Mengapa rahmat lebih utama berbanding ilmu?
Melihat murid-muridnya yang semakin hilang fokus, Si Guru pun bertanya kepada murid-muridnya.
Kamu semua ingat tak kisah Nabi Musa berjumpa dengan Khidir?
Ingat ustaz.
Seorang pelajar yang duduk di paling hadapan menjawab.
Okey, cuba kamu ceritakan.
Saya cerita ringkas sahaja ya ustaz?
Okey boleh, silakan.
Kisah ini bermula apabila Nabi Musa merasakan bagindalah orang yang paling berilmu di dunia.
Lalu Allah menegur baginda.
Allah beritahu kepada baginda bahawa ada hamba Allah yang memiliki ilmu luar biasa yang tidak ada pada dirinya.
Perkara ini menyebabkan baginda tidak senang duduk, baginda ingin berguru dengan hamba Allah tersebut.
Baginda bersemangat ingin menuntut ilmu dan menambah pengetahuannya.
Kejap, izinkan saya mencelah.
Siapa tahu siapa hamba Allah tersebut?
Khidir ustaz.
Seorang pelajar perempuan di sebelah kiri menjawab.
Okey betul.
Baik kamu boleh teruskan.
Walaupun baginda seorang Nabi, ini tidak menghalang diri baginda untuk terus menambah ilmu hatta daripada orang yang lebih bawah daripadanya atau orang yang tidak dikenali namanya.
Okey baik, kamu berhenti cerita di sini, terima kasih.
Sama-sama ustaz.
Kalau kamu semua nak tahu cerita lebih lanjut, kamu semua boleh baca Surah al-Kahfi ya.
Ayat berapa ustaz?
Ayat 60 hingga ayat 82.
Sebab saya nak kongsikan kepada kamu pengajaran yang boleh kita ambil daripada babak awal kisah ini.
Jemput baca:
Tujuan Menuntut Ilmu Adalah Untuk
Membawa Rahmat
Dalam kisah ini, dua perkara yang baginda dapat iaitu rahmat dan juga ilmu.
Firman Allah,
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
[Surah al-Kahfi 18: 65]
Kalau kita perhatikan ayat ini, mengapa Allah mendahulukan rahmat berbanding ilmu?
Tak tahu ustaz.
Kerana Allah mahu mengajar kita bahawa tujuan utama menuntut ilmu adalah untuk membawa rahmat kepada manusia yang lain.
Dan inilah sifat utama Allah (ar-Rahman dan ar-Rahim – Allah Maha Penyayang lagi Maha Pemurah).
Begitu juga dengan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam diutuskan untuk,
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ
Tidaklah diutuskan engkau melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.
Dan rahmat Allah itu tidak mungkin sampai kepada seluruh hamba dan juga makhluk Allah melainkan dengan ilmu.
Dengan kata lain, ilmu adalah satu alat untuk kita menyampaikan rahmat kepada manusia atau makhluk Allah yang lain.
Namun dukacitanya, berapa ramai orang yang berilmu, tetapi tidak ada rahmat di dalam hatinya.
Tidak ada rahmat kepada orang lain terutamanya kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.
Ini menunjukkan bahawa tujuan ilmu tidak sampai kepada maksud yang sebenar.
Kita kena ingat bahawa ilmu bukan matlamat.
Dalam ayat yang kita bacakan tadi cukup jelas, tujuan kita menuntut ilmu adalah untuk merahmati makhluk yang lain.
Ilmu adalah untuk kita melakukan kebaikan dan membantu orang yang memerlukan.
Kalau ilmu sekadar ilmu, yang hanya tertulis di dalam buku, yang hanya dipelajari di dalam masjid ataupun kelas, maka sebenarnya ilmu itu tidak akan memberikan manfaat.
Oleh sebab itulah, Kisah Nabi Musa dan Khidir tidak berlaku di dalam kelas atau di dalam masjid, tetapi berlaku di tempat orang yang memerlukan bantuan seperti orang miskin, anak yatim dan orang yang syirik kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Proses pembelajaran Nabi Musa dan Khidir menunjukkan bahawa tujuan ilmu adalah untuk merahmati orang lain.
Maksudnya setelah kita berilmu, keluarlah daripada kepompong ilmu kita, keluarlah daripada masjid, dewan dan juga kelas supaya ilmu yang kamu dapat itu dapat disampaikan kepada manusia dan dapat membantu orang lain yang memerlukan.
Maka mulai saat ini, marilah kita setelah belajar, keluar daripada masjid, kelas, dewan, universiti dan sebagainya untuk menyampaikan rahmat Allah kepada manusia.
Macam mana cara nak sampaikan rahmat Allah kepada manusia ustaz?
Beri bantuan makanan, tempat tinggal dan yang paling utama ialah mengajar mereka ilmu yang membawa kepada kenal Allah. Mudah-mudahan kita semua akan mendapat rahmat Allah di hari Akhirat nanti.
Lihatlah Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam, kerana al-Quranlah baginda pergi ke Taif untuk menyelamatkan manusia.
Kerana ilmulah, baginda sanggup berhijrah meninggalkan Kota Mekah yang paling baginda sayang demi untuk merealisasikan tujuan ilmu.
Iaitu untuk menyampaikan rahmat Allah kepada orang-orang di Madinah khususnya dan di seluruh dunia secara umumnya.
Oleh itu, kita manusia tidak mungkin akan mendapat rahmat Allah, tidak mungkin dapat memasuki syurga, melainkan dengan melaksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran kerana itulah al-Quran diturunkan.
Maka, bergeraklah kamu semua dan jangan hanya berada di dalam kelas atau masjid sahaja, bergeraklah mencari manusia yang sangat memerlukan bantuan supaya rahmat ilmu yang kamu pelajari akan tersebar ke seluruh dunia.
Supaya ilmu yang kamu pelajari itu bukan semata mata menyelesaikan masalah kamu sekeluarga sahaja tetapi menyelesaikan masalah ramai orang di luar sana.
Faham semua?
Faham ustaz!
Para pelajar menjawab serentak dengan penuh semangat.
Alhamdulillah … berjaya Si Guru menarik perhatian anak-anak muridnya.