fbpx

Kenapa Nabi Khidir Membunuh Ghulam?

Bagaimana Nabi Khidir sanggup membunuh seorang pemuda?

Saya baru dengar kuliah daripada Ustaz Yusof Arbain tentang ayat 80, 81 dan 82 Surah al-Kahfi.

Okey, kan dalam Surah al-Kahfi ada banyak kisah.

Antaranya:

  • Pemuda al-Kahfi.
  • Nabi Musa dan Nabi Khidir.
  • Nabi Dzulkarnain.
  • Dua orang yang memiliki kebun.

Jadi ayat 80 hingga 82 ini cerita tentang Nabi Musa dan Nabi Khidir.

Isi Kandungan

    Bimbang Anak Akan Mendesak Untuk Melakukan Perbuatan Zalim dan Kufur

    Baik, apa cerita ayat 80?

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    وَأَمَّا ٱلْغُلَٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَٰنًا وَكُفْرًا

    Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

    [Surah al-Kahfi 18: 80]

    Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat 80 ni?

    Sebelum kita mengambil pengajaran, kita kena tahu dahulu ayat ini cerita tentang apa, sebab boleh jadi sesuatu ayat itu, ada kaitan dengan ayat sebelumnya.

    Contohnya dalam ayat ini, ayat 80 ini ada kaitan dengan ayat 74.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَٰمًا فَقَتَلَهُۥ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا نُّكْرًا

    Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

    [Surah al-Kahfi 18: 74]

    hakimdarno - kenapa nabi khidir membunuh ghulam 2

    Kenapa Nabi Khidir membunuh pemuda tersebut?

    Jawapannya pada ayat yang ke-80.

    Ayat 80 beritahu kerana ibu bapa pemuda ini orang yang beriman.

    Jadi, kalau biarkan pemuda ini terus hidup, pada masa hadapan anak ini akan menjadikan ibu bapanya zalim dan kufur.

    فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَٰنًا وَكُفْرًا

    Maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

    Maka Allah pun selamatkan ibu bapa ini dengan memerintahkan Nabi Khidir supaya membunuhnya.

    Namun pada ayat yang seterusnya iaitu ayat 81, Allah berfirman,

    فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

    Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

    [Surah al-Kahfi 18: 81]

    Walaupun Allah menyuruh bunuh pemuda ini, Allah berikan harapan kepada ibu bapanya supaya jangan risau, Kami akan gantikan dengan anak yang lebih suci jiwanya, dan lebih mesra kasih sayangnya.

    Kenapa dalam ayat ini, Allah beritahu yang Allah akan gantikan anak tersebut dengan anak lain yang lebih baik dan soleh?

    Untuk memujuk ibu bapa tersebut.

    Kalau fikir logik, ibu bapa mana yang tidak sedih kalau anaknya kena bunuh.

    Namun, kita juga kena ingat bahawa Nabi Khidir bunuh pemuda tersebut atas perintah Allah, bukan mengikut pendapatnya sendiri.

    Jadi Allah nak beritahu juga di sini bahawa sesiapa yang mengikut perintah Allah, dia akan mendapat kebaikan.

    Malah kebaikan itu lebih baik daripada apa yang dia miliki sekarang.

    Daripada Ummi Salamah katanya, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda: 

    Jika ada di antara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata:

    إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ عِنْدَكَ أَحْتَسِبُ مُصِيبَتِي، فَآجِرْنِي فِيهَا، وَأَبْدِلْ لِي بِهَا خَيْرًا مِنْهَا

    “Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali pada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu, dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik dari musibah ini.”

    [Riwayat Abu Daud, no. 3119]

    Tadabbur Ayat 80 & 81 Surah al-Kahfi

    hakimdarno - kenapa nabi khidir membunuh ghulam 3

    Apakah tindakan yang boleh kita lakukan berdasarkan ayat 80 dan 81 ni?

    Pertama, kita kena menjadi orang yang benar-benar beriman.

    Kenapa?

    Sebab kalau kita jadi orang yang benar-benar beriman seperti ibu bapa pemuda tadi, Allah akan jaga kita.

    Allah akan hantar orang lain untuk melindungi iman dan agama kita.

    Orang lain dalam kisah ini ialah Allah menghantar Nabi Khidir.

    Jadi kalau kita benar-benar beriman, sudah pasti Allah akan jaga kita.

    Allah akan hantar perlindungan dalam apa sahaja bentuk yang kita pun tidak tahu.

    Okey, kenapa Allah suruh kita menyelamatkan iman?

    Sebab kalau kita ingat lagi tujuan Surah al-Kahfi adalah untuk mengajak kita kembali kepada Allah.

    Berlindunglah kepada Allah untuk melalui zaman yang mempunyai pelbagai fitnah ini.

    Zaman sekarang ni iman boleh jadi runtuh.

    Akhir zaman ini, iman kita mudah goyah.

    Tengok isu-isu yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, waktu ini atau zaman ini.

    Jemput baca: Keutamaan Rahmat Berbanding Ilmu – Kisah Nabi Musa & Nabi Khidir

    Anak-Anak Adalah Fitnah

    Kedua, berhati-hati dengan fitnah anak-anak.

    Kenapa anak-anak menjadi fitnah?

    Sebab anak adalah ujian yang Allah hantar kepada kita.

    Bila kita dapat anak, jangan rasa seronok sahaja sebab kalau kita tahu hakikat yang sebenar, anak adalah ujian besar yang ada di dalam rumah kita.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ مِنْ أَزْوَٰجِكُمْ وَأَوْلَٰدِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَٱحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

    Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

    [Surah at-Taghaabun 64: 14]

    Lagi satu ayat,

    إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَٰدُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ

    Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

    [Surah at-Taghaabun 64: 15]

    Kita kena ingat bahawa pasangan dan anak-anak kita boleh mempengaruhi agama kita terutamanya bila kita sudah di usia emas nanti.

    Pada masa itu, nak jalan pun dah tak larat.

    Kena sentiasa dibimbing atau diteman oleh anak.

    Jadi, kalau kita dapat anak yang soleh ataupun solehah, bolehlah mereka nasihat dan bimbing kita untuk dekat dengan Allah azza wa jalla.

    Tapi kalau dapat anak yang sibuk dengan urusan dunia, sehingga diri sendiri pun tidak sempat untuk menyembah Allah Yang Maha Esa, bagaimana mahu membimbing kita?

    Ikut logik, kalau emak ayahnya beriman, anak-anaknya pun mestilah beriman.

    Tetapi ayat ini menjadi bukti tidak semestinya!

    Jadi, jangan merasa kecewa kalau kita adalah ibu bapa yang belajar al-Quran, mengajar al-Quran, tetapi anak-anak kita nakal dan tidak dengar kata.

    Kenapa Allah bagi anak yang jahat, tapi ibu bapa beriman ataupun anak beriman tetapi ibu bapanya jahat?

    Sebab anak-anak adalah fitnah (ujian).

    Sangka Baik Pada Allah

    Maka tindakan ketiga yang boleh kita lakukan daripada ayat ini ialah kena bersangka baik kepada Allah.

    Saya tahu cakap memang senang, kalau Allah menguji dengan mengambil ajal anak kita, kita pun kata sabar.

    Tetap itulah rawatan yang Allah berikan – bersangka baik.

    Mungkin ada sebab Allah ambil anak kita semasa kecil, mungkin anak kita akan banyak buat dosa kepada kita ataupun kita yang banyak buat dosa terhadap kita.

    Kalau manusia yang memang ada potensi buat jahat pada kita pun disuruh sangka baik, inikan pula Allah Yang Maha Baik, lagilah kita kena bersangka baik.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment