Apa maksud jangan buat main dengan nahi mungkar?
Maksudnya kita kena ambil serius dan jangan pandang remeh.
Dalam kisah Nabi Musa alaihissalam bertemu dengan Allah, kaumnya telah menyembah anak lembu.
Kemudian bila Nabi Musa pulang dan tegur kaumnya, barulah kaumnya tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa syirik.
Jadi Allah menawarkan kepada mereka, kalau nak bertaubat, kena bunuh sesama mereka.
Dan kita kena tahu bahawa, yang menyembah anak lembu ini bukannya semua orang, tapi sebahagian sahaja.
Dalam Kitab Ibnu Kathir menyebutkan,
Abdurrahman bin Zaid bin Aslam menceritakan, ketika Musa kembali kepada kaumnya, di antara mereka ada tujuh puluh orang lelaki yang beruzlah (mengasingkan diri) bersama Harun dan tidak menyembah anak lembu …
Timbul persoalan, mengapa Allah memerintahkan semua orang kena bertaubat?
Tak adil lah.
Sepatutnya yang kena bunuh itu hanya orang yang menyembah anak lembu sahaja, tetapi kenapa yang tak sembah pun kena?
Di sinilah perbincangan utama kita iaitu apabila orang yang tak menyembah tadi, mereka tidak berusaha untuk menghalang kawan-kawan mereka daripada menyembah berhala.
Boleh rujuk ayat 51-54 Surah al-Baqarah dan Tafsir Ibnu Kathir tentang ayat ini.
Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada perkara ini?
Pengajaran 1:
Apabila berlaku kemungkaran dalam sesebuah masyarakat, yang akan menanggung akibatnya bukan individu sahaja, tetapi mereka yang berdiam diri dan tidak berusaha menghalang kemungkaran pun akan kena sekali.
Institusi masyarakat akan runtuh.
1. Jika sesuatu kemungkaran tidak ditegur, lama-kelamaan ia akan dianggap biasa dan menjadi budaya.
2. Apabila kemungkaran terus berlaku tanpa ada usaha untuk mencegahnya, orang ramai akan hilang kepercayaan kepada peraturan, undang-undang atau agama yang sepatutnya melindungi mereka.
Ini boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.
3. Kemungkaran yang tidak dicegah boleh mempengaruhi generasi muda dan menjadikan mereka kurang peka terhadap nilai-nilai agama dan akhlak yang baik.
4. Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran boleh menyebabkan jurang sosial, di mana kelompok yang cuba menegakkan kebenaran merasa tersisih kerana tidak mendapat sokongan daripada masyarakat umum.
5. Dalam konteks agama, membiarkan kemungkaran tanpa usaha pencegahan boleh mengundang azab Allah yang bukan hanya menimpa pelaku, tetapi seluruh masyarakat.
Masyarakat berisiko kehilangan rahmat dan keberkatan daripada Allah.
Pengajaran 2:
Syirik adalah dosa yang sangat berat.
Penyembahan anak lembu oleh sebahagian Bani Israel menunjukkan betapa mudah manusia tergelincir melakukan syirik jika iman tidak dipelihara.
Jadi penting untuk memastikan akidah kita sentiasa dijaga agar tidak terjerumus dalam perbuatan syirik.
Pengajaran 3:
Kepentingan pemimpin yang tegas.
Kepulangan Nabi Musa alaihissalam yang segera menegur kaumnya menunjukkan bahawa, pemimpin mesti tegas dalam menegakkan kebenaran dan membetulkan kesalahan.
Tidak kira sama ada pemimpin dalam keluarga, organisasi atau masyarakat, perlu berani menegur kemungkaran dan tidak membiarkan kesalahan terus berlaku.
Pengajaran 4:
Taubat memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi.
Sebab itu Allah mensyaratkan kepada Bani Israel satu tindakan drastik iaitu bunuh bagi menebus dosa syirik yang telah mereka lakukan sebagai tanda kesungguhan dan keikhlasan mereka bertaubat.
Jadi taubat bukan hanya sekadar ucapan, tetapi perlu dibuktikan dengan kesungguhan.
Pengajaran 5:
Bahaya sikap tidak peduli.
Ramai yang tak sedar tentang perkara ini.
Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran adalah satu bentuk kesalahan yang besar.
Dalam kisah ini, mereka yang tidak menyembah anak lembu pun dipertanggungjawabkan.
Sikap “bukan urusan aku” terhadap kemungkaran atau kezaliman boleh membawa kesan buruk kepada seluruh masyarakat.
Pengajaran 6:
Kesedaran tentang hukuman Allah.
Allah tidak menghukum tanpa sebab.
Perintah bunuh-membunuh itu adalah ujian yang sangat berat, tetapi sesuai dengan dosa syirik yang telah mereka lakukan.
Kita perlu yakin bahawa setiap perintah Allah ada hikmah yang tersembunyi, walaupun kadang-kadang sukar difahami.
Pengajaran 7:
Pentingnya peranan dakwah.
Dakwah adalah tanggungjawab setiap Muslim, bukan hanya golongan tertentu.
Tindakan kecil seperti menasihati atau menegur dengan cara yang baik boleh menyelamatkan seluruh masyarakat.
Pengajaran 8:
Keperluan mendalami kitab tafsir.
Kita perlu rajin merujuk kepada tafsir dan ulama untuk memahami mesej al-Quran dengan lebih mendalam, bukan sekadar membaca terjemahan sahaja.
Kalau tidak mampu, kita boleh belajar daripada guru-guru yang pakar dalam bidang tafsir ataupun tadabbur.
Kesimpulannya:
Tanggungjawab nahi mungkar bukanlah tugas yang ringan.
Setiap individu dalam masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan tugas menyokong kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Diam terhadap kemungkaran adalah satu bentuk pengkhianatan kepada agama dan juga masyarakat.
Bangun, berilah peringatan!