Jangan bangga sangat! Pesan ayah kepada anaknya.
“Emak, ayah. Esok saya balik ke KL lepas subuh tau!”
“Eh, awalnya balik? Baliklah siang sikit.”
“Ala ayah … ada kerja sikit nak buat. Maklumlah nak kumpul duit nak kahwin.”
“Yelah … banyak lagi ke tak cukup? Boleh ayah bantu sikit-sikit.”
“Eh taklah ayah, tinggal sikit je lagi. Tak apa-tak apa. Terima kasih ayah sebab nak tolong saya.”
“Kalau perlukan bantuan, beritahulah emak ayah. Jangan segan-segan.”
“Baik ayah.”
Pesan Ayah – Jangan Bangga Sangat
“Cuma ayah nak pesan pada kamu, bila harta kamu dah banyak nanti, anak kamu pun ramai, jangan suka atau bangga sangat.”
“Ye yah … insha Allah saya ingat pesan ayah.”
“Kamu ingat ini baik baik. Kebahagiaan tidak terletak pada harta dan juga anak. Kebahagiaan itu terletak di hati. Kalau ada iman, bahagialah kita. Kalau tak ada iman sengsaralah kita. Jadi ayah nak kamu pegang ayat al-Quran ini baik baik. Jadikan sebagai prinsip hidup. Allah berkuasa menyempitkan dan meluaskan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki berdasarkan hikmah kebijaksanaan dan pengetahuan tentang hambanya masing masing.”
Allah kata dalam Surah ar-Ra’d,
ٱللَّهُ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ وَفَرِحُوا۟ بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا مَتَٰعٌ
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.
[Surah ar-Ra’d 13: 26]
“Dalam ayat ini, Allah ceritakan tentang kaum musyrikin Mekah yang telah memungkiri janji Allah sangat gembira dengan kekayaan dan kehidupan duniawi yang melimpah ruah. Dan pada akhir ayat, Allah menyatakan tentang kekeliruan mereka bahawa semua itu hanyalah kenikmatan yang sedikit dan sementara.”
Ayah teringat kata-kata guru ayah dalam kuliah tafsir, beliau memetik kata-kata Syeikh As-Sa’di,
“Hanya Allah Yang Maha Esa sahaja yang berkuasa melapangkan rezeki seseorang yang Dia kehendaki atau menyempitkan serta membatasi apa yang Dia kehendaki.”
Jemput baca di sini:
“Daripada sini kita fahamlah bahawa hidup mewah atau miskin tidak ada hubungannya dengan kadar keimanan dan kekufuran seseorang hambanya. Maksudnya boleh jadi orang itu kafir, tapi kaya. Dan boleh jadi orang itu beriman, tapi miskin. Sebab itu, nak mencapai kebahagiaan atau kebaikan di dunia syaratnya satu sahaja.”
“Apa dia ayah?”
“Usaha atau pun ikhtiar. Tetapi, untuk mencapai kebahagiaan di akhirat perlu ada dua, usaha dan iman. Iman dan usaha perlu digandingkan. Malah iman mesti didahulukan, barulah amal soleh. Biasakan kita dengar di dalam al-Quran Allah sebut Iman dahulu baru amal soleh. Amal soleh itulah usaha. Kita tak boleh ada iman sahaja tanpa amal soleh, begitu juga sebaliknya tak ada iman, tapi beramal soleh.”
“Oleh sebab itu, andai kata, orang orang kafir berusaha walaupun nampaknya baik, derma untuk mangsa Taufan Hagibis, mangsa gempa bumi dan bermacam macam lagi bantuan yang mereka berikan, kebaikan mereka tetap tidak ada nilai di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.“
“Jadi kejayaan di dunia, sangat terletak pada usaha. Orang orang kafir sangat gembira dengan hidup di dunia dan merasa tenteram hidup di atasnya tetapi mereka lalai tentang kehidupan akhirat. Ini semua menunjukkan betapa dangkalnya dan kurangnya amal mereka. Padahal kehidupan di dunia ini jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat, sangatlah sedikit dan kesenangan yang bersifat sementara.”
“Dalam ayat yang lain juga Allah ada sebut tentang harta dan anak itu hanya perhiasan dunia. Nanti balik rumah, cuba kamu buka surah al-Kahfi ayat 7 dan 46.”
“Hidup ini perhiasan sahaja. Kalau perhiasan kekal atau sementara?”
“Sementara yah.”
“Di KL itu, cuba kamu tengok bangunan KLCC, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya, semua itu adalah perhiasan. Hari Kiamat nanti, semuanya akan menjadi padang jarak padang terkukur, semuanya hancur. Contoh lagi, bila kamu dapat isteri yang cantik, rupawan dan jelitawan, jangan bangga sangat sebab itu hanyalah perhiasan. Masuk tanah nanti berulat juga.”
“Ingat, Allah tidak melihat wajah dan harta kamu, tetapi yang Allah lihat ialah hati dan amal kamu. Bab hati ini pula, jangan hati sahaja. Kita selalu kata, jangan tengok pakaian sahaja, yang penting hati. Begitu juga dengan orang yang bertudung litup, tapi suka mengumpat, hasad dengki, riyak ujub dan takabbur.”
Dua-dua kita tidak mahu. Sebab itu kata Muhammad al-Ghazali,
“Amal baik tapi iman tidak ada, sama dengan Abu Talib iaitu pakciknya Rasul. Baik tak dia dengan Rasulullah? Baik sangat, malah lebih baik daripada anak kandungnya sendiri. Tetapi tidak beriman sehingga mati. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah tetapi tidak beramal, sama seperti Iblis. Iblis percaya tak pada Allah? Percaya. Tapi bila disuruh sujud, dia enggan.”
“Jadi, dua-dua tidak selamat. Yang selamat hanya orang yang ada iman dan juga amal soleh.”
“Wah panjang pesanan ayah kali ini?”
“Haha. Maaflah ya, ini jelah yang mampu ayah wariskan pada kamu.”
“Baiklah yah. Insha Allah saya akan ingat pesan-pesan ayah itu. Terima kasih ayah!”
“Sama sama. Okey dah, kamu pergi masuk tidur. Esok kan nak gerak awal pagi.”
“Okey, selamat malam yah!”
“Selamat malam.”
Rujukan: Kuliah Ustaz Abd Muein.