Kenapa perlu jaga diri dan keluarga sekali?
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ – wahai orang orang yang beriman.
Menurut Ustaz Abd Muein, bila Allah sebut “wahai orang yang beriman,” ayat ini bukan untuk semua orang, tetapi khusus untuk kita yang mengaku beriman kepada Allah saja.
Jadi, wajib taat dengan apa yang Allah nak sampaikan kerana berkaitan dengan iman kita.
Kerana tanda atau bukti kita benar-benar mengaku beriman ialah kita mendengar apa yang Allah nak sampaikan.
Ayat ini Allah sedang panggil kita, “Wahai orang yang beriman.”
Bila baca atau dengar ayat ini pertama, kita kena beri perhatian.
Kedua, kita bersedia untuk melaksanakan perintah Allah yang akan disebutkan selepas itu.
Sebab melaksanakan perintah Allah selepas itu, adalah tanda dan bukti kita beriman.
Dan jika sebaliknya, kalau kita tidak dengar, tidak faham, ataupun kita dengar dan faham tetapi tidak laksanakan, itulah bukti dan tanda sebenarnya kita tidak beriman kepada Allah.
Kerana iman ini perlu dibuktikan.
Bukan setakat dakwaan.
Menurut ustaz lagi, kalau sekadar dakwaan sahaja, kita sama perangai dengan Orang Munafiq.
Seperti mana firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ
Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat.” Padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
[Surah al-Baqarah 2: 8]
Dalam ayat ini, Allah menempelak Orang Munafiq, ada segolongan manusia yang munafiq, mulutnya mengaku beriman, tetapi hatinya tidak beriman.
Begitu jugalah dengan kita, kalau kita baca ayat يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ – wahai orang orang yang beriman, tetapi kita tidak faham, tidak mahu dengar dan kalau dengar pun, kita tidak laksanakan, kita sama dengan Orang Munafiq tadi.
Jadi kalau kita yang sedang belajar tadabbur ini, mengaku benar-benar beriman, wajib kita perhatikan apa yang Allah nak cakap selepas ini, dan wajib kita faham dan amalkan.
Itulah bukti kita beriman kepada Allah.
Jemput baca:
Jaga Diri Dan Keluarga Sekali Adalah Perintah Allah
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
[Surah at-Tahrim 66: 6]
Bila sebut ahli keluarga termasuklah isteri, anak dan cucu.
Jadi sebenarnya, ayat ini Allah nak tuju kepada siapa?
Menurut ustaz pertama, kepada orang beriman.
Kedua, kepada ibu bapa.
Jadi Allah perintahkan kepada kita supaya jaga diri kita, tidak cukup setakat itu, kita juga wajib menjaga ahli keluarga.
Maksudnya ialah kalau kita hanya menjaga diri kita saja, kemudian kita biarkan ahli keluarga kita yang lain melakukan maksiat, sebenarnya kita belum lagi beriman kepada Allah.
Malah sebenarnya, kita belum lagi menjaga diri kita.
Ini kerana ada sebahagian ulama tafsir mengatakan ‘anfusakum’ itu termasuk keluarga.
Kenapa macam itu pula?
Yelah sebab anak-anak ini adalah daripada sulbi kita, daripada keturunan kita, oleh sebab itu, keluarga adalah sebahagian daripada kita.
Jadi, kalau kita tidak jaga keluarga, sebenarnya kita tidak jaga diri kita.
Fuh, berpeluh sekejap.
Dan bila kita tidak jaga diri kita, kita akan dicampakkan ke dalam neraka.
Nak?
Jadi, apakah pengajaran yang kita dapat daripada ayat ini?
Pertama, kewajipan kita sebagai orang beriman ialah wajib memerhatikan setiap ayat ayat al-Quran kerana ayat al-Quran ini khusus untuk orang yang beriman kepada Allah dan juga al-Quran.
Kedua, Allah nak beritahu bahawa Islam mengajar kita supaya jangan jaga diri sahaja.
Jangan pentingkan diri sendiri.
Islam mengajar kita selepas kita beriman, solat, pedulikan orang lain.
Dan orang lain yang paling penting dalam hidup kita ialah orang yang paling dekat dengan kita iaitu ahli keluarga.
Anak kamu, isteri kamu, cucu kamu.
Jadi, siapa yang solat, pergi haji, pergi kelas ngaji dan pergi masjid tapi tidak peduli pada anak isteri, kita belum selamat daripada api.
Api apa ni?
Api neraka.