Saya perlu belajar kerana banyak perkara yang saya tidak tahu.
Saya tidak tahu mendidik anak dengan betul, tidak tahu cara berkomunikasi pada isteri dengan betul, tidak tahu menjaga hati emak, tidak tahu dengan lengkap ibadah-ibadah yang Allah perintahkan pada saya, tidak tahu kenapa kulit tangan dan kaki saya tiba-tiba menggelupas, tidak tahu apa nasib saya pada tahun hadapan, tidak tahu kenapa lebah di rumah saya itu suka pada lampu – jadi bila saya buka lampu sahaja pada waktu pagi, lebah akan datang dan mengganggu saya, tapi waktu malam tidak ada pula, tidak tahu apa yang saya tidak tahu dan banyak sangat perkara yang saya tidak tahu di dalam kehidupan ini.
Maka sebab itulah saya kena belajar.
Senarai di atas hanya sebahagian sahaja perkara yang saya tidak tahu.
Mungkin kalau diberi masa lagi setengah jam, saya dapat keluarkan lebih banyak senarai perkara yang saya tidak tahu.
Tapi cukuplah itu sebagai contoh untuk saya menyatakan sebab kenapa saya perlu belajar.
Belajar untuk meneruskan kehidupan.
Belajar sementara menunggu kematian.
Belajar untuk memahami hakikat kehidupan.
Belajar untuk tahu kenapa kita diciptakan.
Belajar untuk tahu apa perintah Tuhan.
Belajar untuk mencari jawapan.
Hanya dengan berfikir, lahir soalan. Hanya dengan soalan, jelas terjadinya berfikir dalam pembelajaran.
~Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Belajar Bukan Untuk Jadi Agamawan
Kata Ustaz Hasrizal di dalam bukunya Ma Oon Rizal – Cikgu Malaysia Di Finland, saya (Ustaz Hasrizal) belajar Syariah bukan kerana mahu jadi agamawan.
Saya hanya mahu mencari jawapan kepada persoalan.
Sebahagian persoalan itu telah terjawab.
Namun sebahagiannya belum.
Daripada bidang Syariah saya beralih ke bidang sejarah.
Sebabnya sama.
Ada beberapa persoalan mengenai kehidupan yang saya tidak mendapat jawapan daripada ilmu agama.
Belajar sejarah, bukan hanya fakta siapa, di mana, apa dan bila, tetapi juga bagaimana dan mengapa.
Daripada sejarah, yang sifatnya makro, yang telah banyak membantu saya memahami beberapa perkara tentang mengapa hari ini seperti hari ini, dan bagaimana rupanya pada masa silam, saya melanjutkan pencarian jawapan kepada beberapa persoalan mikro di bidang yang menelaah manusia secara mikro iaitu pendidikan.
Kata-kata Ustaz Hasrizal ini sungguh membuatkan saya muhasabah diri.
Saya belajar bukan untuk mengajar orang lain semata-mata, tetapi saya belajar untuk mengajar diri saya sendiri.
Kalau mula-mula dahulu, mungkin saya belajar kerana pekerjaan.
Memandangkan saya seorang guru, maka saya kena belajar.
- Jemput baca: Persoalan Sebelum Pelajar Belajar Pelajaran Agama
Saya kena belajar supaya dapat menyampaikan ilmu kepada orang lain.
Saya kena belajar supaya saya dapat menarik lebih ramai orang untuk belajar al-Quran.
Tapi saya terlupa bahawa saya perlu belajar bukan kerana orang lain, tetapi kerana diri saya sendiri.
Akhlak saya perlu dijaga.
Amalan saya perlu ditambah dan dijaga kualitinya.
Ilmu saya semakin dalam tentang agama untuk membenteng diri saya sendiri daripada sebarang ujian dan cabaran kehidupan.
Apabila saya berfikir dengan mendalam tentang perkara ini, perkara ini menyebabkan saya takut untuk menjadi popular apabila menyampaikan ilmu.
Ya, memang di dalam hati saya ada terdetik untuk menjadi popular.
Bila popular, lebih ramai orang yang akan belajar dengan saya.
Begitulah niatnya.
Tapi saya terlupa dengan kemampuan dan kekuatan yang ada pada diri saya.
Akhirnya cukuplah saya buat keputusan seperti mana kata Ustaz Hasrizal, saya belajar ini untuk diguna pakai dalam dunia yang paling kecil iaitu diri saya sendiri, isteri dan anak-anak, keluarga terdekat dan orang-orang yang berada di sekeliling saya.
Saya kena sedar diri, inilah kekuatan dan kemampuan yang boleh saya lakukan.
- Jemput baca: Bagaimana Mahu Membaca?
Prophetic Learning – Menjadi Cerdas dengan Jalan Kenabian
Saya mulakan perjalanan baru dalam hidup saya.
Saya mula belajar agama kembali.
Kali ini saya belajar untuk benar-benar memahami agama yang saya anuti.
Bukan lagi belajar kerana terikut-ikut orang lain atau mengikut sahaja apa yang telah emak ayah saya ajari semenjak kecil lagi.
Dunia dah berubah, semakin banyak ilmu agama yang digali ketika ini.
Sudah pasti, banyak ilmu-ilmu yang kita dapat sebelum ini perlu ditapis dan disaring terlebih dahulu supaya kita tahu bahawa ilmu itu adalah ilmu yang benar di sisi agama kita.
Bila kita tahu kenapa sesuatu amalan perlu dilakukan, kita akan menjadi bertambah khusyuk.
Bila bertambah khusyuk, iman kita pun semakin bertambah.
Kita semakin seronok untuk melakukan ibadah.
Saya terjumpa sebuah buku yang sangat menarik iaitu Prophetic Learning – Menjadi Cerdas dengan Jalan Kenabian, karangan Dwi Budiyanto.
Kenapa saya kata buku ini sangat menarik?
Sebab buku ini menyedarkan saya betapa selama ini saya belajar dengan cara yang salah.
Ataupun sebenarnya saya tidak minat belajar melainkan kerana kerjaya saya.
Saya lebih tertarik dengan dunia hiburan yang melalaikan.
Kehidupan beragama semakin hari semakin hilang di dalam kehidupan.
Satu-satu amalan saya tinggalkan.
Jadi buku ini menyedarkan saya bahawa hari ini ramai yang belajar, tetapi kenapa yang saya belajar, tidak mengubah diri saya menjadi orang yang lebih baik?
Sebabnya tadi, kerana saya belajar untuk sampaikan ilmu kepada orang lain (mengajar semata-mata).
Bukannya saya belajar untuk diamalkan.
Sebab itulah kadang-kadang, orang yang belajar agama perangainya lebih teruk daripada orang yang tidak belajar agama.
Sebab apa?
Sebab agama hanyalah satu subjek di antara banyak-banyak subjek yang kita kena belajar.
Jadi buku ini mengajak kita supaya muhasabah diri, dengan cara mengembalikan tradisi belajar generasi pemenang.
Siapakah generasi pemenang yang dimaksudkan?
Sudah pastilah generasi para salafus soleh.
Siapa itu salafus soleh?
Iaitu sahabat nabi, tabi’in dan juga tabi’ut-tabi’in.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
“Sebaik-baik manusia adalah yang hidup pada masaku, kemudian manusia yang hidup pada masa berikutnya, kemudian manusia yang hidup pada masa berikutnya.”
[Hadis Riwayat Bukhari (2652), Muslim (2533)]
Kenapa perlu kembalikan tradisi belajar para salafus soleh?
Sebab mereka adalah generasi yang telah berjaya menjadikan Islam cemerlang di mata dunia dan apatah lagi di mata akhirat.
Jadi, mereka adalah contoh dan model yang perlu kita ikuti.
Kita kena contohi bagaimana mereka begitu cinta dengan semangat belajar.
Mereka belajar kerana mereka mengharap menjadi peribadi-peribadi yang unggul dan bertakwa.
Ketakwaan akhirnya membawa kepada amal soleh.
Sementara amal soleh akan sempurna jika kita laksanakan dengan ilmu yang benar.
Cara nak dapat ilmu yang benar pula kena belajar!
Itulah sebabnya mereka begitu bersemangat dalam belajar.
Harapan saya ketika menulis artikel ini ialah supaya saya dan anda semua yang sedang membaca, marilah kita berusaha mengembalikan tradisi menuntut ilmu yang semakin pudar ini ke dalam nafas hidup setiap Muslim.
Supaya siapa pun kita, apa pun pekerjaan kita, kita akan mengutamakan ilmu berbanding perkara lain.
Bangun, berilah peringatan!