Seorang pelajar ngaji merajuk dengan ustaznya.
“Eh, awak tak dengar ke saya kata ulang? Kalau saya suruh ulang, ulanglah!”
“…. ustaz ni garanglah! Tak naklah belajar dengan ustaz lagi.”
“Tak nak sudah, ramai lagi yang nak belajar dengan saya.”
“Hish, menyampah betul dengan ustaz ni!”
Ini hanya dailog rekaan saya sahaja.
Tapi memang kerap kali saya jumpa dengan pelajar-pelajar yang berhenti belajar disebabkan perangai ustaz.
Bagi saya, perangai ini tengoklah keadaan macam mana.
Kalau memang perangai guru itu jelas-jelas tak berakhlak, kurang ajar dan sebagainya memang kita kena cari guru lainlah.
Tapi kalau setakat garang sebab tegur kesalahan kita, tegur bacaan kita atau kesilapan kita, tak apalah.
Janganlah kita cepat merajuk.
Kadang-kadang saya perhatikan, kita ini sebagai orang yang nak belajar dan menuntut ilmu terlalu banyak songeh.
Nak ustaz yang baiklah, lembutlah, yang tak marah-marah, nak yang kelakarlah, tak boleh serius sepanjang masa dan macam-macam lagi.
Ada satu kisah menarik yang saya baca dalam buku Ikon Syabab karangan Dr. Umar Muhammad.
Kisah Pelajar Sulaiman bin Mahran al-‘Amasy Yang Tidak Merajuk
Di Kota Kufah pada masa tabiin dahulu, terdapat seorang ulama hadis yang sangat terkenal.
Beliau bernama Sulaiman bin Mahran al-A’masy.
Walaupun sangat alim, namun perwatakan al-A’masy cukup kasar.
Beliau tidak segan-segan memarahi muridnya dengan kasar apabila berlaku sesuatu yang tidak disukai.
Tersebut dua orang murid yang selalu mendatangi majlis al-A’masy.
Seorang ahli hadis, yang seorang lagi pelajar biasa.
Kedua-duanya selalu hadir bersama-sama untuk menimba ilmu daripada guru terkenal ini.
Suatu hari, al-A’masy memarahi murid yang ahli hadis itu.
Beliau mengucapkan kata-kata kasar kepadanya.
Melihat kejadian ini, temannya itu berkata, “Andai tuan guru memarahiku seperti ia memarahimu, nescaya aku akan tinggalkan majlisnya dan tidak akan datang kembali lagi.”
Al-A’masy berkata, “Kalau begitu ia sama jahilnya dengan dirimu. Ia meninggalkan ilmu yang bermanfaat hanya kerana keburukan akhlak gurunya.”
Pesan Dr. Umar, jalan mendapatkan ilmu tidak selalu mudah dan mulus.
Akhlak dan karakter para guru yang mengajar juga bermacam-macam.
Ada yang lembut, tidak sedikit juga yang kasar dan suka marah-marah.
Sebagai pelajar, kita mesti teguh pendirian.
Jadikan ilmu sebagai tujuan utama kita.
Jika kita memang memerlukan ilmu itu, maka perangai dan watak kasar guru tidak akan menghalangi kita untuk terus belajar daripadanya.
Jangan tinggalkan ilmu yang bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat hanya kerana perangai guru yang tidak kita sukai.
Sebagai seorang penuntut ilmu, kita mesti jadikan kesabaran sebagai bekalan.
Jika guru menegur atau memarahi, jangan cepat merajuk.
Apalagi turut marah dan membalas dengan kata-kata kasar.
Tindakan itu sama sekali bukan sikap pelajar Islam yang menjunjung adab dan akhlak mulia.
Sebaliknya berusahalah mengambil hati guru semampu mana yang terdaya.
Pujuklah ia dengan ucapan dan perbuatan kita.
Berkata Imam an-Nawawi dalam al-Tibyan:
“Jika guru memarahi kita, mulakanlah meminta maaf kepadanya. Tunjukkan bahawa kesalahan itu memang milik kita, dan kita layak dicela. Tindakan ini lebih bermanfaat bagi kita di dunia dan di akhirat, juga membuat hati guru terubati.”
Lihat guru kita dengan mata yang kita gunakan untuk melihat ibu bapa kita sendiri.
Sekasar atau segarang apa pun ayah kita, kita tetap anaknya.
Kita tidak boleh menafikan kedudukan beliau sebagai pihak yang wajib kita patuhi.
Imam Abu Yusuf pernah berkata,
“Lima jenis manusia yang mesti kita pandai memujuknya, iaitu raja yang berkuasa, hakim (Pemerintah/Pihak berkuasa), isteri, orang sakit dan guru yang kita perlukan ilmunya.”
Jemput baca: Hilangkan Bebal Dengan Istighfar
Nasihat Untuk Guru
Pesan Dr. Umar pula kepada para guru.
Para guru perlu bersikap lembut kepada murid-murid.
Mereka ialah amanat Allah di tangan kita.
Kejayaan mereka dalam pelajaran mencerminkan kejayaan kita dalam mengajarnya.
Guru yang baik tidak akan mengeluarkan kata-kata kasar walau sebesar mana kesalahan seorang murid.
Sebaliknya guru akan selalu bersabar dan berhemah dalam mendidik murid-muridnya menuju kecemerlangan.
Seorang guru ibarat seorang seniman yang sedang melukis kenangan di minda murid-muridnya.
Terpulang kepada kita, kenangan indah yang hendak ditinggalkan ataupun kenangan yang buruk.
Alhamdulillah saya mempunyai kedua-dua peluang itu iaitu ada masa saya menjadi guru dan ada masa saya menjadi murid.
Maka saya gunakan peluang ini untuk sentiasa muhasabah diri.
Ketika menjadi murid, saya perlu fokus mengambil sebanyak-banyak ilmu yang ada pada guru.
Abaikan segala kelemahan dan kekurangan guru kita.
Ketika menjadi guru pula saya perlu bersabar dengan kerenah murid-murid supaya mereka terus minat untuk belajar.
Bangun, berilah peringatan!