Kehidupan & kematian satu pengajaran bagi kita yang mahu berfikir.
Hampir setiap hari kita membaca dan mendengar berita kematian:
“Suami isteri maut motosikal berkuasa tinggi rempuh MPV”.
“Maut dalam perjalanan ke sekolah”.
“Ajal pulang dari sekolah”.
“Pegawai farmasi maut kereta dipandu terbabas”.
“Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori”.
“Pekerja kedai makan maut motosikal rempuh kereta”.
Sikap Orang Beriman
Dan antara sikap kita orang yang beriman ialah kita kena sentiasa berfikir menjangkaui dunia.
Selepas mati macam mana keadaan kita?
Lepas kita mati, kita akan dimandikan, dikafankan, disolatkan, dikebumikan, ditinggalkan dan pada masa itu kita keseorangan dalam kubur yang sempit dan gelap.
Apakah nasib kita ketika itu?
Kalau kita dipukul oleh Mungkar dan Nangkir, kita menjerit sekuat mana pun tidak ada siapa pun yang akan mendengar.
Ayah kita ke, isteri kita ke, anak kita ke, tidak ada siapa pun yang peduli.
Pada masa itu, siapa yang akan menyelamatkan kita?
Sudah pasti iman dan amal kita.
Kata Ustaz Abd Muein, sebab itulah pentingnya kita muhasabah diri bukan seminggu sekali, bukan dua minggu sekali, tetapi setiap hari dan setiap waktu.
Siapakah Orang Yang Cerdik?
Nabi sebut dalam satu hadis maksudnya,
“Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” Berkata Abu ‘Isa: “Hadis ini hassan.”
[Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no 2459]
Orang yang cerdik bukanlah orang bandar ataupun orang kampung.
Orang yang cerdik bukanlah pelajar, murid ataupun guru dan pensyarah.
Orang yang cerdik bukanlah orang berjawatan tinggi ataupun tidak ada jawatan.
Tetapi orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa menghisab dan muhasabah dirinya tidak kira siapa pun dia.
Ya Allah … aku ini banyak dosa, amalan sikit, macam mana kalau aku mati sekarang?
Kalau kita nak buat sesuatu perkara, kita fikir ini dosa ke pahala?
Allah suka ke, Allah murka?
Kalau Allah suka, aku boleh teruskan.
Kalau Allah murka, aku kena tinggalkan.
Inilah orang yang cerdik.
Kedua, orang yang cerdik ialah apa sahaja yang kita buat, semuanya untuk selepas mati.
Kalau kita tidur, tidur kita untuk selepas mati.
Macam mana nak tidur untuk selepas mati?
Kita tidur mengikut sunnah Nabi – baca zikir, doa dan niat bangun malam, sebab apa?
Sebab itulah bekalan kita selepas mati.
Kalau kita makan, makan kita pun untuk selepas mati, bukan untuk esok hari.
Macam mana caranya?
Baca bismillah, jangan membazir, jangan buat dosa ketika makan, jangan mengeji makanan, bila makanan jatuh kita kutip dan selepas makan kita bersyukur
Selepas bersyukur kita mentaati perintah Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebab apa?
Sebab selepas ini mungkin kita akan mati.
Dan kalau kita beramal untuk selepas mati, sudah pasti amalan yang kita lakukan itu amalan yang paling ikhlas dan yang paling menepati sunnah Nabi.
Sebab apa?
Sebab nak jumpa Allah bukan hanya amalan sekadar amalan, tetapi amalan yang diterima oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Kesimpulan Tentang Kehidupan & Kematian
Kata Umar Ibn al-Khattab,
“Hisablah atau hitunglah diri kamu tentang amalan kamu, tentang dosa kamu sebelum kamu akan dihisab di akhirat besok”.
Jadi kita semua akan dihisab oleh Allah di akhirat.
Apa sahaja yang kita cakap, apa sahaja yang kita buat, semua akan dihisap dan akan diberi balasan.
Tidak ada yang akan terlepas.
Bahkan Allah berkata dalam Surah az-Zalah – maka barang siapa yang melakukan apa sahaja kebaikan walaupun sebesar zarah iaitu sebesar debu yang paling halus, akan dihisab oleh Allah.
Apatah lagi amalan itu besar.
Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang melakukan amalan kejahatan walaupun sebesar zarah iaitu sebesar debu yang halus, tidak ada siapa yang tahu tapi Allah tahu dan Allah akan hisab.
Apatah lagi jika kejahatan itu besar.
Bangun, berilah peringatan!