Bagaimana mahu menjadi hamba Allah yang merdeka?
Jom kita terokai jawapannya di dalam al-Quran.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ
Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya;
[Surah al-Kahf 18: 1]
Dalam ayat ini, kenapa Allah kata – Dia patut dipuji? Kerana Dia telah memberikan satu nikmat kepada hambaNya iaitu al-Quran.
Dan al-Quran itu hanya layak kepada siapa? Kepada hamba-Nya.
Allah tidak sebut ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ محمد – segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada Muhammad. Maksudnya dalam ayat ini, Allah tidak menyebut al-Quran itu diturunkan kepada Muhammad.
Allah juga tidak sebut ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ الرسول – segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada rasul. Maksudnya dalam ayat ini juga, Allah tidak menyebut al-Quran itu diturunkan kepada rasul.
Tetapi yang Allah sebut ialah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ – segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya. Maksudnya yang Allah sebut dalam ayat ini ialah al-Quran itu diturunkan kepada hamba-Nya.
Persoalannya, kenapa Allah sebut hamba?
Sebab Allah nak beritahu, manusia yang paling merdeka, yang paling bebas ialah manusia yang betul-betul menjadi hamba kepada Allah. Manusia yang boleh menundukkan semua kehendak dia mengikut kehendak Allah.
Inilah manusia yang benar-benar merdeka. Maka sebab itulah Allah tidak menyebut Rasulullah ataupun Muhammad.
Nabi Muhammad menjadi mulia bukan kerana baginda seorang rasul, bukan sebab nama baginda Muhammad, tetapi baginda menjadi mulia dan sangat dicintai oleh Allah kerana baginda betul-betul menjadi hamba Allah seratus peratus.
Nabi Muhammad tidak pernah tunduk kepada nafsu – nafsu dunia, nafsu orang kafir dan nafsu apa sahaja keadaan semasa. Baginda tidak pernah tunduk walaupun terpaksa menggadaikan kerehatan, kelazatan hidup, waktu tidur dan sebagainya.
Inilah ciri-ciri hamba yang sebenar.
Bagaimana Menjadi Hamba Allah Yang Merdeka?
Kata Ustaz Abd Muein, maksud kemerdekaan yang sebenar ialah bila manusia itu betul-betul menjadi hamba kepada Allah – itulah manusia yang betul-betul bebas dan merdeka.
Mungkin ada orang yang akan tanya, “Apa yang bebasnya ustaz? Dia terpaksa ikut kehendak Allah, maksudnya ada perkara yang dia tidak boleh buat sebenarnya.”
Memang betul kita ikut kehendak Allah, tapi kita ikut untuk kebaikan kita.
Sebab itu Allah kata, kita merdeka dan bebas selama mana kita ikut Allah. Sebab apa yang Allah perintah adalah baik untuk kita, bukan untuk Allah.
Dan Allah haramkan sesuatu (tidak bagi kebebasan) kerana perkara yang haram itu akan memudaratkan kita.
Apabila kita bebas menentukan apa yang terbaik untuk diri kita, itulah kemerdekaan.
Jadi, ada orang yang faham merdeka itu ialah kita bebas untuk melakukan apa sahaja – nak minum arak, nak buka aurat, nak berzina dan sebagainya. Itu bukan merdeka, itu masih di bawah jajahan taklukan nafsu.
Siapa yang suruh dia buka aurat? Nafsu. Buka aurat, baik tak untuk dia? Tak baik. Jadi, di mana kemerdekaannya?
Sebab maksud merdeka ialah kita mampu memilih apa yang terbaik untuk kita. Bila kita tidak boleh memilih apa yang baik untuk kita, maka itu bukan merdeka.
Jadi siapa sahaja yang mengikut hawa nafsu, dia tidak merdeka.
Inilah maksud kemerdekaan yang di bawa oleh al-Quran dan kita mesti bawanya dalam kehidupan.
Jemput baca:
Merdeka Daripada Penjajah
Sebab itulah fahaman kita ataupun fahaman hampir semua manusia – merdeka ialah negara bebas daripada penjajahan. Betul, penjajah.
Kalau kita bawa dalam konteks zaman Nabi Muhammad, baginda dan penduduk Mekah kena merdekakan diri mereka daripada jajahan orang kafir.
Tetapi yang kita lihat akhirnya, bukan Nabi merdekakan negeri Mekah daripada tangan orang kafir, tetapi baginda memerdekakan dirinya dan para sahabat dengan keluar daripada negeri baginda sendiri.
Kerana erti kemerdekaan yang sebenar ialah pengabdian diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebab itulah Allah suruh berhijrah.
Sebab bila baginda berada di Mekah, baginda tidak merdeka. Baginda tidak bebas beribadat sebagai hamba Allah yang sebenar, tidak bebas untuk berdakwah, tidak bebas menyelamatkan seramai mana manusia daripada api neraka.
Bila tidak bebas berada di Mekah, maka keluarlah daripada Mekah. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ أَرۡضِي وَٰسِعَةٞ فَإِيَّيَ فَٱعۡبُدُونِ
Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku saja.
[Surah al-‘Ankabut 29: 56]
Dan dihujungnya Allah kata, فَإِيَّيَ فَٱعۡبُدُونِ – maka hanyalah kepada Aku (Allah) kamu beribadat. Atau dengan erti kata lain, bebaskan diri kamu daripada nafsu dan pengaruh luar – pastikan diri kamu bebas untuk menjadi hambaKu.
Jadi kalau kita lihat ayat ini, apa kaitan antara jadi hamba yang bebas, yang merdeka dengan bumi yang luas?
Merdeka itu maknanya ialah pastikan kamu menjadi hamba Allah. Di mana? Allah kata, bumi Aku luas, kalau tidak boleh di sini menjadi hamba Allah, pergilah keluar ke tempat lain.
Allah tidak kata, jadilah hamba Aku dan merdekakan tempat ini walaupun kamu tidak boleh menjadi hambaKu.
Jadi bukan merdekakan negeri kamu daripada penjajah, tapi merdekakan diri kamu dari apa-apa unsur syirik, kufur yang boleh merosakkan akidah kamu dan perhambaan kamu kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Maka Allah perintahkan hijrah kepada Nabi Muhammad dan juga para sahabat.
Bila Allah perintah hijrah, ada segelintir sahabat yang tidak mahu berhijrah, dengan alasan, kami dah lahir di sini daripada awal, nenek moyang kami memang di sini, anak-anak kami membesar di sini, sekolah pun di sini, pekerjaan kami pun di sini.
Jadi kenapa nak kena pergi ke negeri lain yang asing bagi kami?
Kami tidak ada tanah, tidak ada tempat tinggal, saudara-mara pun tidak ada. Kenapa kami kena ke sana? Seolah-olah apa yang difahami oleh mereka ialah ini negeri aku, aku kena kekal di sini, aku kena pertahankan negeri aku.
Allah Tempelak Mereka Yang Enggan Berhijrah
Bila mereka enggan berhijrah, Allah tempelak mereka dan Allah berikan amaran keras. Cuba kita tengok firman Allah subhanahu wa ta’ala,
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَٰئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَٰئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”. Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)”. Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?”. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali,
[Surah an-Nisaa’ 4: 97]
Segelintir sahabat Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam yang tidak mahu berhijrah, Allah wafatkan mereka di Mekah, kemudian malaikat bertanya kepada mereka ini, Allah sifatkan mereka ini zalim kepada diri mereka sendiri.
Apa kezaliman mereka?
Adakah sebab mereka tidak mahu merdekakan negeri mereka? Tidak. Mereka pertahankan negeri mereka sehingga mereka tidak mahu berhijrah. Tapi Allah kata, mereka ini zalim kepada diri mereka, kenapa?
Sebab mereka tidak mahu memerdekakan diri mereka dalam erti kata yang sebenar iaitu betul menjadi hamba Allah. Bila mereka terhalang untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar merdeka, mereka wajib berhijrah.
Maka malaikat bertanya kepada mereka.
قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ – kenapa kamu ini? Kenapa kamu tidak mahu berhijrah? Kenapa kamu tidak mahu meninggalkan tanah air kamu sedangkan tanah air kamu menjadi penyebab kamu tidak merdeka untuk menjadi hamba kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Maka mereka jawab, قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ – kami adalah orang yang lemah. Kata ustaz, ini hanya alasan yang diberikan sebab selepas ayat ini Allah kata, siapa yang tua atau wanita yang lemah, dimaafkan.
Tetapi Allah tegur orang yang ada kemampuan untuk berhijrah, tetapi tidak berhijrah.
Kata malaikat kepada mereka ini, قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ – bukankah bumi Allah ini luas?
Kalau tidak boleh beribadat dengan sempurna, tidak boleh menjadi hamba Allah yang benar-benar merdeka di negeri kamu, pergi di tempat lain.
Jadi merdeka sebenar, bukan merdekakan negeri kita daripada penjajah, tapi merdeka yang paling besar dan utama ialah memerdekakkan diri kita daripada unsur-unsur yang syirik, yang boleh merosakkan pengabdian diri kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala.