“Hari ini, aku akan tahu jawapannya.” Kata Ghulam al-Dakwah.
Suatu hari, ada seekor binatang besar duduk di tengah-tengah jalan.
Ini menyebabkan orang ramai tidak boleh melintasi jalan tersebut.
Dan seperti mana yang kita tahu sebelum ini, Ghulam belajar dengan dua orang guru.
Pertama, tukang sihir.
Kedua, rahib.
Jadi, walaupun apa yang rahib itu kata betul, dia masih perlukan keyakinan.
Maka Ghulam kata pada dirinya bahawa, “Pada hari ini, aku akan tahu antara rahib dan tukang sihir, mana yang lebih terbaik”.
Dia nak uji ilmu yang dia perolehi.
Kemudian dia pun ambil batu dan berkata, “Wahai Tuhan, sekiranya urusan aku bersama rahib ini lebih engkau suka daripada urusan aku bersama tukang sihir, bunuhlah binatang ini.”
Dia tak kata, “Aku yang akan bunuh.”
Tetapi dia minta supaya Allah yang tolong bunuh binatang tersebut.
Dia pula hanya berusaha ambil batu dan baling.
Inilah akidah ataupun ilmu yang diajar oleh rahib kepada dirinya.
Dia pun ambil batu dan baling.
Maka dengan izin Allah binatang itu pun mati dan orang ramai pun dapat melintasi jalan tersebut.
Setelah itu, Ghulam balik berjumpa dengan rahib untuk beritahu apa yang telah berlaku sebentar tadi.
Kemudian rahib pun respon kepada cerita Ghulam bahawa, “Wahai Ghulam! Engkau hari ini sudah lebih baik daripadaku dan sekiranya engkau diuji, jangan beritahu aku yang telah mengajar engkau.”
Jemput baca:
Pengajaran Pertama
Kenapa Ghulam beriya-iya nak baling batu kepada binatang dan membantu orang ramai di situ?
Kata Ustaz Abd Muein, inilah nilai yang telah meresap ke dalam diri Ghulam.
Nilai yang perlu ada pada seorang pendakwah iaitu fikir tentang masalah orang lain.
Ghulam lihat ramai orang yang menghadapi masalah, ada yang nak pergi kerja, hantar anak sekolah, beli barang dan sebagainya tetapi dihalang oleh binatang tersebut.
Jadi dalam fikiran dia, “Aku mesti buat sesuatu untuk bantu mereka”.
Begitulah juga dengan kita para pendakwah, kita jangan hanya fikir di tempat ini kita ceramah dapat berapa ratus, di tempat sana dapat beratus kerana kalau kita berfikiran begitu, Islam tidak akan berkembang dan tidak akan ke mana-mana.
Pengajaran Kedua
Tengok kesan bila kita bantu orang ramai.
Ghulam tahu bahawa, orang ramai di situ akan menjadi sasaran dakwahnya.
Jadi, sebelum Ghulam berdakwah (ajak mentauhidkan Allah) kepada orang ramai, dia pikat dahulu hati mereka dengan melakukan kebaikan.
Inilah strategi dakwah yang perlu kita ikut.
Jangan kita terus menghukum perbuatan orang lain dengan berkata, “Ini haram, ini salah, ini bida’ah”.
Kalau orang itu ada masalah rumah bocor, tak ada makanan, tak ada duit, gas habis, perlukan surau, anak tak cukup makan dan sebagainya, kita kena bantu mereka cukupkan keperluan hidup mereka dahulu.
Setelah itu, barulah mudah untuk kita menyampaikan dakwah.
Dan kita memang tidak ada apa-apa kepentingan pun sebab kita bantu dengan percuma.
Bila kita lakukan begitu, orang ramai akan percaya dan mahu dengar kata kita.
Inilah yang Ustaz Abd Muein lakukan (walk the talk) bersama pertubuhan yang dipimpinnya – Pertubuhan Ghulam al-Dakwah.
Boleh lihat aktiviti yang mereka lakukan di:
Halaman Facebook: Ghulam al-Dakwah
Laman sesawang: ghulamaldakwah.com
Pengajaran Ketiga
Tanggungjawab seorang anak murid ialah memberitahu tentang masalah atau urusan yang besar dan penting kepada guru.
Kita lihat, Ghulam tak beritahu pun pada tukang sihir sebab dia tahu tukang sihir bukanlah guru yang baik.
Begitu juga dengan raja, dia tidak akan mengadu kepada sesiapa yang sealiran dengan tukang sihir.
Dan Ghulam pun tidak beritahu kepada ibu bapanya kerana ketika ini ibu bapanya masih lagi kufur.
Manakala rahib adalah orang yang beriman.
Jadi antara orang yang kufur dan orang yang beriman, kita kena utamakan orang beriman dahulu walaupun emak ayah kita sendiri kerana orang yang beriman jauh lebih baik daripada orang kafir.
Pengajaran Keempat
Bukan senang kita (guru) nak mengaku atau mengiktiraf yang anak murid lebih baik daripada kita.
Kerana yang sering yang berlaku guru akan kata, “Kamu jangan lebih daripada aku!”, “Jangan tanya lebih-lebih!” dan seumpamanya.
Bukan semua guru, tapi ada sebahagian guru yang bersikap demikian.
Jarang ada guru yang mengajar anak murid, dia nak anak murid itu jauh lebih ‘alim dan lebih baik daripadanya, jarang sekali.
Apatah lagi nak mengaku.
Ini menunjukkan bahawa orang beriman itu sentiasa tawaduk, tidak ada kepentingan, tidak ada dengki dan cemburu.
Kalau anak murid dia lagi hebat, dia lagi bersyukur kerana semua yang anak murid dia buat akan mendapat pahala.
Sebab gurulah yang mengajar dan pencetus kepada muridnya.
Murid itu hebat, bermula daripada guru.
Jadi biarkan anak murid kita berkembang.
Satu sudut pula, jangan kita menjadi anak murid sehingga tok guru kita mati.
Kerana ada guru yang ramai anak murid, tapi dia tidak buka peluang pun kepada anak-anak muridnya untuk menyampaikan ilmu.
Jadi, ini cara didikan yang salah dan tidak betul.
Pengajaran Kelima
Pada babak yang terakhir itu, kenapa rahib beritahu pada Ghulam supaya jangan beritahu siapa yang ajar dia?
Adakah rahib takut dan nak jaga keselamatan dia?
Tidak, pertama kerana rahib ini rendah diri.
Tidak penting kita belajar dengan siapa, yang penting adalah kita beriman kepada Allah dan teruskan kerja dakwah kita.
Jadi, rahib tidak mahu terperangkap dengan ujian kemasyhuran.
Kedua, dalam hadis ini memang tidak diberitahu kenapa.
Tapi kata ustaz supaya menjaga keselamatan budak itu.
Jadi, bukan guru sahaja yang tidak selamat, tapi Ghulam pun tidak selamat juga.
Bangun, berilah peringatan!