Al-Quran ini kitab yang mulia atau tidak?
Mulia.
Kenapa al-Quran mulia?
Tersimpan Di Dalam Suhuf-suhuf Yang Mulia
Kerana Allah kata di dalam Surah ‘Abasa,
فِى صُحُفٍ مُّكَرَّمَةٍ
(Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan.
[Surah ‘Abasa 80: 13]
Maksudnya al-Quran yang ada di hadapan mata kita sekarang ini, asalnya disimpan di Lauh Mahfuz.
Jadi al-Quran bukan calang-calang kitab, kedudukannya sangat mulia.
Tetapi alangkah malangnya kerana ramai di antara kita yang buat tidak tahu sahaja.
Maka Allah nak beritahu kepada kita bahawa kalau kita tidak ingin, tidak endahkan atau tidak peduli dengan al-Quran, tidak mengapa, sebab kita pun memang tidak layak untuk menerimanya kerana diri kita yang rendah dan hina.
Jadi tidak perlu terdesak sangat nak beri, nak sogok atau nak paksa pada orang yang tidak mahu pada al-Quran kerana al-Quran memang dah mulia walaupun tanpa kita.
Kemudian, Allah beritahu lagi sebab kenapa al-Quran itu mulia.
Sebab yang kedua ialah:
Sifat Al-Quran Yang Tinggi & Suci
مَّرْفُوعَةٍ مُّطَهَّرَةٍۭ
Di tempat tinggi disucikan.
[Surah ‘Abasa 80: 14]
Al-Quran ini sifatnya tinggi dan suci.
Apa maksud al-Quran tinggi dan suci?
Maksudnya al-Quran ini terpelihara atau terjaga daripada sebarang kekotoran dan penipuan.
Jadi kalau kita tidak mahu membacanya, mendengarnya atau memahaminya, kita berada di dalam kerugian.
Jom kita tadabbur ayat ini, kita letak al-Quran di tempat tinggi atau tidak?
Letak.
Tapi apa maknanya kalau kita letak di tempat yang tinggi, kalau kita tidak memahaminya?
Seperti mana kita letak buku Matematik di tempat yang tinggi, ada faedah atau tidak?
Tidak ada.
Ilmu matematik akan tinggi di sisi kita atau di mata kita bila kita gunakan ilmunya dalam kehidupan untuk mengira gaji kita, harta, kita dan sebagainya.
Begitu jugalah dengan al-Quran, al-Quran tidak akan tinggi di mata kita, dalam hidup kita atau di dalam hati kita kalau kita tidak memahami dan mentadabburinya.
Sekarang ini saya dan anda semua dah tahu kenapa al-Quran itu mulia.
Pertama sebab al-Quran itu berada di lembaran-lembaran yang dimuliakan.
Kedua, al-Quran berasal dari Lauh Mahfuz dan sebuah kitab yang suci.
Tidak cukup hanya dengan dua sebab ini.
Allah beritahu lagi sebab yang ketiga iaitu,
Al-Quran Dibawa Oleh Malaikat
بِأَيْدِى سَفَرَةٍ
Di tangan para Malaikat,
[Surah ‘Abasa 80: 15]
Al-Quran ini di bawa oleh malaikat.
Siapa malaikat?
Makhluk Allah yang suci dan tidak pernah ingkar dengan perintah Allah.
Apa lagi sifat Malaikat yang membawa al-Quran? (Sebab keempat);
Mulia & Taat
كِرَامٍۭ بَرَرَةٍ
Yang mulia yang sentiasa taat.
[Surah ‘Abasa 80: 16]
Perkataan (كِرَامٍۭ) bermaksud mulia dalam bentuk jamak atau ramai.
Kalau dalam bentuk mufrad atau tunggal disebut (كَرِيمٌ).
Apa maksud (كَرِيمٌ)?
Biasanya kita akan terjemah mulia.
Contoh Ramadan Karim bermaksud Ramadan yang mulia.
Al-Quranul Karim bermaksud Al-Quran yang mulia.
Jadi dalam ayat ini, Allah sebut sifat Malaikat adalah yang mulia.
Apa pula makna mulia?
Mulia adalah pemurah.
Kenapa?
Okey, bila kita akan panggil seseorang itu pemurah?
Apabila dia memberikan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan ataupun sebarang kepentingan.
Contoh Allah Yang Maha Mulia.
Allah bagi nikmat pada semua manusia, tapi Allah harapkan balasan atau tidak daripada kita?
Tidak.
Malaikat yang bertugas mencatat amalan dan yang menjaga kita, malaikat dapat gaji atau tidak?
Tidak, itulah maksud (كَرِيمٌ).
Berbeza dengan kita manusia.
Bila kita bagi sesuatu pada orang, kita harapkan sesuatu atau tidak?
Harap sangat.
Paling kurang pun, kita harap orang itu ucapkan terima kasih pada kita.
Maka kita belum jadi orang yang (كَرِيمٌ) – mulia.
- Jemput baca: Kekuatan Kita Adalah Al-Quran
Kesimpulan
Okey sekarang, jom kita rumuskan apa yang sedang kita bincangkan.
Kenapa al-Quran itu mulia?
Pertama sebab al-Quran itu berada di lembaran-lembaran yang dimuliakan.
Kedua, al-Quran berasal di Lauh Mahfuz dan sebuah kitab yang suci.
Ketiga dan keempat, al-Quran dibawa oleh malaikat yang mulia.
Daripada empat poin ini, apa Allah nak sampaikan kepada kita sebenarnya?
Kata Ustaz Abd Muein, Allah nak beritahu kepada kita bahawa al-Quran ini sangat-sangat mulia.
Maka rasailah kemuliaan al-Quran dengan menghayati maksudnya.
Jangan hanya letak dan simpan di tempat yang tinggi sahaja.
Sebab apa?
Sebab empat perkara yang kita sebutkan di atas.
Jadi kalau kita simpan sahaja al-Quran di tempat yang tinggi, di dalam rak yang cantik dan tidak berusik, kita tidak akan rasa kemuliaan al-Quran.
Maka Allah nak kita gambarkan kemuliaan al-Quran itu dengan perbuatan kita.
Dengan cara apa?
Muliakan dengan menghayati satu-persatu ayat al-Quran.
Fahamilah apa yang Allah perintah dan larang kita lakukan.
Barulah al-Quran itu mulia di hati kita.
Bangun, berilah peringatan!