fbpx

Kesilapan Dalam Menyebutkan Perkataan Jazakallah

Saya biasa mendengar motivator berpesan, kita mesti membiasakan diri dengan dua ayat.

Satu, “Terima kasih.”  

Dua, “Maafkan saya.”

Alhamdulillah, pada zaman sekarang, sesuai dengan perkembangan agama, sebahagian kita sudah terbiasa dengan dua ayat yang baru.

“Jazakallah.”

Kadang-kadang hanya ditulis (jzkk).

“Barakallah.”

Sehubungan itu, ada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan dengan seringkas mungkin agar apa yang kita lakukan selaras dengan sunnah Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.

Asasnya, ajaran Islam kaya dengan dengan perasaan berterima kasih kepada sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepada kita.

Allah Taala berfirman,

هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَٰنُ

Terjemahan: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?”

(Al-Rahman:60)

Perhatikan hadith Nabi salla Allah `alaih wa sallam seperti berikut,

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ ، عَنِ الْأَعْمَشِ ، عَنْ مُجَاهِدٍ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنِ اسْتَعَاذَ بِاللَّهِ فَأَعِيذُوهُ ، وَمَنْ سَأَلَ بِاللَّهِ فَأَعْطُوهُ ، وَمَنْ دَعَاكُمْ فَأَجِيبُوهُ ، وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ ، فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

Terjemahan: “Barang siapa yang berlindung dengan nama Allah, maka lindungilah dia. Barang siapa yang meminta-minta dengan nama Allah, maka berikanlah kepadanya. Barang siapa yang mengundang kamu, maka penuhilah undangannya. Dan barang siapa yang berbuat kebaikan kepada kamu, maka balaslah. Jika kamu tidak mendapat sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia hingga kamu merasakan bahwa kamu telah membalasnya.”

(Sunan Abi Dawud, kitab al-Zakah, bab `Atiyyah Man Sa’ala Billah)

Ucapan Jazakallahu Khaira

hakimdarno - kesilapan dalam menyebut jazakallahu khaira 1

Kita biasa mendengar orang berkata jazakallah, atau menulis dengan tulisan ringkas jzkk.

Persoalannya ialah, adakah ucapan kita itu menepati sunnah Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam?

Bagaimana cara kita membalas balik ucapan tersebut?

Saya ada beberapa isi penting untuk dikongsikan.

Terima Kasih Dalam Bahasa Arab

Satu, ucaplah dengan cara yang betul.

عن أسامة بن زيد رضي الله عنهما قال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ : جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا . فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Terjemahan: “Sesiapa yang mendapat kebaikan daripada seseorang, maka ucapkanlah kepada orang yang berbuat kebaikan itu Jazakallahu khaira. Sesungguhnya dia benar-benar telah menyampaikan rasa terima kasihnya.”

(Al-Tirmizi)

Hadith tersebut menyatakan, ucapan yang betul ialah,

جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا

Jazakallahu khaira yang bermaksud “Semoga Allah Ta’ala memberikan balasan baik kepadamu.”

Bermakna, ucapan jazakallah sahaja adalah silap.

Dan ucapan jazakallah khair kurang tepat.

Dua, bagaimana cara membalas balik doa tersebut?

Pernah satu ketika, sahabat Ansar mengucapkan jazakallahu khaira kepada Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam, maka Nabi membalas,

فَقَالَ أُسَيْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ جَزَاكَ اللَّهُ عَنَّا خَيْرًا فَقَالَ وَأَنْتُمْ فَجَزَاكُمُ اللَّهُ خَيْرًا يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ وَإِنَّكُمْ لَأَعِفَّةٌ صُبُرٌ

Terjemahan: “Usaid berkata: Wahai Rasulallah, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Baginda ssalla Allah ‘alaihi wa sallam menjawab: Dan demikian juga kamu, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Wahai sekalian Ansar, sesungguhnya kamu orang yang menjaga kehormatan lagi penyabar.”

(Ibn Hibban)

Dalam petikan hadith yang lain,

فَقَالَ لَهُ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ: جَزَاكَ اللَّهُ أَيْ نَبِيَّ اللَّهِ أَطْيَبَ الْجَزَاءِ، أَوْ قَالَ: خَيْرًا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَأَنْتُمْ مَعْشَرَ الأَنْصَارِ، فَجَزَاكُمُ اللَّهُ أَطْيَبَ الْجَزَاءِ، أَوْ قَالَ: خَيْرًا، فَإِنَّكُمْ مَا عَلِمْتُ أَعِفَّةٌ صُبُرٌ، وَسَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فِي الأَمْرِ والْقَسْمِ، وَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ

Terjemahan: “Lalu Usaid bin Hudhair berkata kepada baginda salla Allah `alaih wa sallam: Semoga Allah membalasmu, Nabiyullah, dengan sebaik-baik balasan – atau beliau berkata: dengan kebaikan. Rasulullah salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda: Dan begitu juga kamu wahai kaum Ansar, semoga Allah membalas kamu dengan sebaik-baik balasan –atau baginda salla Allah `alaih wa sallam bersabda: dengan kebaikan. Sesungguhnya kamu, tidaklah saya ketahui melainkan orang yang menjaga kehormatan dan kesabaran. Dan kamu akan melihat sepeninggalan saya nanti atsarah (orang yang sewenang-wenang) dalam perintah dan pembagian. Bersabarlah kamu hingga bertemu dengan saya di Haudh -perigi Nabi-.”

(Sunan al-Nasa’i)

a- Ini bermakna, sekiranya ada orang mendoakan kita jazakallahu khaira, maka kita membalas balik dengan “Wa anta, fajazakallahu khaira” atau “Wa antum, fajazakumullahu khaira.”

b- Menariknya dalam hadith ini, hanya Usaid radhiyallah ;anh yang mendoakan Nabi salla Allah `alaih wa sallam. Namun, Nabi menjawab dengan mendoakan seluruh sahabat Ansar.

c- Kita juga boleh menggunakan lafaz jazakumullah khaira untuk seseorang, walaupun lafaz jazakum جزاكم biasanya digunakan untuk orang yang ramai.

Saya secara peribadi membiasakan diri dengan ucapan jazakumullahu khaira sebagai memuliakan orang tersebut.

d- Meskipun demikian, kita juga dibenarkan membalas dengan sekadar menyebut, “Wa iyyak” atau وإياك, atau “Wa iyyakum” وإياكم yang bermaksud “Semoga kamu juga mendapat balasan yang baik daripada Allah.”

e- Cuma, apa yang saya fahami ialah, membalas dengan ucapan “Wa anta fajazakallahu khaira” lebih baik berbanding sekadar “wa iyyak”, lantaran ia lebih menepati sunnah Nabi salla Allah `alaih wa sallam.

f- Kita juga boleh mengucapkan lafaz جَزَاكَ اللَّهُ أَطْيَبَ الْجَزَاءِ. Dan cara membalas doa tersebut ialah وَأَنْتُمْ فَجَزَاكُمُ اللَّهُ أَطْيَبَ الْجَزَاءِ.

Peringatan penting:

a- Hadith-hadith yang menyatakan jawapan bagi ucapan jazakallahu khaira semuanya dikritik oleh ulama. Kemungkinan hadith-hadith itu bertaraf dhaif atau lemah.

b- Meskipun demikian, menurut Sheikh `Abd al-Rahman al-Suhaim, kita tidak dilarang untuk membalas balik ucapan jazakallahu khaira itu.

(http://www.almeshkat.net/vb/showthread.php?t=137692)

c- Terdapat hadith yang menunjukkan Nabi salla Allah `alaih wa sallam tidak membalas balik doa tersebut. Meskipun demikian, Nabi memberikan pujian kepada Arab Badwi yang mendoakan baginda. (Musnad Ahmad)

d- `Umar radhiyallah `anh juga tidak membalas ucapan orang ramai kepada beliau, jazakallahu khaira. Peristiwa ini berlaku pada hujung usia beliau, ketika beliau gering setelah ditikam oleh seorang penjahat. (Sahih Muslim, kitab al-Imarah, bab al-Istikhlaf wa Ghairih)

Tiga, kita perlu memahami bahawa orang-orang soleh sentiasa beramal dengan ucapan ini.

Sebagai contoh, seorang sahabat Nabi yang bernama Usaid bin Hudhair radhiyallah `anh pernah mengucapkan terima kasih kepada Sayyidah `A’ishah radhiyallah `anha dengan berkata,

جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا، فَوَاللَّهِ مَا نَزَلَ بِكِ أَمْرٌ قَطُّ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ لَكِ مِنْهُ مَخْرَجًا، وَجَعَلَ فِيهِ لِلْمُسْلِمِينَ بَرَكَةً

Terjemahan: “Jazakillahu khaira. Demi Allah, tidak ada sesuatu yang berkenaan Puan melainkan Allah Taala akan berikan jalan keluar, dan menjadikan keberkatan buat kaum muslimin.”

(Al-Bukhari, kitab al-Nikah, bab Isti`arah al-Thiyab li al-`Aris wa Ghairiha)

Sekali lagi, sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair radhiyallah `anh yang mengucapkan lafaz ini.

Semoga Allah Taala memberikan kebaikan yang luar biasa buat beliau yang kaya dengan doa-doa yang baik.

Empat, banyak kelebihan daripada ucapan doa jazakallahu khair.

Antaranya `Umar bin al-Khattab radhiyallah `anh berkata,

حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ كَرِيزٍ قَالَ : قَالَ عُمَرُ : لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُكُمْ مَا لَهُ فِي قَوْلِهِ لِأَخِيهِ : جَزَاك اللَّهُ خَيْرًا ، لَأَكْثَرَ مِنْهَا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ

Terjemahan: “Sekiranya seseorang kamu mengetahui apa kelebihan yang terkandung dalam ucapan Jazakallahu khaira, pasti kamu akan memperbanyakkan ucapan itu sesama kamu.”

(Musannaf Ibn Abi Shaibah, kitab al-Adab, bab Fi Qaul al-Rajul li Akhihi Jazakallahu Khaira)

Lima, mengambil ucapan yang diajarkan oleh Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam iaitu jazakallahu khaira lebih baik berbanding tambahan seperti jazakallahu khairan kathiran yang bermaksud “Semoga Allah Taala memberikan kamu balasan baik yang banyak”, atau dengan mana-mana ucapan lain seperti juzitan khair (جزيت خيرا).

Jemput baca di sini:

Ucapan Barakallahu fikum

hakimdarno - kesilapan dalam menyebut jazakallahu khaira 2

Kita biasa mendengar orang berkata barakallah.

Persoalannya, apakah ucapan itu menepati sunnah?

Bagaimana pula cara kita menjawab doa tersebut?

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : أُهْدِيَتْ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةٌ فَقَالَ : اقْسِمِيهَا قَالَ : وَكَانَتْ عَائِشَةُ إِذَا رَجَعَتِ الْخَادِمَ قَالَتْ : مَا قَالُوا لَكِ ؟ تَقُولُ مَا يَقُولُونَ يَقُولُ : بَارَكَ اللَّهُ فِيكُمْ فَتَقُولُ عَائِشَةُ : وَفِيهِمْ بَارَكَ اللَّهُ ، تَرُدُّ عَلَيْهِمْ مِثْلَ مَا قَالُوا وَيَبْقَى أَجْرُنَا لَنَا

Terjemahan: “Rasulullah salla Allah `alaih wa sallam diberi hadiah kambing. Baginda bersabda: Bahagikanlah. Jika budak (yang bertugas membahagikan) telah kembali, Ummul Mukminin akan bertanya: Apa yang mereka katakan? Budak itu menjawab: Mereka mengatakan: Barakallahu fikum (semoga Allah memberkati kamu). Maka Ummul Mukminin mengatakan: Wa fihim barakallah (dan semoga Allah memberkati mereka). Mereka diberi balasan (ucapan doa) sebagaimana yang mereka ucapkan, dan pahala kita tetap ada.”

(Sunan al-Nasa’i, kitab `Amal al-Yaum wa al-Lailah, bab Ma Yaqul Liman Ahda Lahu)

Barakallahu fikum dan Wafikum barakallah bermaksud, “Semoga kamu diberkati – ditambah kebaikan – oleh Allah Ta’ala”.

Daripada jawapan yang diberikan oleh Ummul Mukminin, kita boleh mengambil dua pengajaran yang penting.

a- Biasakan diri dengan ucapan barakallahu fikum. Ibu bapa mendoakan anak-anak, atau anak-anak mendoakan ibu bapa mereka, atau sesama sahabat, atau dengan sesiapa sahaja; dengan ucapan barakallahu fikum.

b- Jika ada orang mendoakan kita barakallahu fikum, maka kita membalas doa tersebut dengan ucapan wa fikum barakallah.

Bentuk Ucapan Jazakallah

1. Jazakallahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu (lelaki).

2. Jazakillahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu (perempuan).

3. Jazakumallahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu berdua.

4. Jazakumullahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu (ramai).

5. Jazahullahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada dia (lelaki).

6. Jazahallahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada dia (perempuan).

7. Jazahumallahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada mereka berdua.

8. Jazahumullahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada mereka (lelaki dan perempuan yang ramai).

9. Jazahunnallahu khaira – Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada mereka (khusus untuk perempuan yang ramai).

10. Barakallahu fikum – Semoga Allah Taala memberkati kamu.

11. Barakallahu fihim – Semoga Allah Taala memberkati mereka. Ini antara contoh ucapan yang ada.

Cukuplah bagi masyarakat awam untuk beramal dengan ucapan:

a- Jazakallahu khaira.


b- Jazakillahu khaira.


c- Jazakumullahu khaira.

Rumusan

1- Ucapan yang tepat ialah jazakallahu khaira, atau jazakillahu khaira, atau jazakumullahu khaira.

2- Ucapan jazakallah yang bermaksud “Semoga Allah memberi balasan kepada kamu” sahaja tidak cukup. Balasan ini merangkumi kebaikan dan keburukan.

3- Ucapan jazakallahu khair juga tidak menepati. Khaira bukannya khair.

4- Cara membalas ucapan doa tersebut ialah Wa anta fajazakallahu khaira, atau Wa anti fajazakillahu khaira, atau Wa antum fajazakumullahu khaira.

5- Tulisan ringkas (jzkk) dikhuatiri hanya ditulis tanpa diiringi perasaan ingin berdoa. Biasanya apabila saya menulis penuh, saya benar-benar mendoakan orang tersebut.

Jadi, saya bimbang jika kita hanya menulis (jzkk), kita langsung tidak mengiringi tulisan tersebut dengan doa; hanya sekadar tulisan.

6- Kita hendaklah membiasakan diri ketika ingin berterima kasih dengan mengucapkan, “Terima kasih, jazakumullahu khaira.”

7- Cara membalas ucapan barakallahu fikum ialah, Wa fikum barakallah.

8- Kita juga boleh mendoakan orang dengan ucapan Allahumma barik fikum.

Wallah a`lam.

Saudaramu,

Khair.

Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan iaitu Ustaz Dzul Khairi. 

Leave a Comment