fbpx

Kenapa “Segala Puji” Hanya Untuk Allah?

Dalam Surah al-Fatihah, Allah tidak sekadar memerintahkan kita puji Allah sahaja, tetapi Allah beritahu juga kenapa segala puji hanya untuk Allah.

Sebabnya ialah kerana Allah adalah (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ ).

Kita tengok satu-satu.

Pertama, apa makna (رَبِّ) ?

Kata Ustaz Abd Muein, dalam bahasa Arab bila sebut perkataan (رَبِّ) mesti merujuk kepada tiga perkara iaitu:

Pemilik – Pencipta – Pengurus

Jadi, Allah adalah Pemilik, Pencipta dan Pengurus alam ini (ٱلۡعَـٰلَمِینَ).

Apa pula maksud (ٱلۡعَـٰلَمِینَ)?

Kata ustaz, (ٱلۡعَـٰلَمِینَ) berasal daripada perkataan (عَـلَمٌ) yang bermaksud tanda.

Jadi, bila kita gabungkan perkataan (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ ) bermaksud Tuhan Pemilik, Pencipta dan Pengurus segala tanda.

Maksudnya ialah semua yang Allah cipta daripada sebesar-besar langit sehinggalah sekecil-kecil nyamuk yang Allah cipta adalah tanda kebesaran Allah kalau kita orang yang berfikir.

Pertama, bila sebut tanda kebesaran Allah, maksudnya manusia tidak boleh buat.

hakimdarno - Kenapa Segala Puji Hanya Untuk Allah 1

Kedua, kita kena fikir.

Kalau kita tidak fikir, kita tidak akan jumpa tanda kebesaran Allah.

Contoh langit adalah tanda kebesaran Allah.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَىٰهَا

Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh – yang melambangkan kekuasaanNya).

[Surah asy-Syams 91: 5]

Lihatlah atau perhatilah bagaimana Allah membina langit sebanyak tujuh lapis, besar, tinggi, kuat dan sudah wujud semenjak beribu ribu tahun dahulu tetapi tidak runtuh sebagaimana bangunan yang dibina oleh manusia – biasanya dalam tempoh 100 atau 200 tahun akan retak ataupun runtuh.

Begitulah hebatnya langit.

Semakin dalam kita fikir, semakin dalam kita dapat rasa kebesaran Allah.

Okey, kita tengok contoh lain pula iaitu nyamuk.

Nyamuk ini antara makhluk Allah yang paling kecil, tapi Allah tidak malu pun untuk jadikan nyamuk sebagai perumpamaan.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَسْتَحْىِۦٓ أَن يَضْرِبَ مَثَلًا مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) …

[Surah al-Baqarah 2: 26]

Jadi apa tanda kebesaran Allah pada nyamuk?

hakimdarno - Kenapa Segala Puji Hanya Untuk Allah 2

Pertama, walaupun badan nyamuk kecil tapi sangat bahaya sehingga boleh menyebabkan kematian.

Contoh penyakit yang dibawa oleh nyamuk Malaria, Denggi, Chikungunya, Zika, Japanese Encephalitis dan sebagainya.

Kedua, cuba kita fikir nyamuk memudaratkan kita dengan apa?

Jarum.

Jarum nyamuk besar atau kecil?

Kecil sahaja kalau nak banding dengan jarum doktor.

Tapi mana yang lebih bahaya – jarum nyamuk ke jarum doktor?

Jarum nyamuk.

Ketiga, antara mata nyamuk dengan mata kita mana yang lebih besar?

Mestilah mata kita, tetapi walaupun mata nyamuk kecil matanya lebih hebat daripada kita sebab mampu mencari kita walaupun dalam keadaan gelap.

Keempat, kalau kita perasan kadang-kadang dalam satu tempat ada orang yang kena gigit nyamuk dan ada orang yang tidak, kenapa?

Sebab darah orang itu tidak sesuai dengan darah yang nyamuk nak.

Nyamuk tidak gigit sebab darah kita tidak ada nilai di mata nyamuk.

Kelima, sebelum nyamuk hisap darah kita, dia seperti ada satu alat bius.

Sebab itu masa nyamuk gigit, kita tidak rasa.

Tahu-tahu perut nyamuk dah kembung dengan darah kita.

Kenapa Allah buat macam itu?

Sebab kalau tidak ada bius, semua nyamuk akan mati kelaparan sebab tidak sempat pun hisap darah, dah kena tampar dengan kita.

Keenam, ramai orang yang jadi kaya dengan buat bisnes ubat nyamuk.

Tengok jenama-jenama yang terkenal di pasaran seperti Ridsect, Mosfly, Fumakilla, Shieldtox dan banyak lagi.

Ketujuh, bila nyamuk gigit kita rasa sakit.

Dengan sakit itulah kita ingat pada Allah.

Ada orang yang selalu buat perkara lagha dan maksiat, tiba-tiba kena gigit nyamuk dan terlantar sebab demam malaria.

Lepas itu dia bertaubat.

Kelapan, dan rahmat Allah yang paling besar ialah bila kita fikir tentang nyamuk, kita akan semakin kenal Allah.

Bila kita semakin kenal Allah, semakin kita rasa kebesaran Allah dan semakin sayang kita kepada Allah.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment