Kalau anda semua masih ingat, saya berhenti kisah Ghulam al-Dakwah ini pada babak tukang sihir meminta kepada raja supaya mencari seorang budak.
Anda boleh baca di sini: Kisah Ghulam al-Dakwah – Episod 1
Ini sambungannya, setelah tukang sihir meminta pada raja supaya mencari seorang budak, raja pun segera menunaikan permintaan tersebut kerana raja juga mempunyai kepentingan.
Kerana atas jasa tukang sihir inilah dia dapat kekal memerintah kerajaan dengan menipu rakyat menggunakan kuasa sihir.
Kemudian setelah beberapa tempoh, akhirnya mereka menemui budak yang dicari-cari – budak yang sihat tubuh badan dan cerdas akal fikirannya.
Maka bermulalah perjalanan ataupun karier budak ini untuk menjadi tukang sihir istana.
Dalam perjalanan ke istana, budak ini berjumpa dengan seorang rahib iaitu seorang ahli ibadat dan juga ahli ilmu.
Budak ini pun duduk sekejap.
Dan bila rahib nampak budak ini duduk, rahib pun mengambil peluang keemasan ini untuk menyampaikan ilmunya.
Rahib pun ceritalah siapakah Tuhan sebenar yang patut disembah.
Bila budak ini mendengar penerangan rahib, dia rasa terpegun sebab apa yang diceritakan itu sesuai dengan apa yang dicari selama ini.
Fitrah budak yang masih suci dan bersih iaitu mencari-cari Tuhan.
Sebab itulah, bila rahib buka cerita sahaja tentang Tuhan yang benar, cerita itu terus masuk ke dalam sanubarinya.
Setelah budak ini mendengar penerangan daripada rahib, dia pun meneruskan perjalanan ke istana untuk belajar sihir.
Begitulah yang berlaku setiap hari sehingga suatu tempoh yang tidak diketahui.
Jadi rutin budak ini setiap hari ialah sebelum pergi ke istana, dia akan singgah bertemu dengan rahib menyebabkan dia lewat datang ke istana untuk belajar sihir.
Bila balik daripada istana pula, budak ini sekali lagi singgah bertemu dengan rahib menyebabkan dia pun lewat pulang ke rumahnya.
Budak ini pun mengadu kepada rahib, “Aku tengah risau ini. Bila aku sampai istana lewat, aku kena marah dengan tukang sihir. Bila sampai rumah pula, aku dimarahi juga oleh ibuku. Jadi, macam mana ini, aku dah seronok belajar dengan kau rahib. Sehingga kadang-kadang aku kena pukul disebabkan kelewatan aku.”
Rahib pun memberikan solusi, “Kalau kamu takut dimarah dan dipukul oleh tukang sihir, beritahu kepada tukang sihir bahawa ibuku yang menyebabkan aku lambat. Dan bila kamu balik, takut ibumu marah, beritahulah yang melambatkan aku adalah tukang sihir.”
Pengajaran Pertama
Pentingnya belajar dengan guru yang ikhlas menyampaikan kebenaran.
Kata Ustaz Abd Muein, di sinilah titik pertemuan yang menyebabkan rancangan asal untuk menjadikan budak ini sebagai tukang sihir berubah menjadi seorang pendakwah yang hebat iaitu berpunca daripada seorang rahib.
Penghujung kisah ini nanti, kita akan lihat bagaimana impak seorang yang berilmu boleh melahirkan seorang pendakwah yang hebat dengan menjadikan seluruh rakyat raja tadi beriman kepada Allah azza wa jalla.
Maksudnya untuk melahirkan pendakwah yang hebat, tidak semestinya kena belajar di universiti Islam, Maahad Tahfiz ataupun sekolah agama, tetapi cukup dengan seorang guru yang ikhlas.
Nak beritahu bahawa kesan sesuatu ilmu itu bila disampaikan dengan ikhlas, walaupun tidak ada bangunan yang khusus, tidak ada ramai pelajar dan guru, kesannya hebat dan juga luar biasa.
Pengajaran Kedua
Tanggungjawab menyampaikan ilmu.
Kita lihat bagaimana rahib bertanggungjawab menyampaikan ilmu tauhid kepada orang yang dia jumpa walaupun hanya kepada seorang budak.
Begitulah juga dengan kita, kena ada rasa tanggunjawab dan keberanian untuk menyampaikan kebenaran terutamanya kepada isteri dan juga anak-anak kita.
Pengajaran Ketiga
Bila kita ada masalah, jangan mengadu kepada semua orang.
Apatah lagi mengadu di media sosial.
Tetapi mengadulah kepada orang yang kita percaya.
Kita lihat dalam kisah ini, apabila budak itu menghadapi masalah dimarahi dan dipukul kerana lewat, dia mengadu kepada orang yang dia percaya iaitu rahib.
Pengajaran Keempat
Boleh menipu untuk menyelamatkan masalah yang lebih besar.
Kenapa rahib ajar anak muridnya menipu?
Sebab kalau budak ini tidak menipu, ada kemungkinan dia akan dibunuh oleh tukang sihir.
Jadi belum beriman lagi, dah mati.
Belum berdakwah lagi, dah mati.
Maka misi dakwah akan gagal pada peringkat awal lagi.
Jadi, kita dibenarkan bercakap bohong demi untuk mencapai matlamat yang jauh lagi besar.
Contoh kita nak belajar agama di masjid.
Tetapi ayah kita tidak izinkan.
Dan pada masa itu kita tahu bahawa kalau kita tidak belajar, kita tidak akan faham agama dan agama kita akan tempang.
Jadi, boleh atau tidak kita berbohong pada masa ini?
Boleh.
Bangun, berilah peringatan!