fbpx

Istimewanya Kejadian Manusia

Menurut Dr. Mohd Farid Mohd Shahran,  istimewanya kejadian manusia itu adalah kerana aspek kerohaniannya.

Tiga bentuk jiwa rohani iaitu pertama:

1. Jiwa tumbuhan.

2. Jiwa kehaiwanan.

3. Jiwa roh.

Apa maksud jiwa tumbuhan?

Maksudnya ia perlu makan, tumbuh dan hidup sebagaimana sifat manusia.

Apa maksud jiwa kehaiwanan?

Maksudnya ia mampu bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat dan sifat takut.

Apa maksud jiwa roh?

Maksudnya adalah jiwa aqli dan qalbu.

Isi Kandungan

    Bentuk jiwa yang ketiga inilah yang perlu kita ambil perhatian bagi mendidik jiwa kita kekal berakhlak dengan sifat yang terpuji dan menjadikan ia istimewa berbanding makhluk lain.

    Kata Dr. Farid lagi, Allah subhanahu wa ta’ala memberikan hawa nafsu kepada manusia dalam tiga jiwa itu tadi adalah supaya kehidupan manusia menjadi dinamik.

    Apa maksud dinamik?

    Maksudnya kita mempunyai nafsu seperti keinginan makan, seksual, emosi dan lain-lain yang akan membawa diri kita kepada cita-cita dan keinginan untuk mencapai matlamat hidup dan mendorong agar kita berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan.

    Kita Adalah Makhluk Yang Mencipta Makna

    hakimdarno - istimewanya kejadian manusia kerana kita adalah makhluk yang mencipta makna 1

    Dalam Webinar Pengenalan bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil  bertajuk “Bagaimana untuk terus percaya dengan hari esok?”, beliau menyebut bahawa di dalam buku Erti Beragama Yang Hilang (buku terbaru beliau) perkataan yang ingin diketengahkan ialah perkataan “Erti”.

    Sebelum perkataan “Erti”, ada perkataan lain yang dicadangkan sebelum ini iaitu “Makna”.

    Jadi, sepatutnya buku itu akan menjadi “Makna Beragama Yang Hilang.”

    Tetapi setelah beliau melakukan perbincangan, perkataan “Erti” itu mungkin lebih sesuai menjadi tajuk buku.

    Kerana kata beliau, perkataan “Makna” itu penting sebab kita ini adalah makhluk meaning makers.

    Meaning makers bermaksud kita adalah makhluk yang mencipta makna.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلْأَسْمَآءَ كُلَّهَا

    Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya ….

    [Surah al-Baqarah 2: 31]

    Kata Ustaz Hasrizal, apa yang Allah ajar kepada Nabi Adam alaihissalam di dalam ayat ini ialah meaning making.

    Inilah kelebihan manusia yang tidak ada pada malaikat.

    Bila sesuatu itu bermakna, barulah ia akan berfungsi dalam kehidupan manusia.

    Tetapi kalau makna itu hilang, perkara itu ada pun, seperti tidak ada.

    Contoh makan.

    Kenapa kita makan?

    Untuk meneruskan kehidupan.

    Kalau kita makan sehingga menyebabakan kita susah untuk hidup, apa gunanya kita makan?

    Jadi, adakah salah kita makan?

    Makan tidak salah.

    Tetapi yang salah ialah apa yang kita makan.

    Kita kena perhatikan balik, apakah makanan yang kita perlukan?

    Makanan-makanan yang berkhasiat.

    Kalau makanan itu memudaratkan diri kita daripada terus hidup, tidak ada maknanyalah kita makan.

    Contohnya wabak covid-19 yang melanda kita sekarang ini disebabkan oleh tabiat manusia yang suka makan hidupan liar.

    Itu maksud Erti Makan atau Makna Makan?

    hakimdarno - istimewanya kejadian manusia kerana kita adalah makhluk yang mencipta makna 2

    Makna Beragama Yang Hilang

    Jadi sebab itulah, salah satu makna yang penting ialah Makna Beragama kita.

    Selama ini kalau kita belajar agama, kita belajar agama sebagai maklumat, sebagai satu informasi yang tidak membentuk worldview.

    Maksudnya kita mungkin banyak maklumat, kita mungkin tahu macam-macam tentang agama, tetapi semasa melihat kehidupan, kita tidak melihat kehidupan dari pandangan pencipta kehidupan.

    Kita melihat kehidupan dari pandangan yang asing.

    Tetapi kalau makna agama kita betul, barulah mungkin kita boleh menghayati apa yang diucapkan oleh Rabi’ bin Amir yang diutuskan oleh Sa’ad bin Abi Waqas radhiyallahu anh kepada Rostam ataupun Rustum – seorang panglima Parsi di zaman Umar bin al-Khattab.

    Apabila dia (Rabi’) kata:

    “Kami merupakan kaum yang diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu dikeluarkan daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya untuk Tuhan manusia. Daripada kekejaman dan kejelekan yang bersandarkan pada agama kepada keadilan Islam. Dan mengeluarkan sesiapa yang mahu dikeluarkan daripada kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.”

    Ayat yang hujung itu penting,

    Dan mengeluarkan sesiapa yang mahu dikeluarkan daripada kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.”

    Kata Ustaz Hasrizal, inilah dia world view – pandangan alam.

    hakimdarno - istimewanya kejadian manusia kerana kita adalah makhluk yang mencipta makna 3

    Maknanya kalau kita tidak faham Islam ini agama yang macam mana, kita akan menyempitkan pandangan alam kita.

    Kita mudah rasa putus asa kerana dibenci oleh orang sekeliling, tekanan, peperangan, kekecewaan terhadap pelbagai perkara yang berlaku sehingga kita rasa habislah dunia ini (masa depan gelap).

    Tapi kata Rabi’ Bin Amir, Islam mengajar kepada kita daripada kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.

    Bukan dunia sahaja ataupun bukan akhirat sahaja.

    Maknanya dunia sempit apabila dia tidak bergabung dengan akhirat.

    Akhirat adalah angan-angan bila kita buang dunia kerana dunia adalah ladang ataupun jambatan akhirat.

    Kita hanya boleh ke akhirat, dengan melalui dunia.

    Orang kata sebagai jambatan.

    Itu laluan dia.

    Jadinya, bila bencana-bencana seperti wabak covid 19 ini berlaku, kita perlu ingat balik kepada hakikat kita sebagai orang yang beriman, apa yang agama kita ajar bahawa kalau kita mati?

    Contohnya baru-baru ini bila Siti Sarah pergi, dan ramai lagi yang pergi, 3 ratus lebih sehari, dan di tanah air kita telah mencecah sepuluh ribu lebih kematian, mereka bukan pergi dan hilang terputus begitu saja, tetapi mereka berpindah ke alam seterusnya dan alam itu juga adalah alam yang akan kita menyusul.

    Maka bila kita fikirkan akhirat, kita akan lebih berlapang dada.

    Tetapi, kalau kita tidak ada akhirat, kita fikir dunia sahaja, sempitlah dunia kita.

    Dan kita akan mempersoalkan, “Kenapa perkara ini berlaku pada saya?”

    Kita terlupa bahawa pertama, kita ini adalah milik Dia, yang kita selalu sebut, qalu innalillahi wainna ilaihi rajiun.

    Kemudian  yang kedua, kita ada akhirat.

    Sebab itulah agama perlu diberi makna agar dia menjadi sumber kekuatan hidup kita, bukan perhiasan bibir, bukan perhiasan fizikal dengan pakaian, bukan sumber kehidupan untuk kita menjawa kewangan.

    Tetapi dia adalah sumber untuk kita boleh meneruskan kehidupan.

    Kerana adanya dunia dan akhirat tadi.

    Akhir sekali, Ustaz Hasrizal menerangkan bahawa Sayyid Qutb rahimahullah dalam mengulas surah al-Kahfi, beliau meletakkan satu tajuk khas di dalam Tafsir Fi Zilalul Quran, beliau kata, kisah Ashabul Kahfi ini, mengeluarkan kita daripada kesempitan dunia kepada keluasan gua.

    hakimdarno - istimewanya kejadian manusia kerana kita adalah makhluk yang mencipta makna 4

    Eh, bukan terbalik ke?

    Sepatutnya dunia yang luas, gua yang sempit.

    Tetapi kenapa dunia berasa sempit sehingga gua berasa lebih luas?

    Kerana gua itu adalah tempat di mana Allah turunkan rahmat.

    Bila Allah turunkan rahmat, walaupun tempat itu sempit, hati akan rasa tenang.

    Contoh lain, Abu bakar dan Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam berada di dalam Gua Thur, Abu Bakar susah hati, Rasulullah salla Allah ‘alaih wasallam tenangkan – ingatkan balik kepada Allah, maka Abu Bakar menjadi tenang.

    Lebih tenang duduk di dalam gua daripada duduk di rumah di Mekah.

    Dan kalau kita perhatikan, orang tua-tua yang duduk di rumah yang senget, tepi hutan, makan pucuk kayu, mungkin hati dia lebih tenang daripada orang yang duduk di rumah mahligai yang besar.

    Jadi, ketenangan dan kesusahan itu adalah cuaca hati kita.

    Dan hati yang tenang itu ialah hati yang dapat menikmati rahmat Allah subhanahu wa ta’ala.

    Jadi mungkin yang perlu kita minta sekarang ini adalah rahmat Allah walaupun semasa kita dalam kesusahan.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment