fbpx

Kelas Tafsir Ibn Katsir – Siri 2

Kelas kedua dimulakan dengan senarai guru-guru Ibn Katsir.

Ibnu Katsir telah menghabiskan hidupnya dengan menuntut dan mempelajari ilmu daripada ramai ulama.

9 Orang Guru Ibnu Katsir Yang Memberi Sumbangan Besar Kepadanya

Namun, di sini hanya akan dinyatakan beberapa guru Ibnu Katsir yang memberi pengaruh besar dalam perkembangan ilmu Ibnu Katsir, antaranya ialah:

1. Abdullah Ibn Muhammad Ibn Husain Ibn Ghailan al-Ba’labakiy, yang merupakan gurunya dalam mempelajari ilmu al-Quran.

2. Muhammad Ibn Ja’far Ibn Far’usy.

Beliau ini ialah gurunya dalam ilmu Qiraat.

3. Dhiya’ al-Din Abdullah al-Zarbandiy al-Nahwiy, yang menjadi gurunya dalam ilmu Nahu.

4. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah.

Ibn Katsir telah menuntut ilmu melibatkan berbagai bidang daripadanya.

Malah oleh kerana kekagumannya pada Ibnu Taimiyah, beliau telah mewasiatkan agar dikebumikan bersebelahan makam gurunya ini.

5. Ibrahim Ibn Abdurrahman al-Fazzariy, iaitu gurunya dalam mendalami mazhab Syafi’iy.

6. Najm al-Din al-Asqalaniy, yang menjadi gurunya dalam mendalami hadis.

7. Yusuf Ibn Abdrurrahman al-Mizziy.

Di samping Ibnu Katsir mempelajari berbagai hal dari gurunya ini, beliau juga mengahwini anak perempuan gurunya ini.

8. Al-Hafidz al-Dzahabiy yang merupakan gurunya dalam ilmu Hadis dan ilmu Tafsir.

9. Al-Qasim Ibn Muhammad al-Barzaliy.

Ini ialah gurunya dalam ilmu Sejarah dan ramai lagi.

Setelah berguru dengan ramai ulama seperti Syeikh Burhanuddin Fazzari dan Kamaluddin Ibn Qadiy Syuhbah, Ibnu Katsir memperkukuhkan keilmuannya, kemudian beliau meminang puteri kepada gurunya al-Hafidz Abu al-Hajjaj al-Mizziy, satu tindakan yang membuka ruang yang lebih besar untuk menuntut ilmu dengannya.

Dalam bidang hadis, Ibnu Katsir mengambil banyak daripada Ibnu Taimiyah.

Beliau juga membaca Usul al-Hadis dengan al-Asfahaniy.

Di samping itu, beliau juga mengulangkaji banyak ilmu daripada berbagai-bagai ulama.

Beliau menghafal banyak matan, mengenali sanad, kecacatan hadis (i’lal), biografi tokoh dan sejarah di usia muda.

8 Kitab Karangan Ibnu Katsir

Antara kitab-kitabnya yang beliau hasilkan, sebahagiannya siap dengan sempurna dan sebahagiannya tidak sempat disempurnakan kerana kematiannya:

1. Kitab tafsirnya: Tafsir al-Quran al-‘Adzim.

Inilah kitab yang saya dan 9 orang sahabat yang lain sedang talaqqi bersama Ustaz Hazizi Ab Rahman.

2. Kitab Jami’ al-Masanid al-Asyarah iaitu kitab yang menghimpunkan kitab hadis yang enam (Kutub Sittah) dan Musnad Ahmad, Musnad Abi Ya’la, Musnad al-Bazzar, al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani.

Kitab ini merupakan antara kitab terakhir yang ditulis oleh beliau sebelum wafat.

Kitab ini juga merupakan antara karya terbaik beliau, namun beliau tidak sempat menyempurnakannya kerana kewafatannya.

Kitab ini hampir siap ditahkik oleh Dr. ‘Abd al-Mu’ti Qal’ajiy mengandungi 37 jilid.

3. Kitab sejarahnya: al-Bidayah wa al-Nihayah.

4. Kitab Ulum al-Hadis yang diringkaskan dari karya Ibnu Salah.

5. Kitab Sirah Nabi iaitu bertajuk al-Fusul fi Ikhtisar Sirah al-Rasul (Kitab Sirah Nabi secara ringkas).

6. Kitab ringkasan Tahzib al-Kamal dan dinamakan sebagai al-Takmil.

7. Kitab Tabaqat al-Syafi’iyyah.

8. Kitab Syarah Sahih al-Bukhari.

Mengenali Tafsir Ibnu Katsir

Tafsir ini ditulis oleh Ibnu Katsir dengan judul Tafsir al-Quran al-Adzim.

Tafsir ini merupakan antara tafsir yang paling terkenal dengan gaya pendekatan al-Tafsir bil Ma’thur.

Tafsir ini dianggap sebagai menduduki tempat yang kedua selepas Tafsir Ibnu Jarir al-Thabariy dalam metodologi yang sama iaitu al-Tafsir bil Ma’thur ini.

Pengarang tafsir ini menggunakan periwayatan daripada sumber-sumber ambilan daripada para mufassirin kalangan salafussoleh.

Ibnu Katsir mentafsirkan ayat Allah menggunakan hadis-hadis dan athar-athar yang dirujuk kepada perawinya di samping menilai riwayat-riwayat itu dengan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil.

10 Sumber Rujukan Imam Ibnu Katsir Dalam Bidang Tafsir

1. Tafsir Ibnu Jarir al-Thabariy.

Ibnu Katsir mengambil banyak faedah dari tafsir ini seperti perkataan ma’thur dari hadis-hadis atau perkataan sahabat begitu juga para tabiin.

Ibnu Katsir mengambil pedoman daripada Tafsir Ibnu Jarir seperti hal-hal berkaitan bahasa, syair Arab sebagai pembuktian di samping istinbat hukum fiqh.

2. Tafsir Ibn Hatim.

Ibnu Katsir mengambil daripadanya tentang perkataan-perkataan ma’thur.

3. Tafsir Abi Bakar Ibn al-Munzir.

4. Tafsir Abdullah Ibn Hamid.

5. Tafsir Abi Bakar Ibn Mardawaih.

Ibnu Katsir telah menjadikan kelima tafsir ini sebagai rujukan teras berkaitan pendapat-pendapat yang ma’thur dalam tafsir.

Beliau telah pun mencatat pandangan para mufassirin di kalangan sahabat, tabiin, dan tabi’ tabiin dengan berpandu kepada kitab-kitab tafsir ini, iaitu dengan cara membawakan pandangan-pandangan tersebut secara bersanad.

6. Tafsir al-Kasysyaf oleh Abi al-Qasim Mahmud Ibn Umar al-Zamakhsyari, Ibnu Katsir mengambil sebahagian analisis balaghah dan panduan bahasa Arab.

Ibnu Katsir menyifatkan al-Zamakhsyari sebagai al-‘Allamah iaitu seorang yang sangat berilmu.

7. Al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tasir al-Quran oleh Abu Ishaq Ahmad Ibn Ibrahim al-Tsa’labiy.

Ibnu Katsir mengambil daripadanya sebahagian perkataan ma’thur dan sebahagian kisah-kisah.

8. Tafsir al-Kabir oleh Fakhr al-Din al-Raziy.

Ibnu Katsir mengambil daripadanya sebahagian penjelasan secara ‘aqliyyah.

9. Al-Muharrar al-Wajiz oleh Abu Muhammad Abd al-Haq Ibn ‘Athiyyah al-Andalusiy.

Ibnu Katsir mengambil sebahagian daripada pendapat yang terpilih pada pandangan Ibn ‘Athiyyah.

10. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh Abu Abdillah al-Qurthubiy.

Ibnu Katsir mengambil daripadanya banyak pendapat-pendapat berkenaan fiqh dan cara al-Qurthubiy berhujah dengan dalil al-Quran dalam penafsirannya.

10 Sumber Rujukan Ibnu Katsir Dalam Bab Hadis

1. Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal.

2. Sahih al-Bukhari.

3. Sahih Muslim.

4. Sunan Abi Dawud.

5. Sunan al-Tirmidziy.

6. Sunan al-Nasa’iy.

7. Sunan Ibn Majah.

8. Sunan al-Baihaqiy.

9. Muwattha’ Imam Malik.

10. Mustadrak al-Hakim.

    Ibnu Katsir memulai dengan mengutip hadis-hadis dan menyebutkan sanadnya, dan menyebutkan kebanyakan daripada sanad-sanad dan jalan periwayatan satu per satu.

    Ibnu Katsir menyebutkan sanad hadis satu persatu dalam kitab-kitab hadis dan mengatakan:

    Telah berkata si fulan …

    Sumber Rujukan Ibnu Katsir Dalam Sirah Dan Sejarah

    1. Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibnu Ishaq yang dinasabkan kepada muridnya Ibnu Hisyam.

    2. Al-Maghaziy al-Waqidiy.

    3. Dalail al-Nubuwwah oleh Abu Nu’aim.

    4. Tarikh al-Umam wa al-Muluk oleh Ibnu Jarir al-Thabariy.

    Sumber Rujukan Ibnu Katsir Dalam Fada’il Atau Kelebihan Beramal

    1. Fadha’il al-Quran oleh al-Faryabiy.

    2. Fadha’il al-Quran oleh Abu ‘Ubaid al-Qasim Ibn Salam.

    3. Fadha’il al-Quran oleh Ibn al-Dharris.

    4. Fadha’il al-Quran oleh al-Nasa’iy.

    5. Musnad Abi Ya’la al-Maushiliy.

    6. Al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqiy.

    7. Musannaf Abd al-Razzaq.

    8. Musannaf Ibn Abi Syaibah.

    Selain itu jelas bahawa Ibn Katsir juga menitikberatkan perkara-perkara berkaitan keindahan bahasa al-Quran, dan beliau telah merujuk tentang keindahan bahasa Arab dan penerangannya, nahu dan lughah al-Ayat menerusi kitab-kitab di bawah:

    1. Tafsir al-Thabariy.

    2. Tafsir al-Zamakhsyariy.

    3. Tafsir Fakr al-Raziy.

    4. Tafsir Ma’aniy al-Quran oleh al-Farra’.

    5. Ma’aniy al-Quran oleh al-Zajjaj.

    6. Ma’aniy al-Quran oleh al-Akhffasy al-Awsath.

    7. Majaz al-Quran oleh Abu Ubaidah Ma’mar Ibn al-Matsaniy.

    8. Ta’wil Musykil al-Quran oleh Ibn Qutaibah.

    Hasil daripada kajian dan susunan yang sistematik bertunjangkan kepada rujukan-rujukan ini, Tafsir al-Quran al-‘Adzim ini telah mendapat tempat di hati kaum Muslimin.

    Pujian Ulama Terhadap Ibnu Katsir

    Memadailah sebagai bukti bahawa kita dapat menyaksikan kitab ini dicetak, diedarkan dan dijadikan rujukan di pelbagai institusi sama ada sekolah, Maahad Agama, pondok, masjid malah di fakulti-fakulti Pengajian Islam di pelbagai peringkat dari zaman dahulu hingga sekarang.

    Moga Allah subahanhu wa ta’ala merahmati ahli tafsir yang hebat ini dan mengurniakan baginya kedudukan yang mulia di akhirat.

    Mengenai pujian para ulama terhadap tafsir ini, antara lain ialah kenyataan Syeikh Ahmad Syakir ketika memberikan persaksiannya terhadap Tafsir Ibnu Katsir ini, bahawa beliau berkata:

    Sesungguhnya Tafsir Ibnu Katsir adalah merupakan antara kitab tafsir yang paling indah pernah kami baca, paling kemas dan paling teliti selepas tafsir yang dihasilkan oleh imam sekalian ahli tafsir al-Quran iaitu Abu Ja’far al-Thabariy.

    Demikian pula apa yang ditulis oleh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam ringkasannya terhadap Tafsir Ibnu Katsir.

    Beliau berkata:

    Tafsir Ibnu Katsir ini menghimpunkan antara seni dirayah dan riwayah, al-Manqul dan al-Ma’qul.

    Ia telah memberikan manfaat yang banyak kepada umat Islam sehingga beroleh sambutan yang amat hebat.

    Tidak banyak kitab tafsir yang mendapat sambutan sebegini hebat.

    Dr. Muhammad Husein al-Zahabiy pula berkata:

    Aku telah membaca Tafsir Ibn Katsir ini dan mendapati bahawa keistimewaannya terletak pada cara beliau mengemukakan ayat, kemudian beliau mentafsirkannya dengan cara yang mudah dan ringkas.

    Jika dapat, beliau akan menjelaskan ayat itu dengan ayat yang lain yang dikemukakannya dan beliau akan membuat perbandingan antara dua ayat itu hingga jelas makna dan terang maksudnya.

    Ibnu Katsir amat menitikberatkan gaya atau metodologi tafsiran ini yang mereka namakan sebagai tafsir al-Quran dengan al-Quran.

    Inilah kitab tafsir yang paling banyak mendatangkan ayat-ayat yang bersesuaian bagi menerangkan sesuatu makna ayat.

    Akan datang

    • 5 Manhaj Ibnu Katsir Dalam Tafsir al-Quran Al-Adzim

    Leave a Comment