Nama Allah untuk dipelajari dan dicontohi.
Artikel ini merupakan sambungan pada artikel yang lepas.
Boleh baca di sini:
Menurut Ustaz Abd Muein, kelebihan yang keempat bila kita kenal Allah melalui nama-nama-Nya ialah jiwa kita akan menjadi semakin yakin dan tenang.
Nak tahu kita tenang atau tidak, tengok bagaimana keadaan kita bila ditimpa masalah.
Kalau kita kenal dengan Allah, kita akan rasa tenang sahaja.
Sebaliknya kalau kita tidak kenal Allah, kita akan rasa gundah gulana.
Lihatlah bagaimana tenangnya Nabi Musa alaihissalam berhadapan dengan Firaun dan juga bala tenteranya.
Jiwa baginda langsung tidak kelam kabut, gelisah atau takut.
Baginda tenang sahaja kerana baginda tahu Allah al-Aziz, al-Hakim, al-Ghafur, ar-Rahim, al-Jabbar dan al-Muntaqim ada bersamanya manakala bala tentera itu adalah makhluk-makhluk yang lemah.
Jadi keyakinan baginda kepada Allah menyebabkan jiwanya tenang dan kuat untuk menghadapi sebarang cabaran.
Kelebihan yang kelima ialah iman kita akan bertambah seperti mana yang Allah sebut di dalam Surah al-Anfaal ayat dua,
وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا
Bila dibaca ayat-ayat Allah, imannya bertambah.
[Surah al-Anfaal 8: 2]
Maka begitulah juga kesan apabila kita belajar nama Allah satu persatu dan mengamalkan tuntutan daripada nama-nama Allah itu, iman akan bertambah.
Bila iman meningkat, amalan juga akan bertambah.
Sebab itulah ulama mengatakan, tanda kita kenal Allah, kita tidak akan buat maksiat.
Kalau terbuat sekalipun, kita akan terus bertaubat.
Tetapi, bila kita buat maksiat dan tidak bertaubat, itulah tanda kita tidak kenal Allah walaupun kita kaki solat.
Berapa ramai daripada kita yang solat, tetapi lepas solat buat maksiat.
Inilah orang yang tertipu dengan syaitan.
Sebenarnya kita tidak kenal Allah.
Siapa yang benar-benar kenal Allah, tidak akan berani buat maksiat.
Kita tidak akan kekal di dalam dosa.
Dan orang yang kenal Allah juga, tidak akan lupa kepada Allah.
Mulutnya sentiasa berzikir.
Maksudnya, jika kita asyik terlupa sahaja nak berzikir, tandanya kita tidak kenal Allah.
Macam mana kita boleh lupa Allah sedangkan Allah itu as-Sami’ – Maha Mendengar.
Al-Basir – Allah itu Maha Melihat.
Al-’Alim – Allah itu Maha Mengetahui.
Kelebihan yang keenam bila kita kenal Allah melalui nama-nama-Nya, kita akan rasa dunia ini tidak ada nilai langsung.
Kita rasa dunia ini macam yang Nabi tunjukkan iaitu macam anak kambing yang cacat, yang dah mati.
Nabi pergi ke pasar.
Kemudian, Nabi tengok para sahabat berebut nak beli barang atau nak beli dunia, maka Nabi pun ambil seekor bangkai anak kambing yang cacat.
Maka, Nabi pun tanya kepada para sahabat,
“Siapa yang nak bangkai anak kambing ini satu dirham?”
Semua sahabat jawab,
“Bukan kan satu dirham, bagi percuma pun kami tak nak. Pertama, sebab bangkai. Kedua, sebab anak kambing. Ketiga, sebab cacat.”
Nabi pun jawab,
“Sebenarnya yang kamu kejar itu, lebih hina daripada bangkai anak kambing. Itulah nilai dunia”.
Oh ya, suka saya jelaskan di sini.
Bukan tolak dunia sehingga kita hanya beribadat sahaja.
Tetapi kita kejar dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama.
Dalam kepala kita asyik fikir bagaimana nak tambah harta sahaja, tapi tidak pernah berfikir bagaimana nak tambah amalan.
Jadi, bila kita kenal nama-nama Allah al-Ghaniy, al-Hakim, al-Ghafur, al-Basit, barulah kita sedar bahawa dunia ini tidak ada nilai.
Kita mula rasa tidak seronok dengan dunia.
Tetapi mula seronok dengan akhirat.
Perumpamaan nilai duit di mata orang miskin.
Semasa kita miskin, jika ada orang bagi kita sepuluh ringgit, seratus ringgit ataupun seribu ringgit, kita rasa besar sebab kita sukar untuk mendapatkannya.
Tetapi bila kita sudah menjadi kaya dan jutawan.
Kita bagi seratus atau seribu itu dah tidak ada nilai sebab kita ada wang yang jauh lebih banyak daripada itu.
Begitulah perumpaman orang yang kenal Allah dan juga akhirat.
Dunia sudah tidak ada nilai kerana ada yang lebih bernilai daripada itu iaitu akhirat.
Bangun, berilah peringatan!