? 

Sedangkan kita berada di pihak yang benar.

Cuba kita lihat orang Yahudi dan juga Kristian.

Mereka berdakwah ke seluruh pelusuk dunia. 

Mana-mana ceruk kampung atau pedalaman yang kita tidak sampai, mereka boleh pergi dan duduk di situ. 

Mereka minat menyebarkan kefahamannya yang mereka yakin betul. 

Berbeza dengan kita, kita agama dah betul tetapi tidak mahu sebarkan pula kepada orang lain.

Ini menunjukkan yang kita ini mementingkan diri sendiri.

Sepatutnya perkara yang baik, kita kena kongsi.

Contoh, kalau kita makan di restoran yang sangat sedap dan viral, lepas itu kita tidak bungkus pun untuk anak-anak kita di rumah, mesti anak-anak kita akan kata kita kedekut.

Begitulah juga dengan agama kita.

Bila kita faham agama dan faham al-Quran, kemudian kita tidak sampaikan kepada anak, cucu dan sepupu sepapat kita, rasa tak diri kita ini kedekut?

Jarang-jarang kita dapat rasa.

Jadi, kalaulah semua orang mempunyai perasaan seperti ini,

“Kalau aku tak sampaikan ilmu, aku memang orang yang kedekut. Aku memang orang yang pentingkan diri.”

Insha-Allah Islam akan tersebar dan mendapat kemenangan dengan cepat.

Tetapi bila kita belajar, tidak rasa nak kongsi dan tidak rasa diri kedekut bila tidak kongsikan, akhirnya semakin ramai pelajar, tapi Islam tidak tersebar.

Semakin banyak kelas yang dibuka, tetapi Islam masih berlegar di dalam kelas, di dalam pondok, di sekolah dan di sekitar universiti sahaja.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment