fbpx

Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir

Hari ini saya mengulang baca buku Kertas-kertas Yang Merubah Fikir.

Berdasarkan catatan saya, ini kali ketiga saya mengulang baca buku ini.

Ketika semangat membaca saya menurun, inilah pilihan buku yang saya baca.

Dalam buku ini pun, ada satu artikel yang tepat dengan situasi saya iaitu “Ketika Hilang Minat Membaca” oleh Lenny Din.

Menurut beliau, antara punca hilangnya minat membaca ialah tenggelam dengan dunia alam maya.

Setiap orang mungkin ada sebab tersendiri kenapa tiba-tiba semangat membacanya hilang ditiup angin.

Ada orang yang disebabkan terlalu banyak kerja perlu disiapkan.

Ada orang perlu melayan kerenah anak-anak kecilnya yang sedang membesar, pada usia begini (enam tahun ke bawah) memang stamina anak begitu tinggi.

Sehingga terpaksa bergilir dengan isteri.

Jadi, segala kudrat dan idea hanya tertumpu bagaimana untuk melayan kerenah anak-anak.

Walaupun begitu, semangat membaca perlu terus disiram dan dibaja.

Kalau saya umpamakan semangat saya ini seperti tanaman, tanaman saya ini sudah layu dan berkedut daunnya.

Puncanya kerana akar tanaman sudah tersangat dahaga.

Mengapa Saya Membaca Buku Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir?

Begitulah dengan saya, saya membaca buku ini untuk menyuburkan kembali semangat membaca.

Membaca buku ini, membuatkan saya menyelongkar kembali memori saya di zaman kanak-kanak.

Saya mencari-cari apa sahaja yang boleh mengingatkan saya bagaimana saya boleh terjebak dengan dunia membaca.

Demi mengambil tindakan yang betul dalam hidup, pengetahuan yang luas amat diperlukan. Bukankah banyak pengetahuan dapat kita perolehi dengan membaca?

Saya mulakan dengan memori bersama emak ayah.

Seingat saya, memang tidak ada kenangan saya membaca buku bersama emak ayah.

Kecuali ayah saya memang suka membaca surat khabar.

Emak pula, saya tidak pernah lihat emak begitu suka membaca.

Cuma sekali dua itu pernahlah ataupun mungkin emak ayah membaca ketika saya tiada.

Menurut Prof Shaharom TM Sulaiman dalam kata pengantarnya, dua unsur penting dalam dimensi pembacaan.

Ketiadaan dua aspek ini antara penyebab kenapa tidak membaca sering diiringkan dengan alasan membaca itu membosankan, membaca itu meletihkan, malas membaca dan seribu satu alasan.

Perkara penting yang dapat kita pelajari daripada para bibliofil ini bahawa membaca harus dituruti dengan budaya menulis.

Membaca dan menulis tidak dapat dipisahkan.

Tidak mungkin sesuatu kempen membaca itu berjaya jika tidak diikuti dengan budaya menulis.

Bukankah Hamka pernah berkata bahawa apabila membaca sampai kemuncaknya, ia secara semulajadi akan “dimuntahkan” dalam bentuk tulisan.

Menurut Syed Putra Iqmal dalam artikel yang ketiga, membaca tidak pernah mudah.

Kita masing-masing bergelut dengan dunia pembacaan sendiri.

Pergelutan itu cuma berlaku seandainya kita benar-benar membaca, merenung dan memikirkan apa yang telah kita baca.

hakimdarno - kertas-kertas yang merubah fikir 2

Sekiranya seseorang atlet menyasarkan untuk memecah rekod peribadinya setiap minggu, maka begitulah juga seorang pembaca.

Misinya adalah untuk mencabar dirinya meneroka ruang-ruang pembacaan yang baru, menambah bilangan pembacaannya setahun demi setahun dan hal ini cuma dapat dilakukan sekiranya seseorang benar-benar membaca!

Jika membaca itu mudah, sudah pasti dunia ini dipenuhi oleh orang-orang yang waras dan aman perasaannya.

Menurut Nuruddin Azri Zulkifli dalam artikel yang kelima, aktiviti membaca perlu menjana penajaman minda dalam berfikir.

Ia ibarat senaman tarik ke atas (pull up) yang kita lakukan.

Semakin lama semakin sukar dan penat kerana kehausan tenaga serta keletihan otot badan.

Dengan kesusahan inilah, akal kita dilatih sehingga terbiasa seterusnya tahap keupayaan membaca kita berkembang.

Menurut Hamka,

Buku adalah sahabat karib, tetapi harus kita berhati-hati. Mentang-mentang bersahabat baik dengan buku, janganlah diputuskan persahabatan dan pergaulan dengan manusia. Ramai ulat buku yang putus pertaliannya dengan manusia, hanya fikirannya menerawang, tetapi beku apabila bergaul. Lidahnya beku, kerana buku. Ajaib!”

Jadikanlah Hamka sebagai ikutan – berjuang melalui penulisan untuk kemaslahatan umat.

Benarlah bahawa buku itu teman yang paling akrab.

Jemput baca:

hakimdarno - kertas-kertas yang merubah fikir 3

Buku tidak akan pernah meninggalkan kita, kecuali apabila kita yang memilih untuk meninggalkannya.

Sejarah telah membuktikan bahawa bidang penulisan dapat memberi inspirasi, memotivasi, membawa perubahan minda dan cara hidup.

Malah penulisan telah mengubah tamadun dunia.

Menurut Wan Amalyn (saya pun lupa artikel yang ke berapa), membaca itu sangat penting kepada kita semua.

Secara simbolik, boleh kita gambarkan buku sebagai pintu kepada gedung-gedung ilmu.

Namakan sahaja ilmu apa yang kita inginkan, pasti kita dapat.

Dan “kunci” untuk membuka setiap pintu-pintu itu adalah dengan membaca.

Jadi tidak hairanlah, bijak pandai terdahulu menggambarkan ilmu dengan pelbagai frasa antaranya “Membaca itu jambatan ilmu”, bahkan membaca juga menjadikan kita berubah daripada insan jahil kepada insan yang berilmu.

Dengan membaca juga kita boleh mendapat ilmu tanpa perlu hadir ke kelas.

Bukankah dunia ini ialah bilik darjah dan bukulah gurunya?

Tetapi awas, pilihlah guru yang sewajarnya untuk nilai murni yang bakal kita dapat.

Hal ini bertepatan dengan frasa, “Buku itu jendela dunia”.

Bahkan melalui pembacaan juga, kita bagai dibawa melancong ke serata dunia tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

Cukup sekadar modal untuk membeli bahan bacaan yang membawa kita mengenal dunia yang penuh warna-warni ini.

Bagaimanakah kita melihat hidup ini bergantung juga kepada bagaimana pemikiran kita terhadap alam seputar hidup kita.

Dan bagaimana pemikiran kita secara relatifnya turut bergantung kepada pembacaan kita.

Andai kita banyak membaca bahan bacaan yang baik dan bermutu, sedikit sebanyak pola berfikir kita juga pasti berbeza.

Alhamdulillah, terasa segar sungguh semangat saya apabila membaca isi kandungan buku ini.

Saya berhenti di sini dahulu.

Selamat membaca!

Leave a Comment