fbpx

Jangan Meremehkan Dosa

Kita semua pasti pernah melakukan dosa.

Selagi mana kita bergelar manusia biasa, selagi itulah kita tidak boleh lari daripada melakukan dosa sama ada kecil atau besar dan sengaja atau tidak sengaja.

Tetapi, jangan kita jadikan alasan ‘tidak boleh lari daripada dosa’ sebagai alasan untuk kita tidak bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana tidak siapa pun di antara kita yang mampu menduga bila Malaikat Maut akan menjemput kita.

Pesan Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid,

Janganlah kalian cuba mempermainkan agama dengan menganggap setiap perbuatan yang berdosa itu sebagai perkara remeh temeh, ataupun cuba mempersoalkan berapakah berat dosa yang kalian telah lakukan? Kecilkah? Besarkah? Sambil melakukan perlakuan dosa tersebut dengan bersahaja tanpa rasa bersalah. Nasihatku kepada setiap insan di luar sana, yang masih lagi terperangkap di dalam jerangkap dosa ciptaannya sendiri agar berusaha memandang berat setiap dosa yang dilakukannya, ingatlah, janganlah anda melihat tentang kecilnya sesuatu dosa itu, tetapi lihatlah kepada siapa dosa yang telah anda lakukan?

Daripada Ibnu Mas’ud radiyallahu anh berkata:

Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya dan pendosa pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata: dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.

[Riwayat al-Bukhari No. 6308. Ms 67. Jilid 8. Bab: Taubat]

Isi Kandungan

    Taubat Nasuha Setelah Melakukan Dosa

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَٰنِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

    Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

    [Surah at-Tahrim 66: 8]

    Allah Seru Orang-orang Yang Beriman

    hakimdarno - jangan meremehkan dosa 2

    Allah mulakan ayat ini dengan menyeru orang-orang yang beriman, (يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟) – wahai orang-orang yang beriman.

    Siapakah orang-orang yang beriman?

    Orang Umno? Pas? Bersatu? Keadilan? Amanah? Pejuang?

    Tidak mengikut parti.

    Kata Ustaz Abd Muein, orang yang beriman ialah orang yang mengikut perintah Allah subhanahu wa ta’ala.

    Jadi kalau kita taat semua perintah Allah dan tinggalkan semua larangan Allah, kita adalah orang yang beriman walaupun kita tidak ada parti.

    Tapi kalau parti kita nama Islam, tetapi kita tidak taat dan beriman kepada Allah, maka kita terkeluar daripada menjadi orang yang beriman.

    Kenapa Allah seru orang yang beriman?

    Kembalilah Kepada Allah

    Sebab Allah nak suruh orang yang beriman, (تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ) – bertaubatlah kepada Allah.

    Asal makna (تُوبُوٓا۟) ialah kembali.

    Jadi Allah kata, kembalilah kamu kepada Allah.

    Di sini kita dapat belajar bahawa antara nikmat  paling besar ialah kembali kepada Pencipta kita.

    Sebab itulah jika orang beriman diberikan peluang antara mati masuk syurga dengan kekal jumpa keluarga, orang beriman pilih apa?

    Syurga!

    Kemudian ayat seterusnya, Allah nak kita kembali macam mana?

    (تَوْبَةً نَّصُوحًا) – taubat yang betul-betul ikhlas.

    Bila Allah sebut (تَوْبَةً نَّصُوحًا), makna ada tak taubat yang tak nasuha?

    Ada.

    Contoh?

    Pukul 10 bertaubat, tapi pukul 11 buat balik dosa.

    Ini taubat yang tidak nasuha ataupun taubat yang main-main.

    Jadi hanya taubat nasuha sahaja yang Allah terima, kalau bukan taubat nasuha, Allah tidak terima.

    Selepas itu Allah sambung (عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ) – semoga dengan taubat ini, Tuhan kamu menghapuskan dosa-dosa kamu.

    Kata Ustaz Abd Muein, musibah besar umat Islam ialah dosa.

    Dan nak bersih daripada dosa kena bertaubat.

    Setelah Allah menerima taubat dan mengampunkan dosa kita, kita akan dapat apa?

    Kelebihan Orang Yang Melakukan Taubat Nasuha

    (وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّٰتٍ) – dan Dia akan memasukkan kamu ke syurga.

    Menarik huraian ustaz tentang perkatan (جَنَّٰتٍ) – syurga.

    Makna asal (جَنَّٰتٍ) ialah kebun-kebun.

    Dan bila kita sebut kebun, sama atau tidak kebun di dunia dengan kebun di syurga?

    Sudah pasti tidak sama!

    Tetapi kenapa Allah menggunakan perkataan (جَنَّٰتٍ) – kebun-kebun?

    Sebabnya ialah Allah nak sebut perkataan yang selalu dan pernah kita dengar supaya kita dapat bayangkan betapa indahnya gambaran syurga.

    Indahnya suasana kebun yang aman, tenang, banyak pokok dapat berteduh, ada pelbagai jenis buah-buahan.

    Jadi semua ini sangat menarik dan menyeronokkan.

    Kalau Allah guna perkataan yang kita tidak pernah dengar, kita tidak dapat bayangkan suasananya macam mana.

    Bila tidak dapat bayangkan, kita pun rasa malas dan tidak teruja untuk mendapatkan syurga.

    Kemudian apa lagi nikmat yang Allah berikan?

    (تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ) – yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

    Kenapa selalu kita jumpa ayat Allah sebut syurga itu mesti mengalir di bawah istana kita.

    Kenapa Allah tidak guna di depan istana?

    Sebab antara depan dengan bawah istana, mana yang mana lebih dekat dan lebih mudah?

    Mestilah yang bawah.

    Bila sungai ‘duduk’ di bawah istana kita, kita tidak perlu berjalan jauh-jauh untuk mandi.

    Keluar sahaja dari rumah kita terus terjun!

    Nak mandi berapa lama?

    Suka hati kitalah sebab ini sungai kita.

    Tidak seperti kita mandi di dunia, terhad hanya beberapa jam sahaja.

    Kemudian Allah kata lagi, (يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ) – pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia.

    Para sahabat bolehlah bersama-sama Nabi di syurga.

    Tapi bagaimana dengan kita yang tidak sezaman dengan Nabi?

    Kata ustaz, dengan kita mengikut sunnah Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

    Jadi yang ikut sunnah Nabi sahaja akan bersama Nabi di syurga nanti dan mereka tidak akan dihina oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

    Jangan Sampai Kita Dihina Oleh Allah

    hakimdarno - jangan meremehkan dosa 3

    Apa maksud Allah ‘hina’ mereka sebenarnya?

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُۥ ۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

    Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

    [Surah ali-‘Imran 3: 192]

    Cara Allah menghina manusia ialah dengan mencampakkannya ke dalam neraka.

    Seperti mana kita membakar sampah.

    Kita campak sampah di tempat yang jijik dan kotor, kemudian bakar.

    Maka sebab itu jugalah Allah mengajar kita satu doa iaitu,

    رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ

     “Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

    [Surah ali-‘Imran 3: 194]

    Kata ustaz, inilah antara doa yang paling penting dalam hidup kita.

    Tidak guna kita berjaya di dunia tapi akhirnya masuk ke dalam neraka.

    Jadi, amalkanlah doa ini.

    Okey cukup, kita sambung tadabbur ayat utama kita tadi.

    Kita Semua Perlukan Cahaya

    Kemudian Allah sambung lagi, (نُورُهُمْ) – cahaya mereka.

    Siapa mereka?

    Cahaya Nabi Muhammad dan juga orang-orang yang beriman.

    Bila waktu yang manusia sangat-sangat perlukan cahaya?

    Ketika di Padang Mahsyar dan meniti Titian Sirat.

    Kenapa?

    Sebab gelap.

    Hanya orang beriman sahaja yang ada cahaya.

    Besar mana cahaya orang yang beriman?

    Bergantung pada amalannya.

    Ada amalan yang memberikan cahaya paling kecil seperti nampak di buku lali sahaja.

    Semakin kecil amalan, semakin kecilah cahayanya.

    Sebab itulah kita jangan malas beramal, sebab semakin banyak kita beramal, semakin luas dan terang cahaya kita nanti.

    Dalam ayat ini, Allah beritahu cahaya mereka, (يَسْعَىٰ) – bersinar.

    Bersinar di mana?

    (بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَٰنِهِمْ) – di hadapan dan di sebelah kanan mereka.

    Kemudian mereka minta lagi, (يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ) – “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami.

    Kenapa mereka minta kepada Allah supaya disempurkan cahaya?

    Bila minta sempurna, makna cahaya itu tidak cukuplah.

    Sebab itu mereka minta, “Ya Allah! Cahaya yang ada ni tak cukup. Tolonglah kami”.

    Jadi kata ustaz, dua cara untuk lengkapkan atau sempurnakan cahaya kita.

    Pertama, tambahkan amal soleh.

    Kedua, bila di akhirat nanti doa dan mintalah kepada Allah.

    Tapi belum tentu kita dapat.

    Maka yang terbaik ialah kita beramal sekarang supaya cahaya kita di akhirat esok sempurna.

    Dan ada hadis kan, kita pernah sebut orang yang melalui titian sirat ada berjalan laju seperti kilat.

    Agak-agak cahaya dia macamana?

    Lagi teranglah macam spotlight sebab dia boleh jalan seperti kilat.

    Ada yang boleh berjalan laju seperti angin.

    Ada yang berjalan laju seperti kuda yang berlari kencang.

    Ada yang berjalan dengan hanya merangkak  sebab cahayanya kecil.

    Jadi yang kurang cahaya, boleh berdoa dengan doa tadi:

    رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

    “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

    Allah subhanahu wa ta’ala Maha Berkuasa untuk bagi dan tambah cahaya.

    Semuanya bergantng kepada kehendak Allah.

    Cuba kita bayangkan, rumah kita yang tidak ada elektrik sekejap pun kita risau sebab nak cari apa-apa pun tidak nampak.

    Inikan pula gelap di Padang Mahsyar.

    Orang Munafik Berusaha Dapatkan Cahaya Daripada Orang Yang Beriman

    Ketika di Padang Mahsyar, orang munafik dan orang kafir ada cahaya atau tidak?

    Tidak ada!

    Tapi Allah cerita orang munafik berusaha nak dapatkan cahaya daripada orang beriman.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    يَوْمَ تَرَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ يَسْعَىٰ نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَٰنِهِم بُشْرَىٰكُمُ ٱلْيَوْمَ جَنَّٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

    (Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): “Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar”.

    [Surah al-Hadid 57: 12]

    يَوْمَ يَقُولُ ٱلْمُنَٰفِقُونَ وَٱلْمُنَٰفِقَٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱنظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِن نُّورِكُمْ قِيلَ ٱرْجِعُوا۟ وَرَآءَكُمْ فَٱلْتَمِسُوا۟ نُورًا فَضُرِبَ بَيْنَهُم بِسُورٍ لَّهُۥ بَابٌۢ بَاطِنُهُۥ فِيهِ ٱلرَّحْمَةُ وَظَٰهِرُهُۥ مِن قِبَلِهِ ٱلْعَذَابُ

    (Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.

    [Surah al-Hadid 57: 13]

    Kenapa orang munafik mintak cahaya daripada orang beriman?

    Sebab mereka bersama dengan orang yang beriman di dunia.

    Mereka solat bersama orang-orang yang beriman, pergi berjihad, sedekah dan puasa bersama-sama.

    Jadi mereka fikir, “Takkanlah tak dapat kot? Kita kan sama-sama pergi masjid, pergi umrah satu pakej. Bagi lah sikit cahaya tu.”

    Tengok cara orang munafik berfikir.

    Beribadat sama, kampung sama, pergi umrah sama, pergi solat di masjid yang sama, tapi seorang dapat cahaya dan seorang lagi tidak dapat cahaya.

    Di mana perbezaannya?

    Hati, sama ada ikhlas ataupun tidak.

    Begitulah yang berlaku pada kisah anak-anak Nabi Adam.

    Ada dua orang anak Nabi Adam yang disebut di dalam al-Quran.

    Kalau seorang tidak korban, okeylah.

    Tapi kedua-duanya melakukan ibadah korban, tetapi seorang pergi ke syurga dan sorang lagi ke neraka.

    Amalan sama, bapa sama tapi satu ke syurga dan satu lagi ke neraka.

    Sekali lagi, apa yang membezakannya?

    Niat.

    Yang membezakan ialah seorang yang diterima korbannya dia berkata, (إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ) –Allah terima korban aku sebab Allah terima amalan orang yang bertaqwa.

    Maknanya punca Allah terima sesuatu amalan ialah takwa.

    Bukan sebab anak Nabi.

    Kamu walaupun anak Nabi tapi bila tidak ada takwa, Allah tidak terima.

    Lihat, berapa ramai di antara kita yang solat tapi tidak ada takwa.

    Contoh, lepas solat buka aurat.

    Bila kamu buka aurat, takut atau tidak pada Allah subhanahu wa ta’ala?

    Tidak, sedangkan Allah hanya terima amalan orang yang takut pada Allah sahaja.

    Jangan main-main dengan dosa.

    Masa nak solat tutup.

    Tetapi kenapa lepas solat buka?

    Itulah tanda kita tidak ada takwa.

    Bimbang-bimbang amalan kita jadi sia-sia.

    Kalau anak Nabi Adam pun Allah tidak terima, kita pula anak siapa?

    Semoga Allah subhanahu wa ta’ala menerima amalan kita.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment