fbpx

Kenapa Kamu Tak Ambil Pengajaran?

Apakah pengajaran ayat 4 Surah as-Sajdah?

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

[Surah as-Sajdah 32: 4]

Tadabbur Ayat 4 Surah As-Sajdah

Perkataan (ٱللَّهُ) ini daripada perkataan ilah iaitu bermakna Tuhan yang disembah.

(ٱلَّذِى) – yang.

(خَلَقَ) – telah mencipta.

(ٱلسَّمَٰوَٰتِ) – langit-langit.

(وَٱلْأَرْضَ) – dan bumi.

Tapi, adakah Allah mencipta langit dan bumi sahaja?

Tidak, (وَمَا بَيْنَهُمَا) – apa yang di antara keduanya.

Jadi Allah mencipta langit, bumi dan apa yang ada di antara keduanya.

Apa yang ada di antara langit dan bumi?

Antaranya awan, bintang, bulan, matahari dan sebagainya.

Allah cipta semua perkara ini dalam tempoh berapa lama?

 (فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ) – dalam enam hari.

Apa maksud enam hari?

Adakah sama enam hari seperti yang kita lalui pada hari ini?

Antara Langit Dan Bumi Mana Yang Diciptakan Dahulu?

hakimdarno - kenapa kamu tak ambil pengajaran 2

Antara enam hari itu pula, langit berapa hari, bumi berapa hari, antara langit dan bumi berapa hari?

Kemudian, antara langit dan bumi, mana yang Allah cipta dahulu?

Okey, banyak soalan nak kena jawab ini.

Kalau kita tengok ayat empat ini, Allah sebut (ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا).

Allah cipta langit, bumi dan antara keduanya.

Tapi adakah ayat ini Allah beritahu Allah cipta mengikut susunan?

Kalau ya, apa buktinya?

Kalau tidak pula, apa buktinya?

Kalau kita ikut logik pula bagaimana?

Contoh kalau kita buat rumah, kita buat bumbung dahulu atau lantai dahulu?

Mestilah lantai dahulu.

Jadi kata Ustaz Abd Muein, kalau nak tahu ayat itu Allah beritahu ikut susunan ataupun tidak, tengok Allah guna huruf (و) atau (ف).

Kalau huruf (و), ia tidak ikut susunan.

Tapi kalau huruf (ف), ia ikut susunan.

Jadi dalam ayat ini (ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا), Allah guna huruf (و).

Maka ayat ini Allah tidak beritahu ikut susunan.

Jadi, antara langit dan bumi, mana yang Allah cipta dahulu?

Dalam ayat ini tidak ada jawapan, tapi jawapannya ada di dalam Surah al-Baqarah.

Jom kita tadabbur ayat 29 Surah al-Baqarah.

Tadabbur Ayat 29 Surah al-Baqarah – Allah Cipta Bumi Dahulu

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَٰوَٰتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

[Surah al-Baqarah 2: 29]

(هُوَ) – dia.

 (ٱلَّذِى) – yang.

(خَلَقَ) – telah mencipta.

(لَكُم) – untuk kamu.

(ٱلْأَرْضِ) – bumi.

(جَمِيعًا) – semua sekali.

(ثُمَّ) – kemudian.

Okey ini menarik, di sinilah jawapan yang kita cari-cari.

Kata Ustaz Abd Muein, kalau Allah guna perkataan (ثُمَّ), ia mengikut tertib seperti huruf (ف) yang kita bincangkan sebelum ini.

Lepas Allah cipta bumi, Allah (ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ) – menuju ke langit.

(فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَٰوَٰتٍ) – lalu Allah melengkapkan tujuh lapis langit.

Jadi Allah cipta bumi  atau langit dahulu?

Bumi.

Boleh atau tidak Allah nak cipta langit dahulu?

Boleh.

Tapi Allah nak bagi pengajaran pada kita bahawa kalau nak buat apa-apa, kena bina yang bawah dahulu.

Jangan terus bina yang atas.

Tadabbur Ayat 9-12 Surah Fussilat

hakimdarno - kenapa kamu tak ambil pengajaran 3

Kemudian Allah memperincikan lagi apa yang Allah sebut dalam Surah as-Sajdah iaitu Allah beritahu Allah cipta bumi berapa hari, langit berapa hari dan segala yang ada di atas bumi berapa hari.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَرْضَ فِى يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُۥٓ أَندَادًا ۚ ذَٰلِكَ رَبُّ ٱلْعَٰلَمِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam.

[Surah Fussilat 41: 9]

وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ مِن فَوْقِهَا وَبَٰرَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَآ أَقْوَٰتَهَا فِىٓ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ سَوَآءً لِّلسَّآئِلِينَ

Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.

[Surah Fussilat 41: 10]

ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ٱئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَآ أَتَيْنَا طَآئِعِينَ

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”.

[Surah Fussilat 41: 11]

فَقَضَىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَٰوَاتٍ فِى يَوْمَيْنِ وَأَوْحَىٰ فِى كُلِّ سَمَآءٍ أَمْرَهَا ۚ وَزَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَٰبِيحَ وَحِفْظًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

[Surah Fussilat 41: 12]

Jadi ayat-ayat ini menerangkan Allah cipta semua ini dalam tempoh enam hari.

Kata Ustaz Abd Muein, enam hari ini ada disebut dalam hadis.

Ahad – Isnin – Selasa – Rabu – Khamis – Jumaat.

Hanya hari Sabtu sahaja yang tidak ada.

Maka sebab itulah orang -orang Yahudi laknatullahi alaihim kata apa?

Hari Sabtu Tuhan berehat sebab penat buat kerja enam hari.

Dan sebab itu jugalah mereka jadikan hari Sabtu sebagai hari perayaan.

Cuba kita fikir, sebenarnya Tuhan buat langit, bumi dan semua ini 6 hari, Tuhan penat ke?

Tidak penat, tapi kenapa perlu sehingga enam hari?

Boleh atau tidak Allah kata kun fayakun?

Boleh, tapi kenapa Allah tidak buat?

Kata ustaz, terpulang pada Allah lah.

Cuma hikmahnya kata para ulama, Allah nak mengajar manusia, bila nak buat sesuatu, apatah lagi perkara yang besar, mestilah ambil masa.

Mesti dah ada perancangan dalam tempoh-tempoh tertentu.

Jangan buat dalam keadaan tergesa-gesa ataupun tergopoh-gapah.

Kemudian, (ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ) – kemudian Ia bersemayam di atas Arasy.

(Nota: Mohon maaf kerana saya tak kongsikan huraian tentang bahagian ini kerana bimbang tersilap. Bila dah betul-betul faham dan merujuk kepada mereka yang pakar nanti, saya kongsikan).

2 Pengajaran Utama Ayat 4 Surah as-Sajdah

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat ini?

Kata Ustaz Abd Muein, yang pertama; Sebenarnya ayat ini Allah subhanahu wa ta’ala mencela manusia, “Teruklah kamu ni! Kenapa tak ambil pengajaran?”

Yang kedua, Allah nak beritahu wajib kita ambil pengajaran, apa pengajarannya?

Janganlah ambil peraturan atau perintah yang selain daripada Allah sebab yang lain tidak cipta apa-apa pun, bahkan nak buat cengkodok pun dia perlukan minyak,

Boleh dia hanya kata kun fayakun?

Tidak boleh.

Jangan dengar cakap suami, jangan dengar cakap pemimpin ataupun jangan dengar cakap ustaz kalau bercanggah dengan Islam.

Sebab?

Sebab ustaz ke atau sesiapa sahaja tidak cipta apa-apa.

Jadi kenapa masih ikut nafsu?

Kenapa masih ikut manusia?

Ikutlah Tuhan yang mencipta langit dan bumi.

Kita ini kalau manusia yang suruh, semua kita ikut.

Contohnya keluar kerja pukul 8, balik pukul 5, kita ikut.

Tapi bila Allah kata Solat Subuh pukul 6 ramai yang lewat, kenapa tak ambil pengajaran?

Allah kata solat di rumah-KU (masjid), tapi majoriti kita solat di rumah, kenapa tak ambil pengajaran?

Kenapa tak rasa kebesaran Allah – (أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ)?

Jadi ayat ini ada dua pengajaran utama iaitu satu, Allah nak mencela orang yang bila baca al-Quran, dia tidak ambil pengajaran.

Yang kedua, wajib kita ambil pengajaran setiap kali baca ayat al-Quran.

Kalau kita baca, tapi tidak faham atau tidak ambil pengajaran, hukumnya berdosa.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment