Apakah maksud jiwa penentu hidup kita?
Allah mencipta manusia di dunia untuk diuji.
Diuji untuk apa?
Untuk melihat siapakah yang paling baik amalnya.
Dan Allah tidak menciptakan kita tanpa apa-apa.
Allah cipta kita dengan satu alat yang bernama jiwa.
Jiwa inilah yang akan menentukan sama ada kita akan lakukan amalan yang terbaik ataupun amalan yang terhina.
Allah Bersumpah Dengan Jiwa
Allah bersumpah di dalam Surah asy-Syams ayat 7,
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.
[Surah asy-Syams 91: 7]
Ayat 8 pula,
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.
[Surah asy-Syams 91: 8]
Ayat ini menerangkan bahawa Allah mencipta jiwa dengan melengkapkannya dengan segala keperluan.
Maksudnya Allah bukan sekadar mencipta jiwa sahaja, tetapi Allah juga melengkapkan jiwa itu dengan mengilhamkan kepada kita kebaikan dan kejahatan.
Inilah yang dimaksudkan dengan,
وَمَا سَوَّىٰهَا
Dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.
Allah beri ilham kepada kita untuk buat baik seperti sembahyang, sedekah, baca al-Quran dan sebagainya dan pada masa yang sama, Allah juga beri ilham kepada kita untuk buat jahat seperti mencuri, hasad, mengumpat dan sebagainya.
Kata Ustaz Abd Muein, setelah Allah mencipta jiwa – nafsu, maka Allah tunjukkan kepada nafsu ini dua jalan, pertama فُجُور – kejahatan. Kedua, تَقْوَىٰ – kebaikan.
Apa maksud Allah tunjukkan?
Maksudnya ialah Allah jadikan fitrah manusia ini, dapat tahu mana yang buruk dan mana yang baik.
Sebab itu dalam satu hadis, Nabi bersabda yang maksudnya,
“Kebaikan itu ialah apa yang membawa ketenangan dalam hati.”
Maknanya bila kita buat kebaikan, jiwa kita akan tenang.
Jiwa kita akan rasa puas.
Itulah kebaikan.
Manakala dosa, bila melakukannya menyebabkan hati kita tidak tenang dan gelisah dan Nabi kata,
“Dia tak nak orang lain tahu.”
Ha, itu menunjukkan perkara itu adalah dosa.
Jemput baca:
Jadi rumusannya, maksud Allah ilhamkan yang pertama ialah Allah nak tunjukkan kepada kita bahawa memang fitrah manusia dapat tahu mana yang buruk dan mana yang baik.
Yang kedua dari segi akal, iaitu Allah bagi akal kepada manusia dan dengan akal ini, manusia boleh berfikir dan dapat membezakan antara kejahatan dan kebaikan.
Sebab itulah ahli neraka, bila masuk ke dalam neraka, mereka bukan menyalahkan Allah, bukan menyalahkan takdir, tetapi mereka menyalahkan diri sendiri,
لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصْحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Jikalau dulu kami berfikir, berakal, kami tidak akan menjadi ahli neraka.
[Surah al-Mulk 67: 10]
Jika begitu, mengapa Allah tidak ilhamkan sahaja kepada kita ketaqwaan, kan mudah begitu?
Hanya ada orang baik sahaja di muka bumi ini.
Barulah aman dunia.
Jika begitu, hidup di dunia ini tidak dinamakan ujian.
Bukankah Allah telah berfirman,
لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.
[Surah al-Mulk 67: 2]
Bila ujian, mesti ada cabarannya.
Mesti ada dua pilihan.
Satu yang buruk dan satu yang baik.
Baru dipanggil ujian.
Kalau semuanya baik, itu bukan ujian.
Contohnya kita bagi soalan ujian kepada para pelajar, semua soalan dapat dijawab dengan mudah tanpa dahi pelajar berkerut-kerut.
Maka itu bukan ujian.
Ayat ini sama dengan ayat 10 di dalam Surah al-Balad,
وَهَدَيْنَٰهُ ٱلنَّجْدَيْنِ
Dan K ami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.
[Surah al-Balad 90: 10]
Jadi, Allah ilham dan tunjuk kepada jiwa manusia keinginan untuk buat فُجُور – kejahatan dan ada keinginan untuk buat perkara yang تَقْوَىٰ – kebaikan.
Kemudian Allah kurniakan kita akal.
Dan akal inilah akan menentukan pilihan kita sama ada فُجُور – kejahatan atau تَقْوَىٰ – kebaikan.
Kalau kita berfikir berpandukan ilmu dan iman, maka kita akan dapat mengalahkan nafsu.
Dan akhirnya kita akan memilih takwa.
Peluh menitik di atas meja,
Badan penat, tidur pun lena,
Usia kita sekelip mata,
Hiduplah dengan penuh makna.