fbpx

Kenapa Allah Ulang Lagi Sifat ar-Rahman dan Sifat ar-Rahim?

Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Ketika Allah beritahu bahawa Dia adalah (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ) dalam Surah al-Fatihah, kita rasa atau tidak yang Allah itu hebat?

Macam rasa, macam tidak, kan?

Tapi sepatutnya kita rasalah sebab Allah ini cipta langit, bukan cipta bangunan.

Malah, Allah bukan sekadar cipta langit, tetapi Allah juga memiliki dan menguruskan langit.

Itulah maksud (رَبِّ).

Adakah langit sahaja ciptaan Allah?

Tidak, (ٱلۡعَـٰلَمِینَ) – sekalian alam.

Jadi, Allah hebat atau tidak?

Kali ini kita jawab dengan penuh yakin, “Hebat!”

Bila kita rasa Allah hebat, logiknya kita akan rasa gerun kepada Allah.

Tiba-tiba, Allah kata Dia (ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ).

Okey, ini menjadi tanda tanya kepada kita.

Nama Allah kan banyak, kenapa Allah ulang lagi nama (ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) dalam surah al-Fatihah.

Jemput baca:

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Surah al-Fatihah 1: 1-3.

Gunalah pulak nama lain.

Kan dah disebut sebelum ini pada ayat yang pertama Surah al-Fatihah, kenapa ulang lagi?

Okey kata Ustaz Abd Muein, sebabnya ialah bila Allah beritahu yang Allah itu (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ) logiknya manusia akan rasa Allah Maha Hebat.

Dan hebatnya Allah subhanahu wa ta’ala sehingga membuatkan kita rasa gerun.

Jadi biasanya bila kita rasa gerun dengan seseorang yang hebat, kita akan semakin jauh dengan orang itu.

Siapalah kita ini nak dekat dengan dia.

hakimdarno - Kenapa Allah Ulang Lagi Sifat ar-Rahman dan Sifat ar-Rahim 1

Contohnya polis.

Biasanya kalau kita jumpa polis, seboleh-bolehnya kita akan elak untuk bertembung dengan polis.

Sebab apa?

Kita bukan buat kesalahan pun, sebab kuasa yang ada pada polis.

Jadi, walaupun kita tidak buat kesalahan, jumpa dengan polis sahaja kita rasa gerun dan gementar.

Hati kita berdebar-debar.

Jadi, kita pun jauhkan diri daripada polis.

Maka bila Allah sebut (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ), kuasa yang Allah ada lagi hebat berkali-kali ganda daripada polis.

Jadi Allah tidak mahu kita rasa Allah itu Maha Hebat sehingga kita menjauhkan diri daripada-Nya.

Maka Allah pun sebut walaupun “Aku (رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ) tapi Aku sangat penyayang” (ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ).

Jadi, datanglah dekat kepada-Ku.

Sebab sifat Tuhan yang hebat dan yang paling utama bukan al-Jabbar (Maha Perkasa), bukan al-Mutakabbir (Maha Memiliki Kebesaran) tetapi sifat utama Allah ialah ar-Rahman dan ar-Rahim.

Menurut Yusuf al-Qaradawi,

Pengulangan dan penekanan dua nama Allah ini selain penyebutan pada kalimah basmalah (ayat 1) adalah untuk menambah kekuatan makna rahmat yang sangat luas juga sebagai jawapan bagi setiap orang yang menuduh bahawa Tuhan orang beriman sebagai al-Jabbar (Yang Maha Memaksa) dan al-Muntaqim (Maha Membalas Dendam) sedangkan nama al-Jabbar hanya disebut sekali dalam al-Quran. Begitu juga nama al-Muntaqim.

Rahmat yang semua makhluk dapat ini baru satu.

Berkata Abu Hurairah radhiyallahu anh, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda:

Maksudnya: Allah memiliki seratus rahmat. Salah satu daripanya diturunkan ke permukaan bumi dan dibahagikan kepada jin, manusia, binatang dan serangga. Dengan satu kasih sayang itu, mereka saling berkasih sayang dan binatang buas menyayangi anaknya tetapi Allah menangguhkan sembilan puluh sembilan (99) rahmat lain untuk menyayangi hamba-hamba-Nya pada hari kiamat kelak.

[Hadis riwayat Muslim nombor 2752]

Subhanallah betapa luasnya rahmat Allah …

Tadabbur – Daripada sifat Allah (ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ) ini, antara perkara yang boleh kita tiru ialah:

1. Menyayangi dan mengasihi orang lain tanpa ada perasaan prejudis (tidak kira beragama Islam ataupun bukan).

Kita boleh menyayangi orang yang dekat dengan kita berbanding orang yang jauh.

2. Merasai kasih sayang Allah melalui ujian dan musibah kerana Dia ingin mengangkat kita ke satu darjat yang lebih tinggi.

3. Memperbanyak amal soleh bagi mendapatkan rahmat Allah subhanahu wa ta’ala.

Hal ini demikian kerana hanya melalui rahmat Allah sahaja, kita dapat memasuki syurganya-Nya.

10 Amal Soleh Yang Boleh Dilakukan Untuk Mendapatkan Rahmat Allah

hakimdarno - Kenapa Allah Ulang Lagi Sifat ar-Rahman dan Sifat ar-Rahim 2

1. Menghadiri kelas-kelas al-Quran.

2. Dengar bacaan al-Quran dan memberi perhatian.

3. Tadabbur al-Quran dan mengamalkannya.

4. Mengerjakan solat, menunaikan zakat serta mentaati rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.

5. Memperbanyak istighfar.

6. Berbuat kebaikan.

7. Menunggu waktu solat.

8. Berselawat ke atas Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam.

9. Menyambung saf solat.

10. Memperbanyak doa.

(Boleh rujuk dalam buku Membina Kekuatan Jiwa Melalui Surah al-Fatihah, Dr. Azrul Azlan dan Ustaz Yusof Arbain).

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment