fbpx

Kekuatan Kita Adalah Al-Quran

Al-Quran sumber kekuatan.

Saya selalu pesan pada anak-anak nak tengok cerita boleh, tengoklah Ejen Ali, Boboboy, Iron Man, Ultraman, Spider Man, Frozen, Pony dan sebagainya, tapi semua hero-hero ini tidak wujud di dunia kita.

“Habis itu, dia wujud kat dunia mana?” Tanya Sofiyyah.

“Tak wujud kat mana-mana dunia. Ini hanyalah, kartun, lakonan dan khayalan.”

Alhamdulillah, mereka dapat menerima mesej saya.

Setiap kali tengok kartun, mesti mereka akan tanya dulu, “Hero ini tak wujud kat dunia kita kan papa?”

“Ye, tak wujud. Pandai! Tapi, apa yang hero-hero itu buat kita boleh ikut.”

“Buat apa papa?”’

“Selamatkan dunia.”

“Nak selamatkan dunia macam mana?”

“Selamatkan dunia dengan cara yang Nabi Muhammad ajar kepada kita melalui al-Quran. Sebab itulah kita kena belajar al-Quran betul-betul, boleh?”

“Boleh papa.”

Setiap super hero tadi, sudah pasti ada kekuatan dan kuasa yang mereka ada untuk menyelamatkan dunia.

Dalam konteks kita umat Islam, sumber kekuatan kita adalah al-Quran.

Lihat bagaimana Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam menjadi lemah apabila sudah lama wahyu tidak diturunkan.

Kata Ustaz Abd Muein, wahyu tidak turun atau wahyu terputus ini berlaku sebanyak dua kali dan ada disebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari.

Pertama, wahyu terputus selepas turun ayat iqra’.

Ada riwayat yang kata tiga tahun, dua tahun, dua tahun setengah, empat puluh hari, 15 hari dan ada yang kata 12 hari.

Ulama berbeza-beza pendapat.

Lepas itu, barulah turun ayat “Ya ayyuhal muzzammil” ataupun “Ya ayyuhal muddathir”.

Ini wahyu terputus kali pertama.

Setelah turun beberapa surah lagi (ada yang kata 8 surah, ada yang kata 10 surah) terputus lagi wahyu kali yang kedua.

Berapa hari?

Ada riwayat yang kata 3 hari, 2 hari, lepas itu turunlah Surah adh-Dhuha.

Bila terputus wahyu, Nabi merasa sangat-sangat sedih sehingga ulama mengatakan kalau orang yang diajak beriman, tidak mahu beriman Nabi sedih, kalau tidak mendapat wahyu, lagilah bertambah-tambah kesedihan Nabi.

Nabi sangat sedih bahkan disebut dalam hadis, sehingga Nabi tidak boleh bangun malam – dua ataupun tiga malam.

Ada pendapat lain yang mengatakan sehingga Nabi jatuh sakit.

Kenapa?

Sebab kata ulama, turunnya wahyu dan berjumpa dengan Malaikat Jibril adalah satu nikmat dan satu anugerah yang sangat besar kepada Nabi.

Yelah, Nabi sedang menghadapi tentangan orang Musyrikin – dihina, dimaki, diseksa dan ada sahabat yang dibunuh.

Semua ini menyebabkan Nabi merasa lemah semangat, jadi Nabi perlukan kekuatan dan kekuatan Nabi ialah wahyu.

Ketika Nabi mendapat wahyu, membaca atau mendengar al-Quran, Nabi rasa kuat dan dekat sahaja dengan Allah subhanahu wa ta’ala.

Seperti duduk di dalam syurga.

Jemput baca:

Sakitnya Putus Cinta

hakimdarno - kekuatan kita adalah al-Quran 1

Contohnya seperti orang yang sedang bercinta.

Setiap hari, kita akan telefon ataupun menghantar mesej kepada orang yang kita cintai.

Tengah buat apa, dah makan ke belum, hari ini pergi mana dan sebagainya.

Begitulah berbulan-bulan lamanya.

Tengah syok bercinta itu, tiba-tiba satu hari orang yang kita cintai itu tidak angkat telefon dan juga membalas mesej kita.

Bagaimana perasaan kita ketika itu?

Hari pertama, tidak respon.

Hari kedua, hari ketiga dan seterusnya, tetap tidak respon.

Tidak boleh bayangkan betapa resahnya hati kita ketika itu umpama pepatah melayu yang popular mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena.

Itu baru bercinta dengan manusia.

Nabi ini bercinta dengan rabbul ‘alamin – pencipta Nabi, pengurus Nabi, pemberi rezeki kepada Nabi dan pencipta segala-galanya.

Apa kesannya?

Kesannya Nabi sakit, Nabi rasa tertekan dan pada masa inilah orang Musyrikin mengambil peluang.

Sebab apa?

Sebab nampak perubahan dari segi wajah dan fizikal Nabi.

Nak tahu atau tidak apa yang dia kata pada Nabi?

Dia kata,

“Tuhan Engkau dah tak suka pada engkau!”

“Tuhan engkau benci pada engkau!”

“Habis syaitan engkau dah tinggalkan engkau.”

Dia anggap Tuhan itu macam syaitan, lagilah Nabi sedih.

Pengajaran Untuk Kita

Apakah pengajaran besar yang kita boleh keluarkan daripada kisah wahyu terputus ini?

Pengajaran pertama – kalau Nabi pun baru dua, tiga hari wahyu terputus, Nabi sedih sehingga sakit, sehingga berubah kehidupannya.

Maka berapa ramai di antara kita yang telah terputus hubungan dengan al-Quran?

Mungkin ada yang setahun, lima tahun, malah berpuluh-puluh tahun.

Betapa jauhnya hubungan kita dengan Allah subhanahu wa ta’ala.

Seminggu tidak baca al-Quran pun kita rasa gembira saja.

Sebenarnya kita sudah ditipu dengan kehidupan dunia, kalau bahasa sekarang (kena scam).

Bagaimana kita sebagai hamba Allah yang mengaku beriman, tidak merasa apa-apa bila sudah lama tidak membaca al-Quran?

hakimdarno - kekuatan kita adalah al-Quran 2

Maksudnya hati kita ada masalah, hati kita sudah mati.

Hati kita dah mati umpama orang yang sakit.

Orang sakit makan tidak rasa apa-apa.

Maka, contohilah Nabi yang sentiasa bersama al-Quran.

Pengajaran kedua, lihat bagaimana respon orang kafir apabila melihat Nabi terputus wahyu?

Mereka rasa seronok dan mengejek-ngejek Nabi.

Kenapa?

Sebab dia tahu kekuatan Nabi untuk membawa agama, untuk berdepan dengan serangan orang Musyrikin dan untuk terus menyebarkan dakwah adalah al-Quran.

Bila al-Quran terputus daripada Nabi, itu tanda kelemahan Nabi.

Mereka sentiasa berharap semoga Nabi tidak boleh menyamapaikan dakwah lagi dan semoga pegangan ataupun ajaran mereka (orang kafir) akan terus berpasak di atas muka bumi.

Lihat fahaman orang kafir, orang kafir tidak takut Nabi membina ekonomi, Nabi buat apa saja, tetapi orang kafir cukup takut bila Nabi ada wahyu.

Allah sebut di dalam Surah Fussilat,

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

[Surah Fussilat 41: 26]

Dengar maksudnya, dengar sehingga faham dan ikut.

Kenapa orang kafir tidak mahu manusia mendengar al-Quran?

Sebab mereka cukup faham bahawa semua manusia yang berubah seperti Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman berubah kerana al-Quran.

Bila mereka dengar, mereka akan faham.

Bila faham, mereka akan berubah.

Bukan setakat diri mereka sahaja yang berubah tapi mereka mengubah orang lain pula.

Maka Islam akan merebak dan itu akan mengancam kedudukan orang kafir.

Maka strategi orang kafir yang paling utama bukan dengan menghantar wabak COVID-19, tetapi strategi mereka ialah memastikan orang Islam jauh daripada al-Quran, memastikan orang Islam kalau baca pun tidak faham apa-apa, kalau hafal pun tidak menghayati dan tidak mengubah apa-apa pun.

Dan rasanya setakat ini usaha mereka berjaya.

Mereka berjaya menjadikan orang Islam jauh daripada isi kandungan al-Quran, mereka berjaya menjadikan akhlak orang Islam bukan akhlak Al-Quran.

Mulut baca al-Quran tetapi akhlak import daripada barat.

Sebab itulah akhir ayat ini Allah kata,

لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dengan cara umat Islam jauh daripada ajaran al-Quran, barulah mereka beroleh kemenangan dan menguasai dunia.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment