fbpx

50 Kata-kata Hikmah Yang Menyuntik Semangat Kita Melakukan Tadabbur

Dalam artikel kali ini, saya kumpulkan kata-kata hikmah yang telah berjaya menyuntik semangat saya melakukan proses Tadabbur al-Quran, yang saya jumpa di dalam kuliah, seminar, buku ataupun di internet.

Mudah-mudahan dapat menyuntik semangat anda juga!

Isi Kandungan

    Kata-kata HikmahTadabbur

    1. Tadabbur merupakan tanda komitmen kita terhadap al-Quran iaitu kalam Allah Yang Agung.

    Komitmen dari segi mengetahui kebenaran yang datang daripada Allah, mengamalkan kebenaran tersebut, mengajar kebenaran itu kepada keluarga dan masyarakat setempat dan sabar dalam menegakkan kebenaran di dalam realiti kehidupan.

    2. Tadabbur menghimpunkan pemikiran dan kefahaman kerana tuntutannya yang memerlukan seseorang mencari mesej di belakang atau di sebalik ayat sehingga ke hujungnya.

    Ketika dia mendapat kefahaman sesuatu ayat al-Quran, dia perlu pula mengikuti petunjuk tersebut sama ada dalam hal suruhan atau larangan.

    3. Ustaz Syaari Ab Rahman: Tadabbur ialah memerhatikan dengan teliti kesudahan sesuatu perkara dan meneliti mengenainya, mengulang pandang kepadanya sehingga diketahui apa yang di belakang, selain apa yang nampak di hadapan.

    4. Tadabbur adalah usaha bersungguh-sungguh untuk memahami setiap ayat al-Quran yang dibaca, diiringi dengan kehadiran hati, ketundukan anggota tubuh dan keazaman untuk mengamalkan seluruh isi kandungannya.

    5. Tadabbur al-Quran adalah senjata setiap orang yang beriman supaya terselamat daripada mengalami kerugian hidup di dunia.

    Supaya orang beriman mampu mencapai kesempurnaan hidup sama ada zahir dan batin.

    6. Tadabbur ini memerlukan kepada akal yang tajam.

    Untuk memikirkan secara mendalam supaya selesai sahaja membaca sesuatu ayat atau sesuatu surah dapatlah difahami makna yang terkandung disebaliknya.

    7. Tadabbur bererti merenung, menghayati, mengkaji atau mempelajarinya al-Quran berulang-ulang kali, supaya saya dapat mengikuti apa yang ingin disampaikan ayat tersebut.

    8. Tadabbur ialah memikirkan dan memahami.

    Memikirkan dan merenungkan Kalamullah dalam rangka memahaminya serta mengetahui makna-maknanya, hikmah-hikmahnya dan maksudnya.

    9. Tadabbur itu merenungkan, menghayati dan memikirkan.

    Tadabbur al-Quran ialah menghayati dan memikirkan dengan akal dan hati kita setiap kata dari ayat-ayat al-Quran.

    10. Tadabbur dilakukan supaya dapat memerhatikan makna-makna yang terkandung serta pengajaran dan juga tuntutan yang terdapat dalam ayat-ayat tersebut.

    11. Tadabbur ialah memerhatikan ayat-ayat Allah SWT secara mendalam supaya dapat menyingkap rahsia yang terkandung di sebalik setiap lafaz-lafaz al-Quran al-Karim.

    12. Al-Maidani:  Tadabbur adalah merenung secara menyeluruh untuk sampai ke puncak maksud sesuatu perkataan atau tujuannya yang mendalam.

    13. Tujuan tadabbur adalah supaya kita memahami dan menerima mesej-mesej-Nya untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

    14. Tadabbur ialah memikirkan dan merenung ayat-ayat al-Quran untuk mendapatkan makna, hikmah atau pun maksudnya.

    15. Tadabbur juga diertikan sebagai mengamalkan isi kandungan al-Quran dan itulah buahnya.

    16. Tadabbur ialah memahami al-Quran dengan renungan mata hati dan kedalaman fikiran.

    17. Tadabbur bermaksud menghayati makna-makna ayat yang ada dalam al-Quran.

    18. Tadabbur ialah menyelami lautan makna-makna al-Quran.

    19. Tadabbur al-Quran itu adalah menyibukkan hati kita dengan memikirkan makna perkataan yang dilafazkan, maka kita akan mengetahui makna setiap ayat, mengamati setiap suruhan dan larangannya serta bersedia untuk menerima perkara tersebut.

    Sekiranya kita telah mencuaikan sesuatu perkara pada masa lalu, maka kita memohon ampun.

    Sekiranya kita membaca tentang ayat rahmat, maka kita memohon dilimpahkan rahmatnya.

    20. Ustaz Syaari Ab Rahman: Sesiapa yang melakukan tadabbur sama ada dari susunan surah, susunan ayat, mengaitkan kisah-kisahnya dan sebagainya, sudah pasti akan menyebabkan dia tercengang sehingga menyebabkan dia melakukan sujud sajdah.

    21. Orang yang membaca al-Quran dengan khusyuk akan memperolehi cinta dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta’ala.

    Bagaimana caranya?

    Tadabbur.

    22. Ustaz Syaari Ab Rahman: Jika ada satu surah yang tidak menimbulkan minat kita, maka itu bukanlah kelemahan surah itu.

    Tetapi ia datang dari kelemahan seseorang  yang menghuraikannya sama ada sumber bacaannya sedikit ataupun penyampaian yang membosankan.

    23. Jika hati kita terkunci atau dibebani pelbagai masalah dan kekangan hidup, bukalah kunci itu dengan Tadabbur.

    24. Kita semua perlukan motivasi.

    Motivasi yang terbaik sudah pasti daripada ayat-ayat Allah.

    Maka Tadabburlah ayat-ayat Allah supaya kita termotivasi.

    25. Tidakkah kamu memerhatikan kepada Tuhanmu yang Maha Mulia bagaimana ia menggalakan semua manusia agar tadabbur kalam-Nya.

    26. Tadabbur: Bagaimana kefahaman al-Quran kita 10 tahun dahulu dengan kefahaman kita hari ini?

    Adakah semakin meningkat?

    Ataukah masih sama tanpa tahu apa isi kandungan Surah Yaa siin yang telah dibaca sejak sekolah rendah lagi?

    27. Tadabbur menyebabkan kita tidak lagi hanya jadikan al-Quran sebagai bahan bacaan, tetapi sebagai petunjuk kehidupan.

    28. Bagi kita pula orang awam, mentadabbur al-Quran dengan cara menikmati hasil yang telah dikeluarkan oleh para ulama.

    Secara tidak langsung, kita telah membantu memanfaatkan hasil kerja mereka.

    29. Pemahaman al-Quran tidak dapat lari daripada merujuk kitab-kitab tafsir yang dikarang oleh para ulama.

    Ia merupakan satu kemestian. Jika belum mampu, maka rujuklah terjemahan.

    Kata-kata Hikmah – al-Quran

    1. Cara lain untuk kita faham al-Quran adalah dengan mempelajari dan memahami sirah Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dari segenap segi.

    2. Al-Quran juga mengandungi petunjuk iaitu bimbingan bagi orang yang memahami dan mengikuti al-Quran ke jalan yang membawa ke syurga serta sebab-sebab untuk mendapatkan rahmat Allah.

    3. Al-Quran merupakan anugerah yang paling agung dikurniakan kepada kita.

    Ia diturunkan kepada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam melalui Malaikat Jibril dengan bahasa yang indah, dan makna yang penuh mukjizat dan tidak akan pudar oleh waktu.

    4. Buku ini (al-Quran) memberi panduan kepada sesiapa yang mengaku bahawa al-Quran adalah kitab Allah subhanahu wa ta’ala dan ianya kitab yang terakhir yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala kepada umat manusia seluruh alam.

    5. Maksud cinta al-Quran itu ialah membaca, Tadabbur dan beramal dengannya.

    Tidak cukup sekadar melafazkan, “Saya cinta pada al-Quran.”

    6. Orang yang membaca al-Quran kerana menginginkan ilmu, Allah akan mengurniakan ilmu kepadanya.

    Orang yang membaca al-Quran kerana ingin pahala, Allah akan memberikan pahala itu kepadanya.

    Orang yang membaca al-Quran kerana ilmu dan pahala, maka Allah akan kurniakan kedua-dua kepadanya.

    7. Menurut Anas radhiyallahu anh: Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda:

    “Sesiapa yang membaca lima puluh (50) ayat dalam sehari semalam, maka dia tidak dicatat sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang membaca seratus (100) ayat, dia dicatat sebagai orang qanith (taat). Sesiapa yang membaca dua ratus (200) ayat, dia tidak akan dibantah oleh al-Quran pada Hari Kiamat dan sesiapa membaca lima ratus (500) ayat, maka dicatat baginya perbendaharaan harta berupa pahala”.

    [Hadis Riwayat Ibnus Sunni dalam ‘Amalul Yaumil Wal Lailah]

    Bacalah mengikut kemampuan masing-masing.

    Tetapkan matlamat yang realistik supaya bacaan al-Quran kita istiqamah sepanjang masa.

    8. Pembawa (penghafaz) al-Quran adalah pembawa bendera Islam, maka dia tidak boleh bermain-main bersama orang yang senang bermain, tidak lupa diri bersama orang yang lupa diri dan tidak bercanda bersama orang yang bercanda, sebagai bentuk penghormatan terhadap hak al-Quran ~ Fudhail bin ‘Iyadh.

    9. Kebanyakan umat Islam akhir zaman tidak menjadikan al-Quran sebagai kitab kajian.

    Ia hanyalah sekadar suatu tradisi, membaca al-Quran sehingga tamat.

    Itu pun setahun sekali seumur hidup khatamnya, sedangkan hukum dan peraturan yang terkandung dalamnya masih utuh tidak tersentuh.

    Kemudian membesar dan berumahtanggalah mereka dengan sekadar tahu membaca al-Quran sehingga ke anak cucu.

    ~Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    10. Orang yang mengkaji al-Quran sudah pasti akan rasa sedikit gembira, sedikit ketawa, sedikit rehat, banyak bersedih serta banyak bekerja dan beramal.

    Ketika membaca ayat-ayat syurga, dia akan bersemangat kerana sangat rindu kepadanya.

    Ketika membaca ayat-ayat neraka, tubuh dia akan bergetar kerana sangat takut kepadanya.

    Tak percaya, cubalah Ramadan ini.

    Kita kaji dari satu ayat ke satu ayat, satu surah ke satu surah sehinggalah satu al-Quran.

    Kalau kita tak sempat mengkaji, cubalah dengar daripada orang yang mengkaji al-Quran.

    Kalau urusan dunia kita kreatif, kenapa tidak untuk urusan akhirat?

    11. Tidak mengapa jika kita membaca al-Quran menggunakan aplikasi telefon bimbit tanpa wuduk.

    Kerana aplikasi al-Quran bukanlah mashaf yang sebenar sebagaimana al-Quran yang dicetak secara fizikal.

    ~ Syeikh Abdul Rahman bin Nasir al-Barrak.

    12. Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Azkar :

    Ketahuilah bahawa bacaan yang paling utama adalah ketika solat.

    Menurut mazhab Imam al-Syafie dan selainnya, bahawa lama berdiri dalam solat dengan bacaan yang panjang lebih baik daripada lama sujud dan yang lainnya.

    Membaca al-Quran selain dalam solat, yang paling utama adalah bacaan di waktu malam.

    Separuh malam terakhir lebih utama dari separuh malam pertama; sedangkan baca al-Quran di antara waktu Maghrib dan Isyak lebih disukai.

    Membaca al-Quran di siang hari, yang paling utama adalah setelah solat Subuh; tidak makruh membaca al-Quran pada waktu apa-apa pun meskipun pada waktu-waktu yang dilarang untuk mengerjakan solat.

    13. Menurut Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu anh: Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda:

    “Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah Taala, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan dinilai dengan sepuluh kebaikan sepertinya. Aku tidak mengatakan, “Alif, Lam, Mim” itu satu huruf, tetapi “Alif” itu satu huruf, “Lam” itu satu huruf, “Mim” itu satu huruf”.

    [Hadis Riwayat al-Tirmizi: Katanya hadis ini darjatnya Hasan]

    14. Mana mungkin kita ingin menjadi manusia yang terbaik kalau kita tiada komitmen dengan al-Quran dan tiada inisiatif untuk memahirkan diri kita dengan al-Quran.

    Allah meletakkan belajar al-Quran sebagai fardu ain yakni first priority kerana ia mengandungi ilmu pengurusan kehidupan, ilmu membina sikap yang betul, ilmu membentuk manusia menjadi orang yang baik.

    Apa gunanya kita mempunyai masyarakat, kakitangan dan anak-anak yang pandai ilmu teknikal seperti Bahasa Inggeris, komputer, kejuruteraan, tetapi perangai mereka suka mementingkan diri, rasuah, khianat dan sebagainya.

    Saya teringat kata-kata seorang cendekiawan: “Sekiranya kita mendidik anak-anak kita pandai dalam ilmu keduniaan tanpa ilmu al-Quran, kita mendidik mereka berpotensi menjadi pencuri yang profesional”.

    ~Dr. Mohd Shafie Md Amin.

    15. Menurut Aisyah radhiyallahu anha: Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,

    “Orang yang mahir al-Quran, lalu membacanya, maka dia akan bersama-sama utusan (penulis-penulis) yang terdiri daripada malaikat yang mulia dan patuh, manakala orang yang membaca al-Quran sedangkan dia sukar membacanya, maka baginya dua pahala”.

    [Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

    16. Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya.

    Membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.

    Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.

    Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal. Kemudian jadilah mereka belajar beramal dengannya.

    Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.

    Al-Quran di tangan-tangan orang Islam ibarat senjata ditangan orang-orang jahil.

    ~Dr. Mustafa al-Sibaie.

    17. Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Azkar:

    Terdapat beberapa pendapat tentang keutamaan membaca kuat dan perlahan.

    Para ulama berpendapat bahawa untuk memadukan dua pendapat tersebut;

    Membaca dengan perlahan boleh selamat daripada riyak, hal ini lebih utama bagi sesiapa yang takut dan bimbang terjatuh ke dalam riyak.

    Tetapi apabila dia tidak bimbang akan riyak, maka membaca dengan suara kuat lebih utama dengan syarat dia tidak mengganggu orang lain seperti orang yang solat di sekelilingnya, orang tidur dan sebagainya.

    Alasan keutamaan membaca dengan suara kuat kerana manfaatnya boleh dinikmati oleh orang lain, boleh memberi kesan kepada hati si pembaca, memfokuskan fikiran dan pendengarnya terhadap bacaan, menghilangkan rasa mengantuk dan menambah semangat.

    Selain itu, dapat menyedarkan orang lain daripada tidur dan kelalaian.

    Jika perkara ini mendorongnya, maka membaca dengan suara kuat lebih utama.

    18. Ketahuilah, seseorang yang Allah ajarkan padanya al-Quran, baik seluruhnya atau sebahagian, hendaknya menyedari dan mensyukuri nikmat itu.

    Al-Quran merupakan mujizat terbesar, kerana ia tetap kekal dengan kekalnya dakwah Islam.

    Dan juga, kerana Rasulullah merupakan penutup para nabi dan rasul.Jadi, hujah al-Quran akan terus ada sepanjang masa dan zaman, kerana al-Quran merupakan kalamullah dan kitab-Nya yang paling mulia.

    Maka, orang yang dianugerahi al-Quran hendaklah dia memandang, bahawa Allah SWT telah memberikan nikmat yang agung kepadanya.

    Hendaklah dia juga menyedari dengan perbuatannya, bahawa al-Quran akan membelanya dan bukan memberatkannya.

    ~Imam az-Zarkasyi.

    19. Daripada isyarat belajar kaedah tajwid ini, adalah menjadi suatu kemestian ia dipelajari berdasarkan kaedah pembacaan secara talaqqi dengan seorang ahli al-Quran yang mahir dalam kaedah tilawah dan tajwid.

    Satu perkara yang mustahil sekiranya berpuas hati dengan mempelajari kaedah tajwid dengan hanya berpandukan buku-buku dan rakaman kaset.

    Tetapi, adalah menjadi suatu kemestian, pertama sekali ia mendengar (mempelajari) daripada guru, selepas itu bolehlah mempelajari dengan menggunakan bantuan seperti rakaman kaset, cd komputer yang mengajar al-Quran, mendengar bacaan al-Quran al-Karim, kitab-kitab tajwid dan pelbagai kaedah pembelajaran.

    ~Dr. Raghib al-Sirjani.

    20. Tajwid al-Quran merupakan satu perkara yang sangat penting bagi mereka yang membaca al-Quran.

    Bukanlah setiap orang yang mahir dalam Bahasa Arab mampu membaca al-Quran dengan bacaan yang betul.

    Membaca al-Quran dengan bacaan yang betul mempunyai kaedah tertentu dan sangat istimewa.

    Ia tidak dapat dilaksanakan kecuali bersama dengan Kitab Allah Azzawajalla.

    ~Dr. Raghib al-Sirjani.

    21. Apabila engkau hendak mengambil pelajaran daripada al-Quran, maka berilah penumpuan penuh hatimu ketika membaca dan mendengarnya, pasanglah telingamu.

    Jadikanlah dirimu seperti orang yang diajak bicara secara langsung oleh Zat yang mengucapkannya, iaitu Allah SWT, kerana al-Quran merupakan khitab (pembicaraan) yang ditujukan Allah kepadamu melalui lisan Rasulullah SAW.

    ~Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment