fbpx

Kepentingan Ilmu Agama dan Kenapa Kita Perlu Mempelajarinya

Kenapa kita belajar ilmu agama?

Kerana ilmu agama akan memandu hidup kita.

Dalam buku Prophetic Learning karangan Dwi Budiyanto ada memetik kata-kata Imam Nawawi iaitu, “Janganlah engkau meremehkan suatu ilmu dalam bidang apa sahaja.”

Apatah lagi ilmu agama, kerana ilmu agama inilah yang akan menunjukkan kita jalan ke syurga.

Dalam buku Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga – Panduan Menuntut Ilmu karangan Yazid bin Abdul Qadir Jawas menyenaraikan beberapa kepentingan ilmu agama dan kenapa kita perlu mempelajarinya.

Mudah-mudahan apabila saya dan anda habis sahaja membaca artikel ini, akan melonjakkan lagi semangat kita untuk menuntut ilmu agama.

Isi Kandungan

    Allah Angkat Darjat Orang Yang Berilmu

    Pertama sekali bila kita menuntut ilmu, Allah akan angkat darjat kita.

    Ini berdasarkan firman Allah subahanahu wa ta’ala,

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

     Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

    [Surah al-Mujaadalah 58: 11]

    Ayat ini cerita tentang majlis ilmu.

    Dan majlis ilmulah yang meninggikan darjat seseorang manusia.

    Malah, di dunia lagi orang yang berilmu diberikan penghormatan.

    Ini terbukti dari banyak sekali dalil dari Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam sendiri.

    Sebagai contoh, apabila hendak mengebumikan para sahabat yang mati syahid, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam tanya, “Siapakah yang paling banyak menghafal al-Quran. Yang banyak hafal Al-Quranlah yang dimasukkan ke dalam kubur dahulu.”

    Dan antara banyak-banyak majlis ilmu agama pula, yang paling utama ialah majlis ilmu wahyu.

    Maksudnya majlis ilmu yang berkaitan dengan tadabbur, tafsir dan apa sahaja yang boleh membawa kita memahami al-Quran.

    Kerana manusia kena faham al-Quran.

    Kalaulah kita semua sedar tentang perkara ini, maka cepatlah naik taraf kita (orang Islam) kembali.

    Sekarang ini kita (umat Islam) sangat jauh daripada al-Quran, sebab itulah kita berada di kedudukan yang amat rendah sekarang.

    Jadi Allah kata, orang yang berilmu dan mengamalkannya, kedudukannya akan diangkat oleh Allah di dunia dan akan dinaikkan darjatnya di akhirat.

    Orang Yang Berilmu Adalah Orang Yang Takut Kepada Allah

    hakimdarno - kepentingan ilmu agama dan kenapa kita perlu mempelajarinya 2

    Kedua, bila kita menjadi orang yang berilmu, kita akan kenal Allah.

    Bila kita kenal Allah, timbul rasa takut di dalam diri kita.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَٰٓؤُا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

    Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

    [Surah Faatir 35: 28]

    Ibnu Mas’ud radiyallahu anh berkata,

    “Cukuplah rasa takut kepada Allah itu disebut sebagai ilmu. Dan cukuplah tertipu dengan tidak mengingat Allah disebut sebagai kebodohan.”

    Imam Ahmad rahimahullah berkata,

    “Pokok ilmu ada rasa takut kpeada Allah.”

    Apabila ilmu kita bertambah, maka bertambahlah rasa takut kita kepada Allah.

    Ilmu Adalah Nikmat Yang Agung

    Ketiga, kita kena faham atau mengakui bahawa dalam banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita, nikmat yang paling agung ialah al-Quran dan juga hikmah.

    Itulah yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُن تَعْلَمُ ۚ وَكَانَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

    Dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.

    [Surah an-Nisaa’ 4: 113]

    Faham Dalam Masalah Agama Termasuk Tanda-tanda Kebaikan

    Keempat, dalam as-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih muslim) dari hadis Mu’awiyah bin Abi Sufyan (wafat tahun 78 H) radiyallahu anhuma, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda:

    “Barangsiapa dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberikan pemahaman agama kepadanya.”

    Hadis ini beritahu kita bahawa orang yang tidak diberikan kefahaman dalam agama bermaksud Allah tidak mahu berikan kebaikan kepadanya.

    Ya Allah ruginya kita.

    Sebab, bukti Allah berikan kebaikan kepada kita ialah kita dapat memahami agama.

    Jadi, bersyukurlah dan hargainya.

    Bukan rasa rendah diri pula.

    Sebab ada orang yang faham ilmu agama, tetapi dia rasa rendah diri dan hina dengan orang yang ada ‘dunia’.

    Maka, betulkan fikiran dan juga pandangan kita.

    Tapi sebagai peringatan, orang yang berilmu itu bukan sekadar memiliki ilmu, tetapi dia juga  mengamalkan ilmu yang dia milikinya.

    Orang Yang Berilmu Dikecualikan Daripada Laknat Allah

    Kelima, Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah at-Tirmizi (wafat tahun 249 H) rahimahullah meriwayatkan dari Abu Hurairah (wafat tahun 57 H) radiyallahu anh, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,

    “Ketahuilah sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikir kepada Allah dan ketaatan  kepada-Nya, orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu.”

    Apa yang saya faham daripada hadis ini ialah maksud dunia dan apa yang ada di dalam dunia itu semuanya dilaknat ialah apabila kita melakukan sesuatu perkara  yang tidak berfaedah, sia-sia, buat kejahatan dan seumpamanya.

    Kita jangan sempitkan maksud hadis ini, “Kecuali zikir kepada Allah dan ketaatan  kepada-Nya, orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu.”

    Sebab itulah kita kena ada ilmu.

    Menuntut Ilmu & Mengajarkannya Lebih Utama Daripada Ibadah Sunnah & Fardu Kifayah

    hakimdarno - kepentingan ilmu agama dan kenapa kita perlu mempelajarinya 3

    Keenam, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,

    “Keutamaan ilmu lebih baik daripada keutamaan ibadah, dan agama kalian yang paling baik adalah al-wara’ (ketakwaan).

    Sebab apa?

    Sebab jika kita beribadah, manfaatnya hanya kepada diri kita sendiri.

    Tetapi bila kita mengajar orang lain, bukan diri kita sahaja yang bermanfaat, tetapi semua orang yang belajar ilmu daripada kita.

    Semakin ramai yang belajar, semakin ramai orang yang mendapat manfaat.

    Ilmu Adalah Kebaikan Di Dunia

    Ketujuh, firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ حَسَنَةً

    “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.”

    [Surah al-Baqarah 2: 201]

    Menurut Hasan rahimahullah, kebaikan di dunia bermaksud ilmu dan ibadah.

    Manakala kebaikan di akhirat bermaksud syurga.

    Menurut penulis, sesungguhnya kebaikan dunia yang paling agung adalah ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh dan ini adalah sebaik-baik tafsir ayat di atas.

    Ibnu Wahb (wafat tahun 197 H) rahimahullah berkata, “Aku mendengar Sufyan ats-Tsauri rahimahullah berkata,

    “Kebaikan di dunia adalah rezeki yang baik dan ilmu, sedangkan kebaikan di akhirat adalah syurga.”

    Ilmu Adalah Jalan Menuju Kebahagiaan

    Kelapan, Imam Ahmad dan at-Tirmizi meriwayatkan hadis dari sahabat Abu Kabsyah al-Anmari (wafat tahun 13 H) radiyallahu anh, ia berkata, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,

    “Sesungguhnya dunia diberikan untuk empat orang: (1) Seorang hamba yang Allah berikan harta dan ilmu, kemudian dia bertakwa kepada Allah dalam hartanya, dengannya ia menyambung silaturrahmi dan mengetahui hak Allah di dalamnya. Orang tersebut kedudukannya paling baik (di sisi Allah).

    (2) Seorang hamba yang Allah berikan ilmu namun tidak diberikan harta, dengan niatnya yang jujur ia berkata, ‘Seandainya aku memiliki harta, aku pasti mengerjakan seperti apa yang dikerjakan si fulan.’

    (3) Seorang hamba yang Allah berikan harta namun tidak diberikan ilmu. Lalu ia menggunakan hartanya tanpa ilmu, tidak bertakwa kepada Allah dalam hartanya, tidak menyambung silaturrahmi dengannya, dan tidak mengetahui hak Allah di dalamnya. Kedudukan orang tersebut adalah paling jelek (buruk) di sisi Allah.

    (4) Seorang hamba yang tidak diberikan ilmu dan harta oleh Allah, kemudian ia berkata, ‘Seandainya aku memiliki harta, aku pasti mengerjakan seperti apa yang dikerjakan si fulan (yang ketiga). Ia berniat seperti itu dan keduanya sama dalam mendapatkan dosa.”

    Menurut penulis, dalam hadis ini Nabi membahagikan penghuni dunia menjadi empat golongan dan golongan yang terbaik di antara mereka adalah orang yang diberikan ilmu dan harta; ia berbuat baik kepada manusia dan kepada dirinya sendiri dengan ilmu dan hartanya.

    Menuntut Ilmu Membersihkan Hati

    Kesembilan, sesungguhnya hati manusia akan menjadi lebih bersih dan mulia dengan memahami ilmu agama.

    Itulah kesempurnaan dan kemuliaan diri kita.

    Orang yang menuntut ilmu akan bertambah rasa takut dan takwanya kepada Allah.

    Hal ini berbeza dengan orang yang disibukkan oleh harta dan dunia.

    Harta dan dunia yang dikejar tidak dapat membersihkan hati seseorang dan menjadikan dirinya manusia yang sempurna, malah hatinya akan menjadi tamak, rakus dan kedekut.

    Sesungguhnya mencintai ilmu dan mencarinya adalah akar segala ketaatan, sedangkan mencintai harta dan dunia adalah akar berbagai kesalahan yang menjerumuskan seseorang ke dalam neraka.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment