fbpx

Kalau Tidak Mampu Memberi Kebaikan, Jangan Pula Memberi Keburukan

Kebaikan yang kita berikan, pasti dibalas oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Zaman saya kecik-kecik dahulu, ada tiga ekor serangga yang paling saya takut.

Pertama, lebah.

Badannya kecil comel, berwarna belang kuning dan hitam.

Kedua, tawon kuning.

Badannya besar sedikit berbanding lebah tetapi kurus, berwarna kuning.

Ketiga, tawon ndas.

Badannya lebih besar daripada tawon kuning, berwarna belang hitam dan oren.

Walaupun rupa paras mereka berbeza, tetapi mereka mempunyai satu persamaan iaitu mempunyai sengatan.

Jadi, hari ini saya nak kongsikan pengajaran yang boleh kita ambil daripada ciptaan-ciptaan Allah yang hebat ini.

Dalam kehidupan ini tuan-tuan dan puan-puan, kalau kita tidak boleh memberikan kebaikan kepada manusia, jangan kita berikan keburukan – ujar Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (MDB) dalam salah satu video yang ada di channel youtube beliau.

Saya sangat suka mendengar perkongsian beliau kerana sangat-sangat memberi motivasi dan inspirasi kepada saya.

Ujarnya lagi, jangan jadi seperti tebuan.

Kenapa?

hakimdarno - kalau tidak mampu beri kebaikan 2

Tebuan ini merupakan seekor makhluk perosak.

Dalam buku-buku biologi dan alam sekitar (ala-ala National Geographic) musuh utama kepada lebah adalah tebuan. 

Kita pun tidak tahu sangat dari segi ilmu psikologi, tebuan ini sakit hati dan sangat dengki dengan lebah.

Maklumlah tugas lebah adalah mengambil madu yang baik-baik daripada bunga, pokok dan daun untuk memberikan ubat kepada manusia.

Mungkin itulah penyebabnya.

Sudahlah mereka tidak mempunyai apa-apa untuk disumbangkan, malah mereka membunuh pula lebah yang diwahyukan oleh Allah untuk memberikan kesembuhan kepada kesihatan manusia (melalui madu yang dihasilkan).

Jadi Allah telah memberikan frekuensi kepada lebah ini untuk memilih pokok-pokok dan bunga yang  terbaik – the best among the best sama ada di atas bukit, dalam hutan ataupun belukar bagi mengeluarkan madu yang dapat menyembuhkan penyakit manusia dengan izin Allah.

Betapa besarnya peranan madu ini, bukan hanya ada di dunia sahaja, tetapi kita juga akan menemui sungai-sungai daripada susu dan madu di syurga nanti.

Memberikan isyarat bahawa pahala orang yang melakukan kebaikan itu akan disebut-sebut oleh Allah subhanallah wa ta’ala.

Jemput baca:

Jadilah Seperti Lebah Yang Memberikan Kebaikan

hakimdarno - kalau tidak mampu beri kebaikan 1

Jadi, antara pengajaran yang boleh kita ambil daripada ciptaan lebah dan tebuan ini menurut Datuk MDB ialah:

Pertama, jangan kita menjadi seekor tebuan.

Biarlah kita menjadi seekor lebah biarpun kita menyengat, kita menyengat untuk menyelamatkan diri.

Maksudnya kita jangan jadi makhluk pemusnah tanpa tujuan.

Fitrah kejadian Allah subhanahu wa ta’ala ialah apabila mereka menyengat, mereka juga akan mati.

Mereka tahu tidak ada lebah yang menyengat akan hidup selepas itu.

Mereka terpaksa menyengat untuk menjaga kesejahteraan, ekosistem ataupun menjaga keselamatan rakan-rakan dan juga permaisurinya.

Tapi itulah kejadian Allah dan mereka reda dengan fitrah mereka.

Mereka sentiasa berusaha membina koloni ataupun membina satu rangkaian bagi mengeluarkan manisan yang terbaik.

Bukan untuk mereka, tetapi untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia.

Kedua, lebah juga merupakan satu makhluk yang memiliki tindak balas yang pantas terhadap persekitaran yang baik dan tidak baik.

Dan dalam banyak-banyak kajian yang Datuk MDB baca, kebelakangan ini menunjukkan fenomena suicide ataupun pembunuhan diri secara berkumpulan.

Mereka terbang kemudian terjun ke dalam air, terlanggar pokok dan sebagainya.

Mungkin disebabkan kawasan tanaman yang menjadi punca rezeki mereka dicemari dengan baja-baja yang terlalu tinggi bahan kimianya dan racun serangga yang agak luar biasa dosnya – dos yang tinggi.

Kalau pokok-pokok sudah dicemarkan oleh racun serangga dan sebagainya tentu mereka susah nak keluarkan madu yang baik daripada perut mereka. 

Jadi, mereka menjadi satu antena dan memberi satu tanda aras kepada manusia apabila melihat makhluk yang Allah ciptakan dengan baik, tiba-tiba bertindak agak luar biasa, kita kena ambil perhatian.

Mungkin mereka memberikan isyarat kepada kita bahawa ekosistem kita sudah tidak seimbang kerana tidak menjaga fitrah dengan baik.

Begitu jugalah dengan kita, apabila kita banyak mendengar berita orang yang bunuh diri, itu mungkin satu protes kepada manusia bahawa kita sudah melanggar batas-batas yang sepatutnya dalam kehidupan kita. 

Seperti wabak covid-19 yang telah menyerang hampir seluruh dunia merupakan satu respon kepada manusia supaya memilih makanan yang bersih dan halal.

Inilah tanda-tanda kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala.

Mungkin disebabkan satu ilmu yang kecil ini, Allah menamakan satu surah khas di dalam al-Quran iaitu Surah an-Nahl yang membawa maksud lebah.

Mudah-mudahan kita dapat menyeimbangkan kehidupan kita dengan persekitaran yang baik dengan segala apa sahaja yang diwahyukan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Ambilah pengajaran walaupun daripada makhluk Allah yang kecil ini.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment